"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

NS: Apa pendirian UMNO selepas Tuanku Muhriz murka

Kasthuri Jeevendran

KUALA LUMPUR –  Apakah pendirian UMNO selepas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Ismail Lasim ditegur secara terbuka oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir?

Persoalan itu dibangkitkan Timbalan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifuddin Shafi Muhammad yang mahu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan kepimpinan UMNO Negeri Sembilan menjelaskan pendirian mereka berhubung kemelut institusi diraja negeri itu.

Menurut Saifuddin, perkembangan terbaharu yang memaparkan kemurkaan Tuanku Muhriz terhadap Ismail menimbulkan persoalan sama ada UMNO akan terus mempertahankan Menteri Besar itu atau mengambil pendirian berbeza.

“Apakah pendirian UMNO selepas insiden ini? Adakah parti itu akan terus mempertahankan Ismail sebagai Menteri Besar atau tampil menjelaskan pendiriannya berhubung kedudukan Tuanku Muhriz sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan?,” katanya dalam kenyataan.

Beliau turut mempersoalkan sama ada UMNO masih berpegang kepada pendirian untuk tidak mencampuri kemelut berkenaan, seperti yang pernah dinyatakan sebelum ini.

Katanya, kepimpinan UMNO Negeri Sembilan juga perlu tampil memberikan penjelasan memandangkan Ismail merupakan pemimpin daripada parti itu yang mengetuai kerajaan negeri.

“Adakah UMNO akan terus mengambil sikap berkecuali? Apakah pula pendirian UMNO Negeri Sembilan sendiri? Adakah kepimpinan negeri akan seiring dengan pendirian pusat atau mempunyai pandangan berbeza?,” soalnya.

Saifuddin berkata, Ismail juga perlu memberikan penjelasan menyeluruh mengenai isu yang mencetuskan pertikaian, termasuk kontroversi berkaitan dokumen proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz.

Ujarnya, rakyat berhak mengetahui pendirian UMNO dalam menangani kemelut itu, terutama apabila perkembangan terbaharu terus menimbulkan persoalan mengenai hala tuju penyelesaiannya.

“Adakah UMNO akan terus mempertahankan Ismail tanpa meminta penjelasan menyeluruh mengenai perkara yang dipertikaikan ini?

Tegasnya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan kepimpinan UMNO Negeri Sembilan perlu menyatakan pendirian masing-masing secara terbuka bagi mengelakkan lebih banyak persoalan berhubung krisis berkenaan.

Beliau berkata, sebarang pertikaian perlu diselesaikan melalui saluran yang sah dengan menghormati undang-undang serta aturan adat Negeri Sembilan. -MalaysiaGazette

Tiada ulasan: