KOSMO
MS membuat panggilan video kepada ibunya untuk mengadu mengenai keadaannya. – Detik
JAKARTA – Seorang pencuri motosikal di Koja, Jakarta Utara sempat menghubungi ibunya menerusi panggilan video untuk mengadu, sebelum dia dibelasah oleh orang ramai, lapor laman berita Detik kelmarin.
Berdasarkan sebuah video tular, suspek yang hanya dikenali sebagai MS, 44, dilihat ketakutan selepas ditangkap oleh orang ramai.
Dia cuba melarikan sebuah motosikal bersama dua konco lain, namun dua rakan subahatnya itu sempat melarikan diri.
Ketika dikelilingi oleh penduduk setempat, MS mengeluarkan telefon bimbit lalu menghubungi ibunya untuk mengadu mengenai kejadian itu.
“Lihat, penduduk sudah berkumpul ini, mak,” katanya.
Dia kemudian bertanya kepada seorang penduduk setempat: “Ini daerah apa, bang?”
“Samper,” jawab lelaki berkenaan ringkas.
MS kemudian memberitahu ibunya lokasi tersebut sebelum menunjukkan kepada ibunya keadaan di lokasi kejadian.
“Jangan pukul, jangan pukul,” kata salah seorang penduduk.
Sementara itu, dalam sebuah video berbeza, MS dilihat sudah dibelasah oleh orang ramai dengan keadaan dirinya berdarah dan bajunya turut dilucutkan.
Dalam pada itu, Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Koja, Asisten Komisioner Alex Chandra mengesahkan bahawa pihaknya menahan MS selepas suspek diserahkan oleh orang ramai. – AGENSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan