"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rafizi: 'Saya lega diselamatkan dari sandiwara kuasa dan politik kelas tinggi'

Malaysiakini 

Bekas timbalan presiden PKR Rafizi Ramli menitipkan pesanan kepada penyokongnya susulan kekalahannya kepada Nurul Izzah Anwar untuk jawatan nombor dua parti itu malam tadi.

Dalam catatan di media sosial hari ini, Rafizi berkata dia tidak mahu meneruskan polemik mengenai keputusan pemilihan berkenaan, namun memahami rasa kecewa di kalangan ahli biasa parti itu.

"Sejak kempen bermula, saya mengambil pendekatan telus dan lantang dalam menyuarakan kebimbangan saya terhadap pelbagai isu: daripada perubahan kepada sistem pengundian satu ahli satu undi, kepada integriti sistem pengundian digital, sehinggalah kepada sikap sambil lewa dalam menyelesaikan isu-isu ini.

"Saya faham rasa kecewa dan putus asa di kalangan ahli biasa PKR dan penyokong. Kita memerlukan masa untuk pulih dari perasaan seolah-olah segala usaha dan dedikasi bertahun-tahun kepada idealisme PKR telah sia-sia.

"Saya juga manusia biasa, tidak terkecuali daripada rasa yang sama, walaupun seketika,” kata menteri ekonomi itu.

Kata Rafizi, hampir separuh usia dewasanya iaitu hampir 27 tahun dicurahkan kepada perjuangan - daripada menggerakkan Kempen Antarabangsa Bebaskan Anwar, menyertai kepimpinan awal Pemuda Keadilan, hinggalah menulis sebuah buku untuk menerangkan kes mahkamah Anwar kepada orang awam.

"Saya meninggalkan kerjaya korporat yang baik pada usia yang muda, atas permintaan Anwar, untuk menjadi Ketua Staf beliau di Pejabat Penasihat Ekonomi Negeri Selangor.

"Sehingga kini, saya telah mengharungi 16 kes mahkamah: 7 jenayah dan 9 saman sivil, kerana mendedahkan pelbagai skandal kewangan awam. Mungkin saya menghabiskan lebih banyak masa di mahkamah berbanding peguam biasa. Saya pernah dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun (ditangguhkan dan diganti dengan bon berkelakuan baik) di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) kerana peranan saya dalam mendedahkan skandal 1MDB.

"Jujurnya, saya tidak langsung kecewa. Malah saya rasa agak lega kerana kini saya boleh kembali menjadi orang biasa, diselamatkan dari sandiwara kuasa dan politik kelas tinggi," katanya.

Tiada ulasan: