Ahmad Hasbi

Jenazah kanak-kanak yang maut selepas ditemui tidak sedarkan diri di dalam tandas sebuah sekolah dibawa keluar dari Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau selepas dibedah siasat – FOTO: NSTP
REMBAU: Punca kematian murid tahun empat yang dijumpai tidak sedarkan diri di tandas lelaki di sebuah sekolah kebangsaan di daerah Seremban, semalam, disebabkan tekanan pada leher.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, ia hasil laporan bedah siasat yang dijalankan di Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau, di sini, petang hari ini.
“Bedah siasat dijalankan ke atas mangsa pada hari ini mendapati punca kematian disebabkan tekanan pada leher.
“Hasil bedah siasat juga mendapati tiada sebarang kecederaan lain pada tubuh badan mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, setakat ini sebanyak 27 keterangan sudah dirakam dan siasatan menyeluruh sedang dijalankan.
“Ia termasuk mengenalpasti punca tindakan sebelum kejadian sehingga kepada siasatan ketika mangsa dijumpai tidak sedarkan diri dalam tandas.
“Polis menggesa supaya diberi ruang untuk menjalankan siasatan yang telus dan dilaksanakan dengan mengambil kira pematuhan terhadap sensitiviti kanak kanak yang dilindungi di bawah peruntukkan Undang Undang Akta Kanak Kanak 2001 memandangkan siasatan juga membabitkan saksi kanak kanak.
“Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi tidak berasas yang boleh mengganggu proses siasatan,” katanya.
Sementara itu, jenazah kanak-kanak itu dibawa keluar dari Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau kira-kira jam 6.30 petang selepas hampir tiga jam proses bedah siasat dijalankan.
Jenazah murid tahun empat itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Forest Heights selepas solat Maghrib.
Media sebelum ini melaporkan polis mengklasifikasikan kes kematian itu mengikut Seksyen 507C Kanun Keseksaan iaitu buli melalui komunikasi.
Alzafny dilaporkan berkata, kanak-kanak berusia 10 tahun itu ditemui tidak sedarkan diri di dalam sebuah tandas sekolah berkenaan sebelum dihantar ke sebuah klinik swasta.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan