Buletin TV3

Dua ekor ular besar dilepaskan oleh seorang penghuni kondominium di Ratchada, sebagai tindak balas terhadap jiran yang memelihara haiwan peliharaan.- Foto Facebook Onginn
BANGKOK: Seorang wanita yang juga penduduk sebuah kondominium di Ratchada mencetuskan kekecohan selepas melepaskan dua ekor ular di kawasan lif perumahan itu sebagai protes terhadap jiran-jirannya yang memelihara anjing dan kucing.
Wanita tersebut, yang dikenali sebagai Onginn, turut memuat naik video dan gambar di Facebook yang menunjukkan ular-ular itu berhampiran kawasan lif, Isnin lalu.
Dalam hantarannya, dia mendakwa telah membuat aduan kepada pihak pengurusan mengenai gangguan bunyi bising anjing menyalak, kencing kucing serta masalah kutu dan pepijat, namun tiada tindakan diambil pihak pengurusan.
“Awak bela anjing dan kucing, saya bawa ular, biar kondominium ini jadi taman hidupan liar.
“Bawalah kucing dan anjing anda keluar bermain! Haiwan peliharaan saya pun nak tunjuk kasih sayang. Mereka akan peluk anjing kamu seerat-eratnya sampai tak boleh menyalak,” tulisnya.
Tindakan itu tular dan mendapat pelbagai reaksi, dengan lebih 17,000 perkongsian dan ribuan komen di media sosial.
Beberapa pengguna di media sosial menyifatkan tindakannya sebagai ‘brutal tapi puas hati’, dan berpendapat dia tidak sepatutnya menanggung gangguan berpanjangan akibat keengganan jiran mematuhi peraturan.
Namun, ramai juga menganggap perbuatannya melampau dan berbahaya.
Ada juga yang menyangka rakaman itu dihasilkan menggunakan kecerdasan buatan (AI) kerana kelihatan tidak realistik.
Bagaimanapun, media tempatan melaporkan kedua-dua pihak yang terlibat telah dipanggil oleh pihak pengurusan dan masing-masing dikenakan denda sebanyak 10,000 baht.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan