Cukuplah budaya politik kebencian dan fitnah murahan, Papagomo dapat notis saman RM1 juta
Harapandaily
Notis tuntutan saman fitnah telah diserahkan secara rasmi hari ini kepada Wan Muhammad Azri Wan Deris, atau lebih dikenali sebagai Papagomo.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, penyerahan notis itu dibuat oleh pasukan guamannya pada jam 2.15 petang di kediaman Papagomo.
“Cukuplah budaya politik kebencian dan fitnah murahan. Kita mesti ajar erti tanggungjawab terhadap kata-kata dan tindakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Setiausaha Agung UMNO berkenaan turut mengingatkan bahawa fitnah bukan sahaja membawa akibat undang-undang di dunia, tetapi juga azab yang berat di akhirat.
“Kalau pun tidak kisah dengan hukuman dunia, moga ada sekelumit perasaan takut pada azab Allah yang amat pedih akibat fitnah. See you in court!” tegasnya.
Papagomo, 42, setakat ini belum mengeluarkan kenyataan balas berhubung notis saman yang dierimanya itu.
Sebelum ini, bekas anggota polis yang dipecat pada 2012 itu mendakwa Asyraf Wajdi menggunakan duit dari Mara untuk menaja satu majlis di Parlimen Gerik, Perak baru-baru ini.
Susulan itu, Asyraf melalui satu video balas menegaskan akan menyaman Papagomo sebanyak RM1 juta bagi menangkis fitnah tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan