"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dr M dilanda takut?

Setelah dibantai berkali-kali, belum pecah berdarah lagi belakang si unta. Si unta masih diam membisu. Barangkali sakitnya masih mampu ditanggung, dia belum naik angin.

Perlantikan orang-orang yang menurutnya mempunyai perangai yang 
keji di dalam kabinet dan selepas itu dilantik pula Ratu AP dan orang yang disifatkannya sebagai pak lawak yang terpalit dengan tuduhan rasuah di dalam Majlis Tertinggi Umno barangkali masih belum begitu menyakitkan Tun Dr Mahathir Mohamad. Dia melibas, tetapi tidaklah dilihat mencederakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menampakkan lagi betapa si unta dibantai dengan lebih keras di atas belakangnya, Najib menyatakan keazamannya untuk membangunkan Wilapah Pembangunan Iskandar (
WPI). Dia diam.

Selepas itu diumumklan pula ura-ura pembinaan jambatan ketiga ke Singapura. Pembinaan jambatan ketiga membunuh cita-cita pembinaan jambatan bengkok, yang dilihat oleh Dr Mahathir sangat penting untuk mengajar Singapura. Belakang unta semakin sakit akibat dibantai. Tidak juga ia melengking.

Nah, ambik lagi dua liang. Dibantai lagi. Omar Ong dilantik menjadi Ahli Lembaga Pengarah Petronas, Datuk Seri Syed Hamid Albar pula hendak dilantik sebagai Pengerusi 
Petronas. Apabila penyokong kuatnya yang juga kawan saya, The "thirteen million plus Ringgit" guy bagaikan merayu Omar, adakah si unta sudah menunjukkan tanda-tanda ia tak tahan lagi dipukul bantai dengan begitu brutal berulang-ulang kali? Tetapi, dia tetap tak bersuara.

Sambil teringat judul filem KL Menjerit, saya tanya seorang lagi kawan saya yang juga penyokong tegar Dr Mahathir. "Aku menunggu Tun menjerit," kata saya.

"Engkau suka sangatlah tu," katanya. Kawan itu seterusnya memahamkan kepada saya, kalau Najib pun dibelasahnya juga, orang akan fikir Dr Mahathir berlagak seolah-olah dia seorang yang pandai. Hanya dia yang tahu. Orang lain semua bodoh belaka. Naiklah siapa pun menjadi Perdana Menteri, semua tak kena di matanya.

Dari seorang yang berani, Dr Mahathir kini dituduh berubah menjadi penakut. Dia takut dituduh sebagai orang tua perasan - seolah-olah dia seorang sahaja yang pandai dan orang lain semua bodoh.

Orang akan terus bertanya, adakah Najib dan Dr Mahathir sudah bercerai? Atau akan bercerai? Apa pun, Najib ada kira-kira 16 bulan lagi. Bantai, balun jangan tak balun!

KENANGAN KU BUAT EZAM TERSAYANG..

Ezam Mohd Noor bolehlah diibaratkan umpama `lilin yang membakar dirinya' demi untuk Umno yang kini menjadi parti seumur hidupnya. Semenjak beliau `mufarrakah' dari Parti PKR serta tidak lagi bersama gabungan PR, kita lihat Ezam seperti `jentera bajak' buat Umno. Beliau terlalu kuat berusaha untuk meyakinkan ramai orang bahawa kemasukkannya ke dalam Umno adalah tepat, wajar dan bijak. Di dalam masa yang sama Ezam yang dikenali sebagai `raja sesumpah' ataupun `raja kotak' ini berusaha sedaya upaya mempengaruhi rakyat agar menolak PR terutamanya bekas mentornya DS Anwar. Malang seribu kali malang, rakyat telah mengenali Ezam bukan seperti Ezam yang dahulu. Raut wajah Ezam sekarang yang tidak lagi kelihatan bersih, ikhlas dan tenang cukup menggambarkan betapa Ezam kini sebaris dengan Najib, Ali Rustam, KJ dan Khir Toyo.

Umno sendiri cukup mengenali Ezam walaupun terpaksa menerima kemasukan Ezam ke dalam Umno selepas pilihanraya umum ke 12 yang lalu. TPM Muhyiddin Yasin sendiri pernah memberi komen yang menunjukkan beliau kurang yakin dengan kewibawaan Ezam tatkala terdapat khabar angin mengatakan Ezam akan menyertai Umno. Beberapa tokoh Umno yang lain juga turut merasakan bahawa Ezam memasuki Umno kerana ada tujuan tertentu dan mereka masih terasa pedih dengan kata nista Ezam terhadap Umno ketika dahulu. Tetapi oleh kerana Umno ketika itu di dalam keadaan terdesak, maka Ezam yang terbuang dari PKR ini dikutip oleh Umno. Umno tahu bagaimana untuk mengajar Ezam tentang budaya politik Umno yang sebenar.

Ezam sendiri mengaku beliau sedia untuk diperalatkan oleh Umno kononnya untuk agama, bangsa dan negara. Alasan Ezam itu sama juga dengan kata-kata Ibrahim Al-kataki MP Bebas Pasir Mas yang kononnya berjuang seperti yang Ezam perjuangkan. Bukankah semua pemimpin Umno juga berkata demikian? Mereka semua pejuang bangsa, mereka pejuang agama dan negara. Tetapi mengapa rakyat semakin menolak mereka? Mengapa setiap kali Ezam berbunyi, semakin meningkat `markah' di pihak pembangkang? Itulah hikmahnya Allah menjadikan Ezam sedemikan rupa kerana tanpa Ezam di dalam Umno agak sukar untuk PKR mendapatkan sokongan. Buktinya, sewaktu Ezam berada di dalam KeADILan dan PKR, parti ini semakin kurang mendapat sokongan, sekadar mampu meninggalkan Presiden mereka sahaja di Parlimen ketika itu. Di saat PKR menghadapi suasana tertekan dan mulai kehilangan sokongan rakyat selepas pilihanraya umum 2004, Ezam tanpa rasa bersalah kepada penyokong-penyokong setianya meninggalkan PKR kononnya untuk menubuhkan Gerak yang `Non Partisme'. Tidak ramai yang mengikuti jejak langkah Ezam walaupun beliau dikatakan tokoh terhebat ketika itu mengalahkan Azmin Ali bahkan mengatasi Mat Sabu.

Menyedari bahawa perjuangannya di dalam Gerak tidak membawa apa-apa erti buatnya apatah lagi perjuangan utama Gerak untuk menentang rasuah telah dilakukan lebih awal oleh PKR, maka Ezam mencari hala tuju yang lain. Teman-teman rapat beliau sewaktu bersama pembangkang simpati dengan nasib Ezam yang tidak tentu hala perjuangannya. Maka, PAS pernah menawarkan Ezam untuk berjuang bersama parti tersebut sekiranya Ezam merasa malu untuk kembali kepada PKR. Apalah yang ada pada PAS yang boleh menarik minat Ezam untuk bersama parti Islam tersebut. Ezam lebih berselera kepada Umno sebagaimana berseleranya kawan-kawan beliau seperti Roslan Kassim, Zahid Md arip, Lokman dan lain-lain yang lebih awal `menghidu' keenakan berada di dalam Umno. Dengan melupakan sumpah keramat, janji setia, sumpah seranah terhadap Umno/Bn, puji-pujian kepada DS Anwar sebelum ini, maka Ezam dengan wajah tanpa bersalahnya menghulurkan borang keahlian Umno seumur hidup kepada Pak Lah selaku Presiden Umno ketika itu. Hancur luluh penyokong-penyokong dan peminat Ezam ketika itu, bukan kerana Ezam memilih Umno tetapi mereka kesal dan sedih kerana mereka dapat merasakan bahawa Ezam pasti akan menjadi `jentera bajak' kalaupun bukan `pencacai' di dalam Umno nanti.

Kita terlalu sayangkan Ezam, oleh itu kita tidak mahu melihat tokoh yang selama ini dianggap pejuang yang berani dan ikhlas akhirnya akan menjadi hina sehinanya. 
Hingga saat ini siapakah yang lupa bahawa Ezam pernah berkata, " Tunjukkan pada saya, siapakah yang memasuki Umno yang ikhlas?" Tidak perlu kita menjawab soalan Ezam itu, kerana Ezam sendiri ada jawapannya. Mudah-mudahan di penghujung nyawa Ezam nanti beliau tidak terus berada di dalam Umno.


WFAUZDIN NS
wfauzdin.blogspot.com

PENANTI DAN MANIK URAI - `KATAK DUA SEJOLI' DAN SI TANGGANG


Setelah banyak kita bercerita tentang Kak Min di Dun Penanti, mari kita menjenguk sebentar di Kelantan khususnya saat menjelang PRK Dun Manik Urai. Bezanya sedikit sahaja, jika di Dun Penanti Kak Min atau `Minah Ronggeng' (gelaran oleh Azmin) adalah calon bebas sahaja, tetapi di Kelantan `Raja Katak' tersohor adalah Wakil Rakyat bebas Parlimen Pasir Mas. Kedua-duanya tidak banyak beza, seperti `katak dua sejoli'.

Baru-baru ini Ibrahim `Al-Kataki' mula berbunyi semula selepas beliau mempersendakan mogok lapar PR di Perak. Di Perak katanya, mengapa PR tidak mogok sampai mati sahaja? Itulah kata-kata seorang MP yang tidak sedar diri diuntung. Dahulu semasa beliau mencari makan dalam Umno, beliau pernah mempersendakan Tn Guru Nik Aziz dengan menyatakan beliaulah yang mengajar MB Kelantan itu memakai semutar (serban). Beliau dahulu pun pernah menyatakan bahawa Almarhum Ustaz Fadzil Noor (Presiden PAS) seperti Moshe Dayan (Bekas PM Israel) kerana `bermata satu'. Ibrahim Al-kataki ini juga sewaktu era kebangkitan reformasi, beliau menyatakan bagaimana DS Anwar merayu dan memeluk beliau agar beliau dapat membantunya dari dipecat dari jawatan dalam Umno ketika itu. Itulah cara Ibrahim Al-kataki berpolitik dan caranya itu tidak pernah berubah.

Saya dapat merasakan betapa menyesalnya rakyat Pasir Mas mengundi beliau di dalam Pilihanraya Umum ke 12 yang lalu. Tapi, apakan daya ketika itu Tuan Guru Nik Aziz yang pernah dihina oleh Ibrahim Al-kataki ini tidak pernah menyimpan dendam terhadap sesiapa dan bersangka baik terhadap Ibrahim Al-kataki ini. Apatah lagi, Tuan Guru amat kesihan dan simpati apabila melihat Ibrahim Al-kataki ini `disepak serta dihumban' oleh Umno ke dalam `tong najis'. Tuan Guru ambil beliau, bersihkan tubuhnya dari segala kekotoran najis tersebut dan memberikan ruang untuk beliau bercakap serta berkempen untuk membela nasibnya sendiri selepas dizalimi oleh Umno. Akhir sekali, Tuan Guru membuat keputusan yang amat kritikal ketika itu iaitu memberi kerusi Parlimen Pasir Mas kepada Ibrahim Al-kataki. Mungkin selepas Tuan Guru melihat betapa Ibrahim Al-kataki tidak mampu berjuang bersendirian dan beberapa kali tewas di dalam pilihanraya di Pasir Mas sebagai calon bebas. Ternyata Ibrahim Al-kataki bukan seorang yang hebat tanpa bantuan PAS.

Kini, selepas bergelar Ahli Parlimen dengan ehsan PAS, Ibrahim Al-kataki mula lupa diri seperti kisah `Si Tanggang'. Beliau berkata akan mendedahkan segala kelemahan kerajaan PAS di Kelantan di bawah Tuan Guru yang telah `memberi' nya makan. Kita tidak kisah tentang apa pun pendedahan yang mungkin akan didedahkan oleh Ibrahim Al-kataki ini kerana rakyat Kelantan khususnya di Manik Urai telah begitu lama mengenali siapa Ibrahim Al-kataki ini. Sebelum beliau ditabalkan menjadi Ahli Parlimen, di dalam ceramahnya di Kelantan tidak lekang mulutnya memuji kepimpinan Tuan Guru. Tetapi setelah menyedari bahawa di dalam pilihanraya umum akan datang kemungkinan besar beliau akan bertanding bersendirian atau mewakili Umno (jika Umno masih selera memilihnya) beliau akan hilang deposit, maka tiada pilihan lain terpaksa Ibrahim Al-kataki ini menjilat kahaknya kembali.

Apa yang ingin didedahkan oleh Ibrahim Al-kataki? Bagaimana beliau ingin mendedahkan keburukan orang lain sedangkan dirinya kini telah terdedah dengan segala kejelekan? Saya agak hairan bagaimana beliau mampu mempunyai kulit muka yang `tebal' untuk terus berada di kerusi Parlimen Pasir Mas? Itulah kelebihan Ibrahim Al-kataki dan keajaibannya yang sukar ditandingi termasuk oleh Raja Sesumpah mahupun Kak Min walaupun dari `spesis' yang sama. Raja Sesumpah meskipun termasuk dalam kategori Al-kataki, tetapi sekurang-kurangnya beliau tidak pernah memakan hasil suapan orang yang ditentangnya. Begitu juga dengan Kak Min yang baru hendak belajar dari Ibrahim Al-kataki dan juga dari Raja sesumpah.

"Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan" dan "Alang-alang katak melompat, biar sampai ke dalam tong najis". Mungkin inilah prinsip Ibrahim Al-kataki sekarang. Kita akan melihat gelagat Ibrahim Al-kataki ini nanti sewaktu kempen di Manik Urai tidak berapa lama lagi. Saya berharap agar semasa kempen itu nanti, cuaca dalam keadaan baik di Manik Urai kerana saya bimbang jika Katak berbunyi, maka hujan pun turun.

WFAUZDIN NS
wfauzdin.blogspot.com