"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pempengaruh disyaki hantar gambar lucah kepada remaja ditahan polis

Sinar Harian
Caprice menerusi hantaran mendedahkan ibu kanak-kanak perempuan itu mendakwa anaknya menerima mesej berbaur lucah dari pempengaruh berkenaan dalam satu 'chatting' di media sosial.
KUALA LUMPUR: Seorang pempengaruh ditahan polis untuk membantu siasatan berhubung dakwaan menghantar mesej berbaur lucah kepada remaja perempuan berusia 14 tahun.

Difahamkan, lelaki itu hadir menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, pada Khamis.

Menurut sumber, pempengaruh terbabit akan ditahan reman untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kes itu.

"Ya, kami dah siasat," katanya ringkas pada Jumaat.

Sebelum ini, media tempatan penyanyi dan aktivis, Caprice mendedahkan mengenai beberapa kiriman mesej di media sosial yang didakwa berbaur lucah yang dihantar pempengaruh terbabit kepada remaja bawah umur itu.

Menerusi beberapa hantaran Caprice di laman Instagramnya, dia dihubungi ibu kepada remaja terbabit yang meminta bantuannya selepas anaknya didakwa menjadi mangsa gangguan seksual.

Antara tangkap layar yang dikongsikan adalah kiriman mesej berserta gambar yang tidak senonoh dipercayai dengan niat untuk menunjukkan parut kesan pembedahan.

Difahamkan juga, pempengaruh itu turut mengirimkan satu lagi mesej memohon maaf kepada ibu remaja itu dan mendakwa tidak sempat menyunting gambar yang dihantar selain mengakui kesalahannya menghantar gambar berkenaan. - Sinar Harian

Tiada ulasan: