"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Musa Hassan nafi hantar surat letak jawatan

Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan hari ini menafikan laporan sebuah akhbar bahawa beliau telah menghantar surat peletakan jawatannya kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, lima bulan sebelum tamat tempoh kontrak perkhidmatannya.

Menurut The Star, Musa menafikan laporan tersebut.

Akhbar China Press,melaporkan Musa dijangka meletak jawatan secara rasmi pada 25 Mac di majlis sambutan ulangtahun ke-203 Hari Polis.


Sumber-sumber berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Hishammuddin telah menerima peletakan jawatan Musa.

Jika tiada perubahan pada saat-saat akhir, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dilaporkan akan menggantikan Musa sebagai ketua polis negara.

Laporan peletakan jawatan oleh Musa itu dibuat sehari selepas bekas Pengarah Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Ramli Yusuff, dilepaskan daripada tuduhan tidak mengisytiharkan asetnya.

Sementara itu, Star Online yang menghubungi Musa melaporkan ketua polis negara sebagai berkata bahawa beliau tidak mengemukakan sebarang surat peletakan jawatan kepada perdana menteri atau kepada sesiapapun.

Ia memetik Musa sebagai berkata, yang beliau mahu tahu sekiranya sumber tersebut adalah dari saluran rasmi atau 'bawah tanah'.

"Saya tahu ia bukan dari Kementerian (Dalam Negeri) kerana saya sudah menghubungi Ketua Setiausaha Datuk Mahmood Adam yang tidak tahu menahu mengenainya," kata Musa dalam laporan tersebut.

Kontrak perkhidmatan Musa sebelum ini telah dilanjutkan selama setahun sehingga September depan.

Sementara itu, pegawai akhbar kepada menteri dalam negeri, Nik Ahmad Khusairi Nik Ibrahim, ketika dihubungi Malaysiakini, telah menafikan laporan Musa telah menghantar surat peletakan jawatannya.

Menurutnya, Hishammuddin menafikan laporan tersebut dalam satu sidang akhbar di Kemaman, Terengganu pagi ini.

Bercakap kepada pemberita di Kemaman, Hishammuddin menyifatkan laporan yang memetik sumber itu sebagai pembohongan dan ia adalah sesuatu yang serius, lapor Bernama.

Sehubungan itu beliau mengarahkan Ketua Setiausaha KDN untuk memanggil editor akhbar terbabit bagi
memberi penjelasan berhubung perkara itu.

"Kalau ada sesuatu perubahan berkaitan (peletakan jawatan) saya akan tahu...keadaan hubungan saya dengan Ketua Polis Negara dan timbalannya amat baik sekali.

"Tidak mungkin mereka akan letak jawatan tanpa pengetahuan saya dan saya tahu itu (laporan akhbar) adalah satu pembohongan dan saya akan ambil tindakan tegas," katanya.

Hishammuddin berkata beliau mengetahui setiap perkara yang berlaku dalam pucuk pimpinan tertinggi pasukan Polis Diraja Malaysia yang merupakan sebuah jabatan di bawah kementeriannya.

Menurutnya, sebarang perubahan dalam jawatan tertinggi pasukan itu akan ditentukan kerajaan termasuk Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri dan beliau sendiri sebagai menteri yang bertanggungjawab, dan bukannya berlandaskan spekulasi media.

"Isu berhubung peletakan jawatan IGP bukan hari ini sahaja...tahun sebelum saya jadi menteri dalam negeri pun isu ini dah timbul, jadi kenapa sekarang saya patut layan isu ini.

"Mereka (akhbar terbabit) kena bertanggungjawab. Saya beri amaran keras kepada China Press, jangan buat laporan yang tidak benar dan jika mereka gagal memberikan alasan yang munasabah kita akan ambil tindakan terhadap mereka," katanya.

Beliau berkata setakat ini Musa masih menjalankan tugas seperti biasa dan kontraknya dijangka tamat pada September ini.

Hishammuddin bagaimanapun tidak menafikan akan berlaku perubahan melibatkan jawatan tertinggi PDRM dalam tempoh terdekat berikutan empat pengarah akan bersara tahun ini.

"Dalam masa enam bulan sebelum September, selalunya akan berjalan proses peralihan dan perubahan kuasa, kita akan buat pengumuman. Perancangan PDRM tidak akan berkisar kepada jawatan IGP sahaja kerana empat pengarah jabatan juga akan bersara tahun ini.

"Nanti saya akan umum perancangan itu dalam tempoh terdekat...dan saya telah melihat dan mendapat pandangan setiap lapisan PDRM untuk perubahan dan peralihan kuasa ini. Kita akan lihat satu bab baru dalam pasukan polis," katanya.

-malaysiakini-

Ahli BN mengadu masalah kepada Pakatan Rakyat

Sejauhmana slogan retorik Pengerusi BN, Najib Razak, Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan jika ahli parti sendiri diusir dari tanah mereka?

Itu persoalan yang ditimbulkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Sentosa, Chong Chieng Jen berhubung aduan yang diterimanya dari oleh ahli SUPP, salah satu sekutu BN di Sarawak berhubung permasalahan tanah yang dihadapi oleh ratusan penduduk dari sebuah perumahan Jalan Peace Selatan, di negeri Sarawak.

Menurutnya, penduduk berkenaan telah menetap di tanah itu antara 30 hingga 40 tahun lalu tetapi ingin diusir oleh kerajaan dengan cara memaksa mereka menandatangi satu surat pengakuan.

“Jika penduduk itu menandatangi surat itu, pihak tertentu yang berkepentingan berhak dan ada kuasa untuk merampas dan mengusir rakyat yang menetap di situ sejak 30 tahun lalu.

Inilah taktik BN yang selama ini terus merampas dan merompak hak rakyat,” katanya ketika dihubungi erapakatan.com.

Sehubungan itu, pihkanya bersama pimpinan Pakatan Rakyat di kawasan itu akan membawa perkara itu kepada pihak atasan termasuklah di Parlimen dan dalam persidangan Dun bagi memastikan kes itu diselesaikan dengan segera.

Beliau turut memberitahu, ratusan penduduk itu telah mengisi borang maklumat yang disediakan oleh pihaknya bagi mengumpul semua maklumat penting dan berjanji memperjuangkan isu itu.

“Inilah stail dan cara BN menguruskan rakyat, tidak memberikan hak kepada yang sewajarnya tetapi lebih kepada mementingkan diri dan kroni mereka sahaja,” katanya yang juga Adun Kota Sentosa.

Terdahulu, ratusan penduduk itu mengadukan masalah berhubung tanah yang mereka duduki sejak puluhan tahun lalu kepada wakil rakyat DAP itu yang diketuai oleh Chang Fook Kui yang juga ahli Barisan Nasional dari SUPP.

Difahamkan, beliau menjadi ahli SUPP sejak puluhan tahun lalu dan cukup tertekan dan terkilan atas tindakan zalim oleh kerajaan BN yang selama ini dipangkahnya.

-EraPakatan-

1Malaysia: Ada pelajar kelaparan, ikat perut

A. Nuri
Setelah dilantik menjadi Perdana Menteri kalau tak silap saya, Dato Seri Najib telah melakukan kunjungan ke beberapa IPTA. Antaranya UM, UIA dan terkini semalam di UKM.

Setiap pertemuan itu digambarkan berlangsung dengan penuh kemesraan untuk mengetahui sendiri kehidupan dan masalah pelajar di kampus. Media menggambarkan Najib duduk semeja beramah mesra dengan pelajar dalam suasana santai dengan mengenepikan protokol.

Dalam tujuan lain untuk menggambarkan idea 1Malaysia itu rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan benar-benar dizahirkan. Sepanjang pertemuan itu adakah Najib benar-benar cuba menyelami kehidupan pelajar atau sekadar untuk propaganda media dan mengaburi masyarakat di luar sana?

Adakah Najib tidak dimaklumkan bahawa terdapat pelajar IPT yang terpaksa mengikat perut menahan lapar kerana kos hidup di IPT yang tidak tertanggung?
Ini sebagaimana didedahkan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah.

Adakah pimpinan pelajar yang pro aspirasi (pro Umno-BN) yang bersama Najib itu hanya pandai membodek dan mengampu Perdana Menteri tentang masalah sebenar yang berlaku di kampus?

Sebenarnya isu pelajar terpaksa mengikat perut bukan isu baru. Bukan sesuatu yang luar biasa apabila ramai pelajar terpaksa buat kerja sambilan di sebelah malam atau ketika tidak ada kuliah untuk meneruskan survival kehidupan di kampus. Keadaan diburukkan dengan pembayaran pinjaman PTPN atau agensi tertentu yang tak tentu masa dan sering sangkut-sangkut.

Apabila membuat kerja sambila sudah pasti tumpuan kepada pelajaran terjejas. Tetapi mereka tidak punya pilihan lebih-lebih lagi dalam suasana kos kehidupan dalam negara yang serba serbinya mahal.

Saya mempunyai maklumat dan bukti bahawa ada pelajar IPT yang hanya makan dua kali sehari. Namun siapa yang peduli itu semua. Apa yang lebih dirisaukan oleh kerajaan 1Malaysia ialah apabila pelajar IPT menyokong pembangkang atau menyertai program Pakatan Rakyat.

Maka semua usaha dilakukan untuk memastikan pelajar IPT kembali menyokong kerajaan 1Malaysia. Justeru itu pelbagai cara dilakukan sama ada campur tangan pilihanraya kampus sehinggalah mengatur pelbagai program dan peraturan dengan berlindung di sebalik AUKU untuk mengikat dan menjerut pelajar.