"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Suami orang 'kantoi' menyelinap ke rumah janda

Alias Abd Rani
am@hmetro.com.my
JANDA dicekup selepas bersama suami orang dalam sebuah rumah di Kluang. FOTO Ihsan JAINJ
JANDA dicekup selepas bersama suami orang dalam sebuah rumah di Kluang. FOTO Ihsan JAINJ
Kluang: Seorang janda dan kekasihnya yang berstatus suami orang ditahan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) selepas dipercayai berkhalwat di sebuah rumah, di sini, awal pagi tadi.

Tangkapan dilakukan hasil serbuan dilakukan jam 1.20 pagi selepas anggota dan pegawai penguat kuasa JAINJ menerima aduan orang awam berhubung kedatangan lelaki itu ke rumah janda terbabit.

JAINJ dalam satu kenyataan berkata, hasil maklumat, pihaknya menemui sebuah kenderaan yang diparkir berhampiran kediaman didiami janda berusia 48 tahun itu.

"Pemeriksaan di dalam rumah kemudiannya menemukan seorang lelaki berusia 59 tahun yang berstatus suami orang.

"Lelaki itu gagal menunjukkan sebarang bukti hubungan mahram atau perkahwinan yang sah apabila diminta," katanya dalam kenyataan itu hari ini.

Menurut JAINJ, lelaki itu tinggal berhampiran rumah janda terbabit dan dipercayai keluar tanpa pengetahuan isteri yang mungkin menyangka dia pergi memancing atau bertemu rakan di kedai makan.

"Pasangan ini dibawa ke Balai Polis Kluang untuk proses tahanan. Mereka disiasat mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997," katanya.

Dalam operasi berlainan di Muar, Penguat kuasa JAINJ turut menahan dua lelaki termasuk seorang warga emas ketika sedang melanggan pelacur di sebuah premis di Jalan Meriam, semalam.

"Lelaki berusia 68 tahun dan 30 tahun ditahan ketika sedang melayan pelacur dalam premis berkenaan," katanya.

Tiada ulasan: