"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rafizi lancar Ayuh Malaysia bagi gempur perusahaan sosial akar umbi

Malaysiakini 

Bekas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli hari ini mengumumkan pelancaran Ayuh Malaysia, sebuah platform baru yang bertujuan membina rangkaian perusahaan sosial di seluruh negara – menandakan peralihan fokus beliau daripada politik ke arah pemerkasaan ekonomi dan sosial di peringkat akar umbi.

Menurut Rafizi, Ayuh Malaysia yang bakal dilancarkan secara rasmi pada 27 Julai ini akan berfungsi sebagai hab sehenti untuk menyokong pertumbuhan perusahaan sosial — entiti yang mengendalikan perniagaan bukan semata-mata untuk keuntungan, tetapi untuk memberi manfaat terus kepada masyarakat.

“Ia sebahagian daripada misi membangunkan sektor ketiga dalam ekonomi Malaysia – perusahaan bermatlamatkan masyarakat tetapi dibiayai secara lestari melalui operasi perniagaan yang cekap dan berdaya saing,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut bekas timbalan presiden PKR yang gagal mempertahankan jawatannya pada pe,ilihan parti lalu, Ayuh Malaysia akan menjadi platform utama untuk menggerakkan dan menyokong penciptaan perusahaan sosial dalam pelbagai bidang.

Ini termasuk, menyediakan kepakaran, menjamin pembiayaan, dan menghubungkan perusahaan ini kepada penerima sasaran mereka.

Katanya, walaupun perjalanan politiknya bermula sebagai aktivis yang mementingkan ketelusan, akauntabiliti, dan meritokrasi, beberapa matlamat ini tidak dapat direalisasikan melalui politik semata-mata.

'Tidak semua ahli politik alu-alukan perubahan'

Pelancaran ini hadir di tengah-tengah spekulasi mengenai masa depan politik Rafizi selepas peletakan jawatannya sebagai menteri ekonomi. Dalam kenyataan sama, dia mengesahkan bahawa keputusannya meninggalkan Kabinet adalah selari dengan rancangannya untuk memberi tumpuan penuh kepada pembangunan jaringan perusahaan sosial yang mapan.

"Sebahagiannya perlu dibawa melalui platform politik. Sebahagian lagi perlu digerakkan dari akar umbi supaya budaya ini menjadi amalan dalam masyarakat, apatah lagi kerana kita tahu bukan semua ahli politik mengalu-alukan perubahan.

“Sebab itu, saya berlapang dada, malah bersyukur dengan beberapa percaturan politik yang berlaku di dalam PKR sehingga membawa kepada peletakan jawatan sebagai menteri,” katanya.

Rafizi menjelaskan bahawa berbeza dengan model perniagaan biasa, perusahaan sosial melabur semula keuntungan mereka ke dalam pekerja dan komuniti mereka, menawarkan perkhidmatan atau produk pada kos yang lebih rendah sambil memupuk impak sosial.

Bagaimanapun, dia menyatakan bahawa model itu sebahagian besarnya masih asing di Malaysia, di mana aktiviti ekonomi lazimnya dipacu keuntungan dan kerja masyarakat sivil masih sangat bergantung kepada geran.

Ayuh Malaysia akan menjadi platform sehenti yang berfungsi:
  • Mewujudkan seberapa banyak perusahaan sosial dalam pelbagai bidang yang digerakkan oleh orang ramai
  • Menyediakan kepakaran dan bantuan melalui jaringan perusahaan sosial dan rakyat
  • Menyusun sumber kewangan tambahan dan penyeliaan kewangan untuk memastikan perusahaan sosial ini berdaya saing dan diuruskan dengan jujur
  • Menghubungkan perusahaan sosial dengan kumpulan penerima sasar
Sehubungan itu, Rafizi mengajak aktivis dan rakyat biasa untuk bersama-sama menyumbang membina jaringan perusahaan sosial ini di masa hadapan.

Katanya, kehadiran jaringan perusahaan sosial yang kukuh di dalam masyarakat dapat menjamin kelangsungan kebajikan ekonomi dan sosial rakyat dalam keadaan pertembungan politik akan terus berlaku di dalam masyarakat.

Tiada ulasan: