Malaysiakini
Petikan minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) yang didakwa berlangsung pada Mei lalu telah bocor di media sosial.
Petikan itu dipercayai berasal dari laman Reddit, namun kini turut tersebar di Facebook dan X.
Minit mesyuarat sulit itu dikatakan mengandungi dakwaan sama seperti laporan polis yang bocor sebelum ini, yang dibuat bagi pihak seorang hakim kanan pada Jun lalu.
Laporan polis itu dibuat selepas Malaysiakini menghubungi hakim tersebut pada 12 Jun lalu untuk bertanya tentang dakwaan bahawa dia campur tangan dalam mesyuarat JAC.
Malaysiakini sedang berusaha menghubungi ahli-ahli JAC dan hakim yang didakwa terlibat bagi mendapatkan maklum balas mengenai kebocoran berkenaan.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Mas Ermieyati Samsudin, meluahkan rasa terkejut berhubung kebocoran dokumen tersebut.
"Gila ! Kalau betullah isi dokumen ni..” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Kerajaan harus jawab
Ketika dihubungi, Mas Ermieyati — yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah berkata meskipun kesahihan dokumen itu belum dapat dipastikan, dakwaan yang terkandung adalah sangat serius.
"Pihak kerajaan harus menjawab dan siasatan perlu dilakukan,” tegasnya.
Dakwaan terhadap hakim kanan tersebut serta kebimbangan mengenai kemungkinan campur tangan dalam pelantikan hakim selepas persaraan Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat, telah mencetuskan kemarahan orang ramai.
Minggu lalu, sembilan ahli parlimen PKR yang diketuai Rafizi Ramli menyeru agar satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan serta satu siasatan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas reformasi institusi parlimen dijalankan terhadap dakwaan tersebut.
Rafizi mendakwa skandal itu mungkin sebesar kes pengaturan hakim oleh VK Lingam.
Majlis Peguam Malaysia juga akan mengadakan perarakan pada Isnin ini bagi menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, yang antara lain bagi menuntut penubuhan RCI.
Sementara itu, Anwar dijadualkan bertemu dengan ahli parlimen PH untuk membincangkan isu berkenaan.
Jabatan Peguam Negara pula menolak kebimbangan mengenai badan kehakiman, dengan menyatakan bahawa tindakan membandingkan isu itu dengan skandal VK Lingam sebagai tidak wajar.
Jabatan itu juga menyatakan bahawa dakwaan terhadap hakim kanan tersebut hanyalah spekulasi semata-mata berkaitan “ketidakteraturan prosedur”.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan