Malinda Abdul Malik

Yang Khalida membayar denda tersebut.
BALIK PULAU – Seorang pensyarah institusi latihan kemahiran awam didenda RM150 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah mencederakan suaminya menggunakan sebatang buluh pada minggu lalu.
Majistret Chia Huey Ting menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Yang Khalida Khalid, 37, membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Mahkamah turut memerintahkan wanita itu dipenjara tiga hari jika gagal membayar denda tersebut.
Mengikut pertuduhan, tertuduh atas bangkitan marah telah memukul suaminya, Mohd Nasir Abdul Halim, 48, menggunakan batang buluh sehingga menyebabkan kecederaan pada bahagian kepala dan tangan di hadapan rumah mereka di Teluk Kumbar di sini, jam 11 pagi pada 4 Julai lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 334 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga sebulan atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, R. Lushani memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.
Bagaimanapun, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Yiew De Xian yang mewakili tertuduh memohon denda minimum atas alasan anak guamnya berpendapatan RM2,000 sebulan dan menanggung ibunya.
“Anak guam saya juga kini dalam proses penceraian dengan suaminya,” katanya.
Tertuduh membayar denda tersebut. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan