KUALA LUMPUR – Tiga pelajar Malaysia yang hilang di Taiwan telah dikenal pasti ditahan pihak berkuasa kerana terlibat dengan aktiviti penipuan.
Presiden Persatuan Alumni Universiti Taiwan, Malaysia, Pang King Hoe berkata, ketiga-ketiga kes berasingan itu berlaku dalam tempoh tiga bulan, menunjukkan keseriusan keadaan.
Beliau berkata, ibu bapa pada mulanya menghubungi pihak persatuan selepas gagal menghubungi anak mereka yang belajar di Taiwan
“Apabila kami menggunakan sumber yang ada untuk mencari, mereka akhirnya dikesan di balai polis,” katanya kepada Sinchew Daily.
Menurutnya, kesemua pelajar itu ditahan kerana penglibatan sebagai “runner” untuk sindiket scam, dengan salah seorang bakal didakwa.
“Sebelum ini memang tidak kurang orang Malaysia yang ditahan di Taiwan atas penglibatan dalam aktiviti scam, tetapi kami tidak menyangka pelajar juga terlibat sekarang,” katanya.
Menurut King Hoe, beliau tidak dapat mengenal pasti sama ada pelajar-pelajar itu tertipu dan dijerat untuk menyertai aktiviti scam atau dipengaruhi oleh rakan sebaya.
“Kami perlu mengenal pasti sama ada mereka telah melanggar undang-undang dan sama ada kedudukan mereka sebagai pelajar asing akan terjejas.
“Jika pelajar tersebut sendirinya merupakan mangsa penipuan, kami juga perlu mengenal pasti sama ada dapat memperjuangkan hak mereka,” katanya.
Persatuan Alumni Universiti Taiwan telah mengingatkan pelajar supaya tidak sesekali terjerat dengan tawaran pekerjaan yang menwarkan gaji tinggi, fleksibel dan bayaran secara tunai.
Menurutnya, sindiket selalu merekrut orang untuk menerima bungkusan, membantu memindahkan wang atau “meminjam” akaun.
“Jangan ingat hanya bekerja sebagai runner, tindakan yang melanggar undang-undang boleh menyebabkan rekod jenayah dan menjejaskan peluang untuk belajar atau menghuni di Taiwan.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan