"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hanya lima atau enam Adun BN boleh dipertimbangkan sebagai MB N Sembilan baharu?

Krisis MB N Sembilan: ‘Tangan Zahid terikat’ cari pengganti Ismail

Nora Mahpar

PETALING JAYA: Umno berdepan pilihan terhad untuk mencadangkan pengganti Ismail Lasim sebagai menteri besar Negeri Sembilan susulan pertikaian membabitkan beberapa Adun Barisan Nasional (BN) dengan istana, menurut penganalisis.

Azmi Hassan berkata, walaupun BN menguasai 18 daripada 36 kerusi DUN, tidak semua wakil rakyat gabungan itu sesuai dipertimbangkan, khususnya mereka yang terbabit dalam kemelut dengan isu Yang Dipertuan Besar Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Penganalisis daripada Akademi Nusantara itu berpandangan, lapan bekas exco daripada BN yang terbabit dalam pertikaian dengan istana tidak wajar dicalonkan sebagai menteri besar baharu.

Katanya, selepas mengambil kira faktor itu serta beberapa calon lain yang pernah dicadangkan sebelum pelantikan Ismail, pilihan BN mungkin hanya berbaki lima atau enam Adun.

“Tangan Presiden Umno Zahid Hamidi agak terikat kerana pilihan beliau begitu terhad untuk memilih dalam kalangan Adun BN,” katanya kepada FMT.

Kelmarin, Setiausaha Agung BN Zambry Abd Kadir mengumumkan Ismail mengemukakan peletakan jawatan sebagai menteri besar.

Zahid berkata keputusan itu dibuat atas kerelaaan Adun Juasseh berkenaan dan bukan atas arahan parti, selain mengesahkan hanya satu nama dikemukakan bagi menggantikan Ismail.

Peletakan jawatan Ismail berlaku beberapa hari selepas beliau mengesahkan menarik balik surat kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Syed Danial Syed Ahmad berkait penurunan takhta Tuanku Muhriz.

Pemberitahuan itu turut menyatakan sokongannya dan 10 bekas exco Negeri Sembilan kepada Tuanku Muhriz.

Exco terbabit adalah Mustapha Nagoor (Palong), Faizal Ramli (Linggi), Zaiful Bahri Idris (Chembong), Razi Ali (Sungai Lui), Asna Amin (Lenggeng), Siti Nur Umaira Hasim (Labu) dan Suhaimizan Bizar (Gemencheh), semuanya daripada Umno.

Tiga lagi ialah Siow Kong Choon (Chennah) daripada MCA dan wakil rakyat PAS Fairuz Isa (Serting) manakala Razali Abu Samah (Sikamat) daripada Wawasan.

Negeri Sembilan terpalit kemelut diraja sejak April apabila empat individu yang mendakwa mereka sebagai Undang mengumumkan penyingkiran Tuanku Muhriz sebagai Yang Dipertuan Besar.

Krisis berkenaan juga membawa kepada PRN Negeri Sembilan selepas 14 Adun Umno diketuai Jalaluddin Alias pada April menarik sokongan terhadap Aminuddin Harun, menteri besar ketika itu.

Sementara itu, Tawfik Yaakub daripada Universiti Malaya berkata peletakan jawatan Ismail masih terlalu awal dianggap sebagai penyelesaian kepada krisis politik negeri selagi belum mendapat perkenan rasmi Tuanku Muhriz.

Beliau mengingatkan pengumuman peletakan jawatan yang mendahului perkenan istana boleh mencetuskan ketegangan baharu antara kepimpinan Umno pusat dengan Istana Seri Menanti, sekali gus menyukarkan usaha menyelesaikan kemelut berkenaan.

Katanya, pemilihan pengganti Ismail juga perlu mengambil kira hubungan istana, dengan keutamaan diberikan kepada Adun yang tidak terbabit dalam pertikaian membabitkan 10 bekas exco.

“Calon baharu bukanlah daripada Adun bekas exco tetapi Adun lain yang dilihat boleh menjadi jambatan antara pihak politik dengan istana,” katanya.

Tiada ulasan: