"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Muntah ikan paus jadikan nelayan ini jutawan

Muscat – Seorang nelayan Oman bakal menjadi juawan selepas dia menaikkan longgokan besar ambergris atau muntah ikan paus ketika menangkap ikan di pesisir pantai negara itu.

Bahan berwarna kelabu seperti lilin itu ialah hasil sampingan sistem penghadaman paus sperma yang digelar ‘emas terapung.’

Harganya amat mahal dan menjadi buruan syarikat pengeluar minyak wangi kerana ia menyebabkan reaksi kimia yang menjadikan wangian kekal lama.

Khalid Al Sinani menemui longgokan muntah paus seberat 60 kilo itu ketika memeriksa jalanya di luar pantai Qurayat.

Pakar berkata, muntah ikan boleh dijual dengan harga lebih RM11 juta.

Bercakap kepada media tempatan, Khalid berkata: “Saya dalam pelayaran pulang apabila terhidu bau sangat busuk tidak jauh dari bot saya. Apabila memeriksanya, saya nampak selonggok besar bahan terapung di air. Saya menggunakan tali untuk menariknya. Beratnya lebih 60 kilogram sedangkan bot saya hanya enam meter panjang.”

Menurut media tempatan, Khalid yang berusia 30-an merancang berhenti menjadi nelayan dan mahu hidup mewah.

Dia sudahpun menolak tawaran sebuah syarikat pembuat minyak wangi tempatan yang mahu membeli muntah paus itu pada harga RM61,100 sekilo.

Dia memberitahu akhbar Shabiba: “Impian saya menjadi kenyataan. Saya menanti saat ini sejak 20 tahun lalu apabila mula menjadi nelayan bersama bapa.”

Ambergris terbentuk dalam usus paus sperma untuk melindungi sistem penghadamannya daripada objek tajam seperti muncung sotong yang ditelannya ketika makan.

Ia sama ada dimuntahkan atau dikeluarkan menerusi sistem penghadaman dan akan terapung di laut atau dibawa ombak ke pantai.
kualalumpurpost

Kisah lucu peguam PKR 'pedajal' Baju Merah

Perhimpunan BERSIH5 yang berlangsung Sabtu lalu masih diperkatakan meskipun sudah tiga hari acara itu berlalu.Bagi seorang peguam PKR dari Pahang, Ahmad Nizam Hamid, ada pengalaman lucu tidak dapat dilupakan ketika dalam perjalanan menyertai himpunan berkenaan di Kuala Lumpur.

Menceritakan kejadian itu di Facebooknya, Nizam berkata beliau bersama kumpulannya menginap di sebuah hotel di Jalan Raja Laut, sehari sebelum perhimpunan berlangsung.

Ketika mahu mendaftar masuk, kebetulan hotel itu dipenuhi anak-anak muda Baju Merah yang menyangka kumpulan Nizam adalah sebahagian daripada mereka.

Cerita lucu bermula ketika mereka sedang menunggu lif apabila seorang lagi aktivis PKR, Raja Burhan Raja Jaapar bertanya kepada anak-anak muda itu sama ada mereka telah diberi minum 'air selusuh' oleh 'Ayahanda' mereka.

"Saya pada mulanya ingin bertanya dan membetulkan tetapi melihat muka Tok Raja Burhan yang menyeringai, saya hanya mampu menahan ketawa.
"Air selusuh ni disediakan oleh Ayahanda bagi minum supaya esok bersemangat, tak takut, musuh takut dengan kita. Kalau nak tumbuk selisih sipi je tak kena ke kita. Kalau 5 atau 6 orang musuh padan dengan kita seorang je," tulis Ahmad Nizam mengajuk semula percakapan rakannya.

Nizam berkata, beliau dan rakan-rakannya yang lain cuba sedaya upaya menahan ketawa ketika 'mengenakan' anak-anak muda berkenanaan.

"Terlihat kekaguman di wajah mereka (Baju Merah) mendengar penjelasan TRB (Tok Raja Burhan) tentang power air selusuh. Dan mereka menjawab, tidak ada diberikan minum air itu.

"Sampai di bilik kami ketawa besar dan saya ketawa hingga sakit perut!" cerita Nizam.

Dalam kepercayaan masyarakat Melayu, air selusuh merupakan air yang telah didoakan untuk diminum ibu hamil supaya mudah melahirkan anak.

"Air selusuh ini ialah air yang telah didoakan untuk diminum oleh ibu-ibu hamil yang akan bersalin atau melahirkan bayi dan tak ada kena mengena boleh memberikan superpower! Hahahahahahahaha," tulis Nizam di Facebooknya.

'Kecewa' bayaran tak sekata

Cerita Nizam bagaimana mereka 'mengenakan' anak-anak muda dari Sungai Besar, Selangor itu tidak habis di situ sahaja.

Ketika di lobi hotel keesokan paginya, anak-anak muda itu bertanya mengenai wang yang akan diberikan di PWTC.
"Seorang teman saya mengiyakan dan bagitahu untuk hari Sabtu 19/11/2016, ada wang yang akan diberikan.

"Ayahanda-ayahanda dapat RM500, macam kami RM250 dan korang RM50 seorang. Selain itu duit minyak, makan dan hotel suku (dibayar lain)...pergilah ambil," kata sahabat Nizam kepada anak-anak muda itu.

Nizam berkata, mereka terdengar rungutan tidak berpuas hati di kalangan anak muda berkenaan mengenai bayaran tidak sekata dan tidak seperti dijanjikan.

"Kami tak tahu sama ada mereka memang pergi ke PWTC minta wang! Dan sekali lagi kami menyeringai menahan ketawa," cerita Nizam.

Perhimpunan BERSIH5 diadakan pada Sabtu lalu, antara lain menuntut pilihan raya yang bersih dan adil serta pembaharuan institusi negara.

Sebagai membantah BERSIH yang dikaitkan anasir luar, gerakan Baju Merah yang dipimpin Ketua Bahagian Umno Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos juga mengadakan himpunan balas pada hari yang sama.

Sebelum ini, pemimpin Baju Merah menafikan mereka memberikan wang kepada peserta untuk terlibat dalam himpunan anjuran gerakan itu.
-malaysiakini

Haji Hadi nak ambil tindakan terhadap Mahfuz Omar dan beberapa orang lagi YB PAS yang menyertai Bersih 5 (Gambar)

KUALA TERENGGANU: PAS akan mengambil tindakan terhadap anggota parti yang didapati menyertai perhimpunan Bersih 5.0 di Kuala Lumpur pada Sabtu lalu, kata Presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata jika menerima aduan dan terbukti, anggota parti yang berkenaan akan dirujuk kepada Jawatankuasa Disiplin parti untuk tindakan.

"Jika ada aduan... parti tidak boleh bertindak sekiranya tiada aduan.

"Saya juga mengucapkan terima kasih kepada anggota dan penyokong PAS yang akur keputusan parti dengan tidak hadir ke perhimpunan tersebut," katanya kepada pemberita di luar persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Beliau juga mengulangi pendirian tegas PAS untuk menolak sebarang percubaan mana-mana pihak yang cuba mencetuskan sesuatu di luar sistem demokrasi.

"Kita tidak mahu (dalam) demonstrasi ini berlaku pertembungan yang merugikan rakyat. Ini sangat penting dan perlu diawasi," katanya.
-Bernama