Malaysiakini
Amanah melucutkan keanggotaan 58 ahlinya atas penglibatan dalam pemilihan PKR, manakala 51 ahli lagi telah diberikan surat tunjuk sebab kerana disyaki turut terlibat.
Setiausaha Agung Amanah Faiz Fadzil mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa kesemua 109 ahli tersebut ada kaitan dengan pemilihan PKR, dengan 58 daripadanya telah menyertai parti itu secara rasmi dan turut bertanding dalam pemilihan yang sedang berlangsung.
Baki 51 ahli lagi sedang disiasat atas dakwaan penglibatan mereka.
“Kegagalan menjawab surat itu juga boleh menyebabkan mereka dipecat,” katanya merujuk kepada 51 ahli tersebut.
“Ada pelbagai sebab untuk surat tunjuk sebab, tetapi kebanyakannya (berkaitan dengan penglibatan dalam) pemilihan PKR,” katanya ketika dihubungi.
Dalam satu kenyataan susulan tindakan disiplin tersebut, Faiz memberikan peringatan tegas kepada ahli Amanah agar memelihara disiplin organisasi selaras dengan perlembagaan dan kod etika parti.
Pada minggu lalu, Faiz telah menasihatkan ahli Amanah agar tidak campur tangan dalam urusan PKR, terutamanya dengan menyatakan sokongan terhadap mana-mana calon.
Walaupun tidak menyebut mana-mana pemimpin Amanah secara khusus, kenyataan itu dipercayai merujuk kepada pengarah komunikasinya, Khalid Samad yang memberikan pandangannya berhubung pemilihan PKR dalam audio siar “Explain Sikit!” terbitan KiniTV.
“Memandangkan pentas pemilihan ini adalah urusan keluarga PKR, pimpinan dan ahli Amanah di semua peringkat tidak harus mencampuri proses ini.
“Justeru, semua ahli Amanah perlu mengelak daripada membuat sebarang komen atau memberi pandangan dalam mana-mana platform media ataupun wacana berhubung proses pemilihan ini, terutama kecenderungan memihak mana-mana calon bagi mengekalkan kesepaduan yang telah lama wujud antara Amanah-PKR,” kata Faiz dalam kenyataan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan