"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Warga emas didakwa hantar bungkusan daging babi ke masjid

Agensi
WARGA emas didakwa di mahkamah atas tuduhan menghantar bungkusan mengandungi daging babi ke Masjid Al-Istiqamah di Serangoon. FOTO Agensi.

WARGA emas didakwa di mahkamah atas tuduhan menghantar bungkusan mengandungi daging babi ke Masjid Al-Istiqamah di Serangoon. FOTO Agensi.
Singapura: Seorang warga emas berusia 61 tahun didakwa di mahkamah atas tuduhan menghantar bungkusan yang mengandungi daging babi ke Masjid Al-Istiqamah di Serangoon, lapor MustShareNews.

Suspek, Bill Tan Keng Hwee, didakwa dengan niat sengaja untuk melukakan perasaan kaum, sehari selepas ditahan polis pada Khamis lalu.

Menurut laporan The Straits Times, dokumen mahkamah menyatakan bungkusan itu turut mengandungi sekeping nota provokasi.

Polis berjaya mengenal pasti suspek hasil siasatan di lapangan dan bantuan rakaman kamera polis.

Siasatan awal juga mendedahkan lelaki itu berkemungkinan terbabit dalam beberapa kes serupa di masjid-masjid lain di Singapura.

Di mahkamah pada Sabtu (semalam), Tan direman selama seminggu bagi membantu siasatan lanjut.

Dalam insiden pada 24 September lalu, Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dan pakar HazMat dikejarkan ke lokasi selepas dimaklumkan mengenai bungkusan tidak dikenali manakala masjid dikosongkan sebagai langkah berjaga-jaga.

Walaupun tiada bahan berbahaya ditemukan, seorang individu terpaksa dihantar ke hospital selepas mengalami sesak nafas.

Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, K. Shanmugam, menyifatkan perbuatan itu sebagai provokatif dan memberi amaran ia "seperti bermain dengan api."

"Kami memandang serius perkara ini dan akan berurusan dengan tegas dengan sesiapa sahaja yang didapati bertanggungjawab," katanya.

Jika sabit kesalahan, Tan berdepan hukuman penjara sehingga tiga tahun, denda, atau kedua-duanya sekali.

Tiada ulasan: