"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bekas pemain ragbi New Zealand, Sonny Bill Williams dilantik Pro-Canselor Universiti Antarabangsa Albukhary

Adie Zulkifli
bhnews@bh.com.my
Poster ucapan tahniah atas pelantikan Sonny Bill Williams yang dimuat naik di akaun rasmi Facebook AIU, hari ini.
Poster ucapan tahniah atas pelantikan Sonny Bill Williams yang dimuat naik di akaun rasmi Facebook AIU, hari ini.
ALOR STAR: Universiti Antarabangsa Albukhary (AIU) hari ini mengumumkan pelantikan bekas juara dua kali Ragbi Piala Dunia dari New Zealand, Sonny Bill Williams, sebagai Pro-Canselor.

Pelantikan atlet berusia 39 tahun berasal dari Auckland itu diumumkan di laman Facebook universiti berkenaan, hari ini.

"Kami teruja untuk mengumumkan pelantikan Sonny Bill Williams sebagai Pro-Canselor pertama Universiti Antarabangsa Albukhary (AIU), berkuat kuasa 1 November 2024 untuk tempoh dua tahun.

"Upacara rasmi dijadualkan berlangsung di AIU pada 10 Disember depan.

"Kami yakin Sonny Bill Williams memenuhi pengisian Lima Nilai Teras dan Peraturan Lapan Jam universiti yang membimbing amalan di AIU - memupuk tujuan, belas kasihan, ketekunan, dan usaha ke arah kecemerlangan.

"Kami yakin pelantikan beliau akan mempertingkat sumbangan AIU terhadap projek yang memberi impak sosial dan mendorong universiti ke tahap lebih tinggi.

"Sertai kami dalam mengucapkan tahniah kepada Sonny Bill Williams pada ketika beliau memulakan pimpinan yang mengujakan ini di AIU," kata kenyataan itu.

Williams melakar kerjaya cemerlang dalam ragbi, pernah beraksi dalam liga ragbi profesional dan Kesatuan Ragbi.

Beliau memeluk Islam pada 2008 dan adalah seorang daripada 43 pemain yang dua kali memenangi Piala Dunia Ragbi.

Setelah bersara dari ragbi, beliau beralih kepada tinju heavyweight.

Februari lalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa makan tengah hari bersama Williams yang turut menghadiahkan buku biografinya bertajuk 'You Can't Stop the Sun from Shining' kepada Perdana Menteri.

Williams memiliki Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Gunaan (Pengurusan Sukan) dengan Kepujian Cemerlang dari Otago Polytechnic, New Zealand.

Beliau dikenali bukan sahaja kerana kejayaan dalam bidang sukan tetapi juga atas dedikasi terhadap usaha kemanusiaan, integrasi budaya dan pemerkasaan belia.

"Sebagai Pro-Canselor, beliau akan berperanan penting dalam menyokong misi AIU untuk melahirkan graduan yang seimbang, berdaya saing di peringkat global, dan bertanggungjawab secara sosial.

"Penyertaan beliau juga akan memperkukuh visi universiti ke arah mewujudkan persekitaran pendidikan yang lebih gemilang, yang mana kepemimpinan berasaskan nilai bertemu kecemerlangan akademik," kata kenyataan itu.

Tiada ulasan: