Malaysikini
Timbalan presiden PKR Rafizi Ramli menuduh pencabarnya Nurul Izzah Anwar ‘bersekongkol’ dengan kumpulan yang terkenal dengan amalan politik wang, demi memenangi pemilihan parti.
Menurut Rafizi, dalam pertemuan mereka pada 20 Mei, Nurul Izzah melahirkan kebimbangan serius terhadap barisan kepimpinan yang muncul, khususnya mengenai niat mereka, rekod terdahulu, amalan politik dan kesannya terhadap parti.
“Saya tidak pandai bermuka-muka. Saya diketahui di dalam dan luar parti yang saya tidak selesa dengan beberapa kumpulan, yang pada pandangan saya, tidak menggambarkan reformasi politik yang dibawa PKR.
"Amalan mereka banyak berkisarkan wang dan keghairahan mereka untuk mendapatkan jawatan bertentangan dengan janji reformasi yang dibawa parti.
"Saya konsisten menolak mereka,” katanya.
Rafizi mendakwa kumpulan tersebut secara sistematik menolak calon-calon yang tidak sehaluan dengan mereka dalam pemilihan parti.
“Akhirnya, setelah kumpulan-kumpulan ini diyakini akan membarisi kepimpinan baru PKR, saya juga yang dirayu untuk melawan mereka di dalam parti.
"Jika Nurul Izzah bimbang mengenai amalan mereka, Nurul Izzah sepatutnya tidak bersekongkol dengan mereka demi untuk menang jawatan timbalan presiden.
"Insya Allah, tanggungjawab itu menjadi tanggungjawab beliau selepas ini. Allah dan rakyat akan menghakimi kita, melangkaui jeritan reformasi kita di dalam kempen,” tambahnya.
Rafizi berkata dia telah melakukan yang terbaik untuk “melepasi ujian pertama kuasa ini,” dan memberi bayangan pemilihan PKR kali ini menguji prinsip politik yang dipegangnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan