"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Warga Thailand larikan kereta majikan maut dirempuh lori

Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my
Lelaki yang maut dalam kemalangan dengan sebuah lori selepas melarikan sebuah kereta dan motosikal milik orang awam di Jalan Sungai Lalang, Bukit Selambau. FOTO IHSAN Pembaca
Lelaki yang maut dalam kemalangan dengan sebuah lori selepas melarikan sebuah kereta dan motosikal milik orang awam di Jalan Sungai Lalang, Bukit Selambau. FOTO IHSAN Pembaca
Sungai Petani: Seorang lelaki yang melarikan kereta majikannya maut terbabit dalam kemalangan dengan lori di Jalan Sungai Lalang-Bukit Selambau di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, dalam kejadian jam 6.30 petang itu, lelaki warga Thailand itu meninggal dunia di lokasi kemalangan akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Beliau berkata, lelaki yang bekerja sebagai pembantu kedai makan itu dikatakan melarikan kereta Perodua Kancil milik majikannya di sebuah kedai makan di Bedong, di sini.

"Sebaik tiba di kawasan Ambangan Heights, kereta yang dipandunya terbabit kemalangan dengan Perodua Viva menyebabkan kenderaan rosak dan tidak boleh bergerak.

"Lelaki itu kemudian melarikan sebuah motosikal jenis Honda Wave milik orang awam yang berhenti untuk membantunya menuju ke arah Bukit Selambau," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, di sini hari ini.

Hanyan berkata, bagaimanapun kira-kira 10 kilometer dari lokasi kemalangan, lelaki itu terbabit dalam satu lagi kemalangan dengan sebuah lori.

Beliau berkata, kejadian berlaku apabila motosikal yang ditungganginya hilang kawalan dan masuk ke lorong bertentangan selepas melalui selekoh.

"Lelaki berkenaan diseret kira-kira 20 meter menyebabkan dia mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Mayatnya kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani untuk bedah siasat," katanya.

"Kita menerima dua laporan kejadian melarikan kenderaan oleh majikan dan seorang lelaki lewat petang semalam.

"Hasil siasatan awal kita mengesahkan mangsa yang maut terbabit dalam dua kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Tiada ulasan: