Program motivasi didakwa sebar ajaran sesat, benarkan suami peluk wanita lain
Nurayuni Johari
KUALA LUMPUR – Satu program motivasi dan bimbingan rumah tangga yang dikatakan dikendalikan sepasang suami isteri didakwa menyebarkan ajaran sesat yang menyasarkan kaum hawa bekerjaya dan berdepan krisis rumah tangga.
Bekas ahli program itu menerusi akaun Facebooknya mendedahkan, ajaran itu dikatakan berselindung di sebalik program keluarga bahagia, seni cinta rumah tangga dan motivasi kepada wanita.
“Ramai wanita yang terlibat mempunyai masalah rumah tangga seperti kecewa dengan suami, kecurangan, hubungan renggang atau perasan tertekan dalam perkahwinan. Siapa sangka kelemahan itu digunakan pasangan itu sehingga ramai peserta perempuan rebah dalam dakapan suaminya sambil disaksikan oleh isterinya sendiri.
“Mungkin terkejut perempuan yang bertudung, manis dengan cahaya di studio itu sanggup melakukan hal terkutuk dengan merelakan suaminya memeluk peserta wanita lain,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Tambah beliau, pasangan terbabit didakwa mengamalkan ajaran batin yang menyesatkan dan turut menjadikan buku hindu sebagai rujukan kepada peserta program menerusi platform Telegram.
Dia turut mendedahkan, peserta wanita yang telah mengikuti program itu akan diminta untuk bercerai dengan pasangan mereka malah mendakwa suami peserta diberikan ramuan ‘cendawan ajaib’ dari Bali bagi tujuan tidak baik.
“Alhamdulilah, ramai ahli telah keluar dan sudah membuat aduan pada jabatan agama namun sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil dan kami amat kecewa kerana bukti yang bagaimana lagi mereka mahukan,” luahnya kecewa.
Pada masa sama, pihaknya akan membuat pendedahan lanjut mengenai ajaran sesat pasangan terbabit agar tiada mangsa terpengaruh dengan pelbagai ajaran sesat menerusi program yang ditawarkan.
Tinjauan MalaysiaGazette di ruangan komen mendapati, ramai wanita pernah mengikuti program pasangan itu dan menggesa supaya pihak bertanggungjawab segera mengambil tindakan.
Malah ada yang mendedahkan pasangan terbabit pernah memaksa peserta membuat pembayaran bagi mengikuti kelas seterusnya yang jelas dilihat terpesong dari akidah.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar ketika dihubungi malam tadi memaklumkan telah mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk menjalankan siasatan berhubung dakwaan berkenaan. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan