"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lelaki Itali disiasat, sorok kepala buaya dalam bagasi

Agensi
KEPALA buaya yang dikeringkan cuba diseludup lelaki di Itali.
KEPALA buaya yang dikeringkan cuba diseludup lelaki di Itali.
Turin, Itali: Seorang lelaki Itali disiasat selepas pihak berkuasa menemui kepala buaya terancam yang disembunyikan dalam bagasinya di Lapangan Terbang Caselle di Turin, Itali.

Memetik UPI, lelaki itu tiba dari Miami melalui Istanbul, sebelum pihak berkuasa menemui kepala reptilia berkenaan ketika melakukan pemeriksaan terhadap bagasinya.

Agensi penguatkuasaan Guardia di Finanza dalam kenyataan berkata, pihaknya bekerjasama dengan pegawai kastam bagi meningkatkan pemeriksaan berkaitan perdagangan spesis yang dilindungi dan terancam.

"Secara khusus, kepala reptilia itu dikeringkan dan dibalut dengan kertas pembalut biasa, sekali gus mengelakkan pemeriksaan keselamatan di negara berlepas," kata polis dalam kenyataan itu. 

Pihak berkuasa sempadan kemudian merampas kepala buaya itu dan menyiasat lelaki terbabit kerana didakwa menyeludup spesimen daripada spesis dilindungi tanpa sijil atau lesen yang sewajarnya.

Jika disabitkan kesalahan, lelaki itu boleh dikenakan denda antara 20,000 hingga 200,000 euro (kira-kira RM94,480 hingga RM 944,800) atau hukuman penjara antara enam bulan hingga setahun.

Buaya adalah antara haiwan yang dilindungi di bawah Konvensyen Washington, iaitu perjanjian global yang ditandatangani pada 1973 bagi melindungi tumbuhan dan haiwan terancam daripada perdagangan haram.

Menurut The Guardian, Itali menjadi hab perdagangan haram haiwan eksotik yang sebahagian besarnya berasaskan kegiatan jenayah terancang.

Bagaimanapun, pelancong mungkin membawa pulang barangan seperti kepala buaya yang dikeringkan sebagai cenderamata tanpa menyedari bahawa ia adalah haram.

Kepala buaya berkenaan lazimnya boleh ditemui di kedai cenderamata di seluruh Florida.
-hmetro

Tiada ulasan: