"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lelaki tumbuk, tendang bekas tunang ditahan

Buletin TV3 

AMPANG: Seorang lelaki tempatan ditahan selepas bertindak menyerang dan mengugut bekas tunangnya di sebuah rumah di Taman Bukit Indah, di sini, Isnin lalu.

Lelaki berusia 37 tahun itu bertindak agresif ketika tunangnya berusia 21 tahun yang juga seorang pembantu pentadbiran sebuah syarikat datang untuk mengambil barang peribadi.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail, berkata mangsa tampil membuat laporan polis susulan kejadian yang menimpanya itu.

"Dalam kejadian kira-kira jam 2.10 petang itu, pengadu telah pergi ke rumah bekas tunangnya untuk mengambil barang peribadi.

"Sampai kediaman itu, suspek telah bertindak agresif dengan memarahi mangsa dan membaling barang serta bertindak menumbuk dan menendang mangsa di bahagian kepala dan belakang badan," katanya kepada media hari ini.

Mohd Azam berkata, suspek juga mengugut untuk menikam bekas tunangnya.

"Susulan kejadian itu, mangsa didapati telah mengalami kesakitan di belakang badan dan kepala," katanya.

Beliau berkata, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, telah memberkas suspek pada jam 1.20 pagi semalam.

"Semakan lanjut mendapati suspek yang menjalankan perniagaan sendiri tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

"Suspek direman selama empat hari bermula semalam hingga Jumaat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 akta sama," katanya.

Tiada ulasan: