"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pukul bayi 2 bulan dengan balang kaca hingga mati, ibu muda jadi histeria

Agensi
IBU muda histeria selepas disyaki menyebabkan kematian anaknya. FOTO Agensi.
IBU muda histeria selepas disyaki menyebabkan kematian anaknya. FOTO Agensi.
Jakarta: Ibu berusia 25 tahun histeria selepas dipercayai memukul bayi lelakinya berusia dua bulan dengan balang kaca sehingga mengakibatkan kematian, dalam kejadian menyayat hati di Kota Makassar, Sulawesi Selatan, Indonesia.

Portal Tribun Timur melaporkan, kejadian berlaku kira-kira jam 8 malam waktu tempatan pada Jumaat lalu di kediaman mereka di Pampang 2, Lorong dekat daerah Panakkukang.

Suspek dikenali N, dikatakan bertindak agresif dan memukul kepala anaknya menggunakan balang kaca.

Bayi itu sempat dikejarkan ke Hospital Ibnu Sina, namun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan kecemasan.

Saksi memaklumkan, wanita itu dilihat menangis dan menjerit seperti histeria sambil memeluk bayinya yang sudah tidak bernyawa ketika dibawa polis ke hospital walaupun ia dipercayai akibat perbuatannya sendiri.

Ketua Polis Balai Panakkukang, AKP Aris Satrio berkata, siasatan awal mendapati terdapat elemen penderaan dan pembunuhan terhadap bayi berkenaan.

Bagaimanapun, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut terhadap ibu mangsa.

"Keterangan suspek berubah-ubah. Pada awalnya, dia mengaku memukul kepala bayinya dengan balang kaca, kemudiannya memberikan kenyataan yang tidak konsisten," katanya kepada media ketika ditemui di hospital berkenaan pada Sabtu.

Susulan itu, polis akan mendapatkan khidmat pakar psikologi bagi menilai tahap kesihatan mental dan emosi suspek ketika kejadian berlaku.

"Kami menerima maklumat awal yang menunjukkan kemungkinan wujud gangguan psikologi.

"Bagaimanapun, siasatan terperinci masih diteruskan," katanya.

Jenazah bayi itu dihantar ke Hospital Bhayangkara untuk proses bedah siasat, manakala suspek kini berada dalam tahanan polis untuk siasatan lanjut.

Difahamkan, kejadian itu terbongkar selepas nenek mangsa membuat laporan polis.

Kes berkenaan turut dikendalikan dengan kerjasama Unit Perlindungan Wanita dan Kanak-Kanak (PPA).

Insiden itu meruntun hati masyarakat setempat kerana suspek sebelum ini pernah memuat naik hantaran di media sosial yang menunjukkan kasih sayangnya terhadap anaknya sebelum kejadian.
-hmetro 

Tiada ulasan: