"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sekitar kes pembunuhan di Malaysia: Pelaku memang ada 'niat'

Mohd Jamilul Anbia Md Denin & Muhammad Saufi Hassan
am@hmetro.com.my
AMIDON  menyifatkan pelaku mempunyai perasaan peri kemanusiaan yang amat nipis.
AMIDON menyifatkan pelaku mempunyai perasaan peri kemanusiaan yang amat nipis.
Kuala Lumpur: Masyarakat Malaysia sering digambarkan sebagai masyarakat beradab, kaya dengan budi bahasa, bertimbang rasa dan berpekerti mulia.

Namun cerminan imej positif itu tercalar dengan deretan puluhan kes pembunuhan kejam berlaku di dalam negara yang disifatkan terlalu sadis dan tidak masuk akal.

Antara kes pembunuhan kejam dilaporkan sepanjang 2023 yang mencuri tumpuan ramai adalah penemuan mayat lelaki yang dipotong enam bahagian ditemui di dalam bagasi di tepi jalan Kilometer 447, Lebuh raya Plus pada 17 Januari lalu selain penemuan mayat wanita dibunuh disumbat dalam bagasi di hentian bas Kulai, Johor pada 13 April lalu.

Kes pembunuhan lain yang turut mengejutkan adalah kes pembunuhan seorang gadis, Nur Anisah Abdul Wahab, 21, yang dipukul hingga mati oleh teman lelakinya sebelum perut mangsa toreh dan mayatnya dibakar di kebun kelapa sawit di Sungai Limau, Sungai Besar, Selangor pada 22 Mei lalu.

Pembunuhan terancang dan 'gila' itu mencetuskan simpati ramai apatah lagi mangsa dikatakan sedang mengandung ketika kejadian.

Turut menarik tumpuan adalah kes seorang pemuda, R Darvnrajh, 24, ditikam 18 kali dan ditetak parang panjang sebelum mayatnya dibuang di kebun kelapa sawit di Kemuning, Alor Gajah, Melaka.

Tidak terhenti di situ apabila kes pembunuhan berlarutan membabitkan mangsa di kalangan ahli keluarga terdekat. Antaranya kes pembunuhan kejam warga emas, Rashidah Chong, 74, yang dibunuh anak dan menantu di kediamannya di Tambun Tulang, Perlis, Jun lalu.

Begitu juga kes pembunuhan pasangan suami isteri Muhammad Agus@Muhamed Ali Omar, 82, dan Darlisma Njatu Saleh, 72, yang bunuh kejam anak kandung mereka di kediaman di Sungai Penchala di sini, 9 Disember lalu.

Turut meruntun perasaan adalah kes pembunuhan kanak-kanak Zayn Rayyan Abdul Matiin, enam tahun, yang diculik sebelum mayatnya ditemui dibuang di dalam anak sungai berhampiran Blok R Apartment Idaman, Damansara Damai, Selangor pada 6 Disember lalu.

Sementara itu pakar forensik negara, Amidon Anan yang dihubungi wartawan Metro Ahad memaklumkan, berdasarkan pengalaman mengendalikan kes pembunuhan sejak lebih tiga dekad lalu, kebanyakan kes pembunuhan bermotifkan niat, dendam selain suspek yang berdepan masalah mental atau penagihan dadah.

Menurutnya, faktor 'niat' merujuk kepada suspek pembunuh yang sememangnya mempunyai matlamat untuk membunuh mangsa melalui perancangan rapi.

"Di Malaysia elemen 'niat' adalah punca pembunuhan paling popular. Maksudnya niat membunuh itu sudah wujud sejak awal.

"Berdasarkan pengalaman saya dalam forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM), kes pembunuhan paling kejam biasanya membabitkan golongan yang memiliki sifat cemburu buta keterlaluan," katanya.

Bekas Ketua Unit Siasatan, Tempat Kejadian Jenayah (CSI), Makmal Forensik, Bukit Aman itu berkata, golongan berkenaan mempunyai perasaan peri kemanusiaan yang amat nipis.

"Asalkan dapat melepaskan dendam, mereka sanggup melakukan apa sahaja.

"Selain faktor cemburu buta, faktor lain yang turut menyumbang kes pembunuhan kejam di Malaysia adalah sikap liar warga asing, kegiatan pedofilia, pesakit mental dan perbuatan dalam kalangan penagih dadah," katanya.

Berdasarkan pengalaman dilalui, beliau beranggapan pembunuh di Malaysia belum cukup licik untuk menghilangkan bukti pembunuhan.

"Melalui aplikasi ilmu forensik, kesan dan bukti jenayah pembunuhan dilakukan boleh diperoleh.

"Teori digunakan penjenayah dalam menghapuskan bukti perbuatan (bunuh), mampu dibongkar melalui kecekapan anggota forensik PDRM dalam 'menimbulkannya' semula kesan jenayah.

"Walaupun mangsa dibakar, ditanam, disimen, diletupkan, dibuang ke laut dan dibunuh di dalam hutan, kepakaran anggota forensik berjaya membawa si pelaku ke muka pengadilan," katanya yang terbabit dalam penyiasatan kes pembunuhan penganalisis teknologi maklumat, Canny Ong Lay Kian pada 2003, model Mongolia, Altantuya Shaariibuu Setev (2006); pembunuhan Suzaily Mokhtar dan kanak-kanak Nurin Jazlin.

Tiada ulasan: