Meor Riduwan Meor Ahmad

MELAKA: Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini atas pertuduhan memukul teman wanitanya dengan kayu hingga patah tangan di kawasan perkuburan di Batu Berendam di sini, bulan lalu.
A Ramesh, 32, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan dalam prosiding di hadapan Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin.
Dia didakwa sengaja mendatangkan kecederaan parah terhadap G Thanampakiam, 31, dengan memukul menggunakan kayu di kawasan tempat pembakaran mayat Tanah Perkuburan India Jelutong, Batu Berendam di sini, kira-kira jam 3 pagi, 22 Ogos lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh didenda atau sebat jika disabitkan kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Rif’ah ‘Izzati Abdul Mutalif, memohon tarikh baharu bagi mendapatkan laporan perubatan mangsa dan mencadangkan jaminan RM15,000 berserta syarat tambahan tertuduh tidak mengganggu saksi serta perlu melapor diri di balai polis setiap bulan sehingga kes selesai.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan dimohon pendakwaan.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 6 Oktober depan bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.
Mengikut siasatan awal polis, tertuduh dikatakan mengesyaki pengadu menjalin hubungan dengan lelaki lain lalu membawanya ke kawasan perkuburan itu sebelum dipercayai memukulnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan