"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Azmin ugut Ketua Bahagian isu SD - Wan Saiful

Essa Abu Yamin
essabuyamin@bh.com

Kuala Lumpur: Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan mendedahkan Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Azmin Ali mengugut beberapa Ketua Bahagian (KB) berhubung isu Akuan Bersumpah (SD).

Menurut Wan Saiful, ugutan itu berlaku dalam pertemuan di Ibu Pejabat BERSATU pada 19 Ogos lalu yang dihadiri Ketua Bahagian BERSATU Sepang merangkap Setiausaha BERSATU Selangor, Datuk Suhaimi Ghazali serta KB Puchong, Shukor Mustafa.

"Dalam pertemuan itu, Azmin memberi amaran bahawa Suhaimi dan Shukor tidak akan mendapat watikah calon untuk bertanding dalam pilihan raya jika mereka tidak menarik balik SD yang kononnya mahu menjatuhkan Presiden.

"Malah saya juga dimaklumkan bahawa Azmin berkata saya sendiri pun tidak akan dicalonkan," katanya pada sidang media khas, di sini, hari ini.

Wan Saiful menegaskan, dokumen yang ditandatangani oleh 120 Ketua Bahagian itu tidak pernah bertujuan menggulingkan Presiden, sebaliknya hanya menyatakan pendirian supaya usul yang boleh menjejaskan parti tidak dibawa ke Perhimpunan Agung Tahunan (PAT).

"Bagaimana mahu tarik balik sesuatu yang tidak pernah kami tandatangani? SD itu tidak ada satu pun ayat menolak Presiden. Fokusnya hanyalah menolak usul yang boleh membawa mudarat kepada parti," katanya:

Katanya, Azmin menggunakan pendekatan ugutan dalam isu lain termasuk terhadap bekas Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik ketika PAT baru-baru ini.

"Azmin meminta Tan Sri Rahim membuat aduan disiplin terhadap Timbalan Ketua Badan Perhubungan Negeri (BPN) Melaka, Azrudin Idris, dengan amaran tiada sebarang bantuan akan disalurkan ke Melaka bagi menghadapi pilihan raya negeri jika arahan itu tidak dipatuhi," dakwanya.

"Tindakan berkenaan memberi gambaran seolah-olah kuasa menentukan calon dan peruntukan parti berada di tangan Azmin, bukannya Presiden," katanya.

Katanya, susulan daripada itu, beliau akan membuat satu laporan terhadap Lembaga Disiplin dalam masa terdekat bagi tindakan selanjutnya.

Tiada ulasan: