"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rafizi bidas PAS beri kata dua untuk sokong RCI kehakiman

Malaysiakini 

Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli memberi peringatan kepada PAS agar tidak mengulangi kesilapan besar yang pernah dilakukannya ketika skandal 1MDB, kali ini dalam desakan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu badan kehakiman.

“Saya minta satu saja, PAS jangan ulang kesilapan semasa skandal 1MDB dahulu. 

“Kami susah payah membuktikan penyelewengan, dia mudah saja pergi jadi auditor dan umum mereka berpuas hati,” katanya dalam satu hantaran media sosial.

Rafizi mengulas kenyataan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man bahawa parti itu sedia menyokong cadangan penubuhan RCI berhubung isu badan kehakiman jika bekas Menteri Ekonomi itu turut serta dalam Himpunan Turun Anwar Ibrahim yang dijadual berlangsung pada 26 Julai ini di ibu negara.

Tuan Ibrahim semalam dilaporkan berkata, kehadiran Rafizi dalam perhimpunan itu akan memberi isyarat jelas bahawa dia benar-benar mahu melihat isu tersebut disiasat secara bebas dan telus.

Namun, bagi rafizi, kata dua yang diberikan PAS itu adalah tindakan “menunggang”.

Tegasnya, isu kebebasan kehakiman sepatutnya dilihat secara objektif dan bukan dijadikan alat politik.

“PAS bagi kata dua kepada saya bahawa mereka hanya akan sokong cadangan RCI mengenai badan kehakiman jika saya sertai perhimpunan Turun Anwar yang mereka anjur.

“Itu kenyataan Tuan Ibrahim Tuan Man, Timbalan Presiden PAS. Sokongan bersyarat ni maksudnya nak menunggang,” katanya.

Rafizi turut memaklumkan bahawa sembilan ahli Parlimen PKR - termasuk dirinya - telah menghantar surat rasmi kepada semua ahli Parlimen mengenai cadangan RCI.

“Dari situ, kita sama-sama lihat siapa yang bersetuju dan tidak bersetuju. Bukanlah hak saya nak hukum siapa yang ikhlas atau tidak dalam mempertahankan kebebasan badan kehakiman,” katanya.

Mengulas lanjut, Rafizi menyeru agar semua pihak mengamalkan pendekatan politik matang, di mana suatu pandangan harus dinilai berdasarkan merit, bukannya pihak yang menyuarakannya.

“Kalau pandangan itu nampak sama, bukan bermakna kita bersama atas pentas politik kepartian. 

“Bagi yang pembangkang, pandangan itu dilihat sebagai membangkang. Pihak kerajaan pula, pandangan itu dilihat sebagai menegur. Dua-dua perlu main peranan,” tambahnya.

Tiada ulasan: