"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Anak dedah skandal bapa dalam 86 halaman

Agensi

Beijing: Dua beradik perempuan di China masing-masing berusia 20 dan 15 tahun membongkar hubungan sulit selama sepuluh tahun antara bapa mereka yang juga bekas profesor Universiti Wuhan dengan pelajarnya yang kini berkhidmat sebagai profesor di institusi sama.

Mereka menerbitkan dokumen 86 halaman yang mendedahkan hubungan terlarang itu dalam talian, sekali gus membangkitkan perbincangan hangat dalam kalangan pengguna media sosial.

Dua beradik itu menyasarkan bapa mereka, Fu Lei, 47, yang kini berkhidmat sebagai timbalan pengetua Universiti Anhui serta anggota jawatankuasa tetap parti, lapor SCMP.

Sebelum ini Fu adalah bekas profesor dan penyelia doktor falsafah di Kolej Kimia dan Sains Molekul di Universiti Wuhan.
 
Berdasarkan dokumen tular itu, bekas pelajar doktor falsafah Fu dikenali Zeng Mengqi, 35, dilapor menjalin hubungan sulit dengannya sejak 2016, namun adik beradik berkenaan mengetahui mengenainya pada 2018 selepas menemui watak avatar dalam talian yang digunakan pasangan terbabit.

Mereka mendakwa Fu akan sentiasa membalas setiap permintaan Zeng dengan segera walaupun ketika sedang bercuti bersama keluarga.

Kedua-duanya juga mendakwa mereka pernah melihat mesej berbaur provokasi yang dihantar Zeng kepada ibu mereka.

Walaupun Zeng berkahwin dengan rakan sekerjanya di universiti pada 2023, dia didakwa masih meneruskan hubungan sulit dengan Fu.

Dua tahun lalu, Fu meninggalkan keluarga mereka menyebabkan ibu dua beradik itu terpaksa menguruskan pinjaman perumahan dan menjaga dua anak perempuan sendirian sehingga menderita dan berat badannya susut 15 kilogram.

Si kakak kemudian bersemuka dengan Fu pada satu mesyuarat kepimpinan universiti dan mendesak bapanya menandatangani perjanjian membayar nafkah anak sebanyak 5,000 yuan (kira-kira RM3,000) sebulan.

Gaji tahunan Fu dilapor melebihi satu juta yuan (kira-kira RM606,000).

Pendedahan itu turut mendakwa Fu dan Zeng menyalahguna dana penyelidikan universiti untuk kegunaan peribadi, selain mempersoalkan integriti akademik Zeng yang menamatkan pengajian PhD pada 2018, dilantik sebagai profesor madya pada 2020 dan dinaikkan pangkat sebagai profesor setahun kemudian.

Pada 3 September, Universiti Wuhan mengumumkan secara rasmi bahawa pihaknya menerima aduan berhubung pendedahan itu pada 19 Ogos dan akan menjalankan siasatan lanjut.

Wakil Universiti Anhui turut mengesahkan bahawa pihaknya memulakan siasatan terhadap Fu.
-hmetro

Tiada ulasan: