Meor Riduwan Meor Ahmad
am@hmetro.com.my
KEADAAN pondok lelaki warga emas dipercayai di bunuh pekerjanya. FOTO Ihsan Polis
Melaka: Tidak tahan sering dimarahi kerana gagal menyiapkan kerja, seorang buruh ladang sawit warga Indonesia bertindak kejam memukul majikannya dengan tukul hingga mati, minggu lalu.
Mangsa, Ong Kok Kim, 71, yang juga mualaf dipercayai dibunuh pada 22 Disember lalu, kira-kira 12.30 tengah hari sebelum mayatnya ditemukan disorok di sebuah pondok kebun kelapa sawit, di Paya Rumput Jaya, di sini.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pihaknya menerima laporan dibuat anak lelaki mangsa berusia 39 tahun pada 26 Disember lalu, 2.48 petang selepas gagal menghubunginya sejak 22 Disember lalu.
Menurutnya, bertindak atas maklumat itu, sepasukan polis ke lokasi kejadian pada Sabtu lalu, kira-kira 1.20 tengah hari sebelum menemukan mayat mangsa di bilik pondok berkenaan.
Katanya, hasil siasatan, polis menyerbu sebuah rumah di Bandar Sultan Sulaiman, Pelabuhan Klang, Selangor dan menangkap suspek pada 30 Disember lalu, kira-kira 4 petang.
"Suspek mengaku membunuh mangsa sebelum melarikan diri. Suspek mengambil barangan peribadi mangsa kemudian memandu kenderaan Ford Ranger milik lelaki itu dan menjual telefon bimbitnya.
"Kenderaan mangsa ditinggalkan di Rembau akibat kehabisan minyak dan suspek kemudiannya ke Klang dan bersembunyi di rumah rakannya sebelum ditahan polis," katanya.
Katanya, polis merampas pelbagai barangan termasuk dompet mangsa daripada suspek mengandungi kad bank, telefon bimbit, tukul besi dan kunci Ford Ranger.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan suspek direman tujuh hari di lokap Balai Polis Melaka Tengah,"katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan