Harapandaily
Politik pembangkang berterusan bergolak apabila tersebar satu rakaman audio yang menyebut tentang calon Perdana Menteri dari Pas.
Suara individu yang dikaitkan dengan rakaman itu adalah Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan.
Menerusi rakaman itu, suara itu menyebutkan bahawa Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang secara jelas menegaskan calon Perdana Menteri dari Pas bukan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Tok Guru (Abdul Hadi) tanpa berlapik sebut calon Perdana Menteri dari Pas ialah Datuk Seri Hamzah Zainuddin,” kata pemimpin Bersatu itu.
Sementara itu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, parti tersebut tidak pernah mencalonkan mana-mana individu sebagai calon Perdana Menteri dari Perikatan Nasional (PN) termasuk Hamzah Zainudin.
Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, isu calon Perdana Menteri bagi mewakili pembangkang tidak pernah dibincangkan di peringkat Pas atau PN.
“Presiden Pas baru-baru ini menegaskan kita tidak mahu menamakan sesiapa sebagai calon PM, fokus kita untuk menang PRU16 dahulu, calon PM ditentukan kemudian.
“Dalam PN, ramai pemimpin berpotensi, bukan hanya satu calon. Jadi, isu itu tidak timbul,” kata Takiyuddin pada sidang media di ibu pejabat Pas hari ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan