"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rafizi persoal kuasa khas presiden, layanan istimewa Ramanan

Malaysiakini 

Timbalan presiden PKR Rafizi Ramli mempersoalkan layanan istimewa yang diberikan kepada calon naib presiden, R Ramanan yang didakwa membolehkan timbalan menteri itu “naik pangkat” dalam masa kurang empat tahun selepas menjadi ahli parti.

Bercakap dalam ceramah Jelajah Hiruk di Johor Bahru malam tadi, dia menyeru akar umbi untuk menamatkan kuasa khas yang dipegang oleh presiden parti bagi memberi pengecualian kepada mana-mana ahli baru untuk bertanding dalam pemilihan parti atau pilihan raya.

"Sebab itu orang luar tanya macam mana bekas bendahari MIC yang baru meletak jawatan selepas enam bulan, baru masuk parti terus dapat kerusi parlimen (Sungai Buloh) selamat.

"Tak sampai setahun lepas itu dapat jadi timbalan menteri. Tak sampai empat tahun dalam parti.

"Sekarang nak jadi naib presiden parti. Sebab apa? Sebab bagi pelepasanlah.

"Jadi, saya ulang sekali lagi, setuju ke tidak lepas ini tidak ada lagi kuasa sesiapapun untuk bagi pelepasan kepada anggota parti lain untuk masuk bertanding dalam parti ini," katanya.

Menteri Ekonomi itu mencadangkan ahli baru perlu membuktikan nilai dan kesetiaan mereka kepada parti terlebih dahulu sebelum dibenarkan memegang sebarang jawatan.

Ini mesti dilakukan dengan bermula sebagai ahli biasa dan memanjat tangga dengan melakukan kerja-kerja parti di lapangan, tambahnya.

"Tapi saya nak menyuarakan suara hasrat akar umbi kepada presiden Anwar Ibrahim. Selama ini satu kuasa yang diberikan kepada Anwar sebagai presiden, kalaupun anggota itu tak cukup satu tahun dengan pelepasan presiden dia boleh bertanding.

"Saya nak mintak kita batalkan pelepasan itu 100 peratus. Tak boleh dah.

"Saya sebut pada presiden. Dia kata ‘saya tak tahu, orang bagi kat saya, saya tandatangan’. (Saya beritahu presiden) Tak bolehlah macam itu Datuk Seri," kata Rafizi sambil menambah tindakan sedemikian akan menyebabkan ramai mengintai peluang menyertai PKR dan memalukan parti itu.

Ramanan menyertai PKR pada 2020 selepas meninggalkan MIC.

Pada pilihan raya umum 2022, Anwar membuat kenyataan mengejutkan dengan mencalonkan Ramanan untuk bertanding di kerusi parlimen Sungai Buloh hanya beberapa jam sebelum majlis pengumuman calon PKR.

Keputusan Anwar itu berbeza dengan jawatankuasa pemilihan calon parti itu pada mulanya mencadangkan agar R Sivarasa mempertahankan kerusi parlimennya.

Ramanan berjaya menewaskan bekas menteri kesihatan Khairy Jamaluddin daripada BN dan lima yang lain dengan majoriti tipis.

Pada April 2023, Ramanan yang juga timbalan ketua penerangan PKR dilantik pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas (JPPK) Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra).

Pada Dis 2023, Ramanan dilantik sebagai timbalan menteri.

Tiada ulasan: