"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kenapa Azmin tenggelam dalam Pakatan Harapan?

MUAMMAR GHADDAFI 
Memulakan langkah awal dalam politik sebagai setiausaha peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tentunya merasai turun naik sebagai pemimpin parti politik yang mana jawatan tertinggi yang disandang oleh beliau adalah timbalan presiden PKR bermula tahun 2010 apabila penyandang sebelum beliau, Dr. Syed Hussien menolak untuk dicalonkan semula.

Azmin pernah memenangi kerusi Hulu Klang pada pilihan raya umum tahun 1999 namun dihalang untuk bertanding pada 2004 oleh mahkamah, beliau kembali pada PRU 2008 dengan menang bergaya di Parlimen Gombak dan Dun Bukit Antarabangsa.

Walaupun pada pilihan raya umum 2008 gabungan pembangkang (kemudiannya membentuk Pakatan Rakyat) gagal menawan Putrajaya namun berjaya menawan 4 Negeri dan salah satunya adalah Negeri Selangor.

Tan Sri Khalid Ibrahim, pendatang baru dalam PKR telah diangkat menjadi Menteri Besar Selangor, negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat.

Sepanjang mandat 5 tahun yang diberi kepada Khalid Ibrahim mentadbir sebagai menteri besar dari 2008 ke 2013, tidak kedengaran secara terbuka sebarang bantahan atau penolakan mana mana pihak terhadap perlantikan beliau.

Namun sedikit “huru hara” berlaku dalam PKR selepas PRU13 apabila Khalid sekali lagi dilantik sebagai Menteri Besar Selangor dan Azmin dan kumpulannya dilihat menentang keputusan ini sehingga ada kenyataan media oleh beliau sehingga menjadi titik awal “kemelut dalaman PKR” .

Bukan menjadi rahsia bahawa Langkah Kajang yang berlaku kemudiannya, antara salah satu faktor ia dijalankan adalah untuk menyelesaikan krisis dalaman PKR (tanpa mengabaikan faktor faktor lain), pada peringkat awal Langkah Kajang dijalankan dengan tujuan untuk mengangkat Anwar sebagai Menteri Besar, namun sebelum langkah itu dapat dilaksana, mahkamah telah memenjarakan beliau dan matlamat seterusnya Langkah Kajang adalah untuk mengangkat Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar mengantikan Khalid.

Namun kerana desakan Istana dan Presiden Pas (Walaupun mesyuarat AJK Pas memutuskan untuk menyokong Wan Azizah) juga waktu itu yang menolak perlantikan Wan Azizah, sekali lagi berlaku perubahan pada rancangan dan dengan sokongan Pas, Azmin Ali dinobatkan sebagai menteri besar yang baru, mengantikan Khalid.

Dan disinilah bermula satu lagi episod baru politik tanah air, pertembungan di Selangor tidak hanya berlegar dalam Negeri bahkan sehingga memecahkan Pakatan Rakyat. DAP bertindak memutuskan hubungan dengan Presiden Pas kerana bertindak membelakangi majlis Presiden Pakatan Rakyat, yang seterusnya membawa kepada putusnya tahaluf antara Pas dan DAP di muktamar Pas dari usul yang diluluskan tanpa bahas. Dalam muktamar yang sama menyaksikan juga tersungkurkan kelompok Pro Pakatan Rakyat /Profesional dalam Pas secara setandan yang akhirnya kemudian menubuhkan Parti AMANAH Negara (AMANAH)

Apabila tahaluf Pas-DAP terputus, yang pertama dilakukan oleh pemimpin Pas yang pro Pakatan Rakyat, Mohamad Sabu telah bertindak mengumumkan perletakan jawatan beliau dalam jawatan lantikan di Pulau Pinang, kerajaan Pulau Pinang juga bertindak memecat Semua pemegang lantikan politik dalam institusi kerajaan dan setelah Pakatan Harapan ditubuhkan, dengan segera Pulau Pinang diistiharkan negeri dibawah Pakatan Harapan.

Namun, pada waktu ini kerajaan Selangor dibawah Azmin masih enggan mengiktiraf Selangor sebagai negeri Pakatan Harapan , sebaliknya kekal ia sebagai negeri “Pakatan” , tanpa ada “Rakyat” di belakangnya.

Namun hujah awal Azmin boleh diterima walaupun kita mungkin berbeza, iaitu beliau ingin mengekalkan mandat yang diberi rakyat pada PRU13 iaitu kepada PR dan pada waktu juga “PR” masih belum terkubur sepenuhnya kerana PKR masih mengekalkan kerjasama antara Pas dan DAP.

Walaupun pemimpin AMANAH meluahkan rasa tidak senang namun ia tidak menjadi isu yang dijaja secara terbuka.

Namun satu titik noktah baharu dalam Pakatan Rakyat apabila Pas dalam muktamarnya pada bulan Mei tahun lalu memutuskan hubungan dan kerjasama dengan PKR sekaligus menguburkan Pakatan Rakyat, disini timbul satu persoalan serius iaitu kesan putusnya hubungan ini, samada Kerajaan Selangor yang ditadbir Azmin akan segera istiharkan Selangor sebagai negeri dibawah Pakatan Harapan dan memecat exco exco dan semua jawatan lantikan politik dari Pas setelah tidak ada lagi hubungan dan kerjasama politik antara Pas dan PKR.

Dan Azmin, ternyata memilih untuk mengekalkan Pas.

Banyak andaian yang muncul, ada yang mendakwa ia sebagai tanda terima kasih terhadap Pas yang menyokong beliau sebagai Menteri Besar, ada juga andaian hubungan yang tidak baik antara Azmin dan pemimpin parti pembangkang lain menyebabkan Azmin perlu sokongan Pas jika beliau mahu kekal sebagai menteri besar ataupun sebagai perdana menteri sekiranya Barisan Nasional tewas.

Tidak kurang, andaian bahawa Azmin tahu dia tidak mempunyai sokongan dalam kalangan parti dalam Pakatan, bahkan dalam partinya sendiri wujud beberapa kem berbeza hingga mengecilkan lagi peluang untuk Azmin diangkat menjadi Perdana Menteri sekiranya Pakatan memenangi Putrajaya.

Andaian ini kekal menjadi andaian, namun dimana silap langkah Azmin adalah, disaat beliau masih tidak dipuncak kuasa di peringkat nasional, beliau bertindak cuba mengukuhkan pengaruh melalui kuasa Menteri Besar yang ada, dan Azmin tidak mengukuhkan kuasa dengan cuba membina hubungan baik dengan semua pihak, sebaliknya wujudkan satu kem tersendiri.

Pihak yang berpotensi menjadi lawan beliau dicantas, bukan rahsia Saifudin Nasution yang hanya menerima tawaran di Pulau Pinang selepas Selangor tidak melantik beliau, namun kita lihat ramai yang pro Azmin, membina kekuatan di Selangor walaupun bukanlah tokoh lama atau aktivis senior PKR.

Dengan sikap dan tindakan Azmin, tidak hairanlah hari ini kita lihat, Azmin begitu tenggelam dalam Pakatan Harapan, walaupun memegang jawatan Ketua Pilihan Raya namun nama beliau menjadi tidak sinonim dengan Pakatan Harapan malah lebih teruk, beliau langsung tidak popular dalam Pakatan Harapan.

Bahkan kita tahu Azmin cuba mendapatkan jawatan Naib Presiden Pakatan Harapan, namun tidak mendapat sokongan dari mana mana wakil lain, bahkan khabarnya, wakil PKR sendiri tidak menyokongnya.

Ini jelas kesan dari langkah silap beliau dalam mencatur agenda politik, menafikan hak ramai pihak sebagai rakan dan sekutu parti dan tidak hairanlah, bahawa tidak menjadi rahsia Azmin tidak mendapat sokongan padu samada sebagai calon Perdana Menteri, hatta sekadar untuk mengekalkan jawatan Menteri Besar sekali pun.

Jika benar Azmin gagal peroleh sokongan semua, siapa agaknya penganti beliau jika menang di Selangor? Yang pasti Selangor kekal “milik” PKR, namun mungkin, individu lain, yang lebih muda sebagaimana di war-warkan penyokong Azmin mahukan orang muda sebagai calon PM, tentunya tiada masalah untuk mengangkat orang muda sebagai menteri besar Selangor.

Nik Nazmi mungkin.

Jabatan Penjara halang Mahathir jumpa Anwar di hospital

MALAYSIA DATELINE
Hasrat Tun Dr Mahathir Mohamad untuk melawat Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak kesampaian selepas dimaklumkan Jabatan Penjara Malaysia tidak membenarkan beliau bertemu Anwar atas arahan pihak atasan di Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Tidak ada sebab…mereka kata mereka dapat arahan daripada seseorang yang tinggi yang saya tak dibenarkan untuk berjumpa Anwar

“Perkara macam ini tak pernah berlaku di zaman sewaktu saya adalah seorang diktator. Tak pernah saya larang sesiapa pun untuk berjumpa tapi kerajaan yang digelar demokratik ini nak pergi tengok orang sakit pun tak boleh,” katanya kepada media di ruang legar Hospital Rehabilitasi Cheras petang tadi.

Beliau berhasrat bertemu Anwar hanya untuk mengucapkan terima kasih secara peribadi kerana Anwar telah memudahkan rundingan calon perdana menteri bagi Pakatan Harapan (PH) sebagaimana diumumkan dalam Muafakat Pakatan Harapan pada Konvensyen PH pada Ahad lalu.

Beliau digandingkan dengan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Timbalan Perdana Menteri sekiranya gabungan parti dalam PH itu berjaya menumbangkan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 kelak.

Ditanya sama ada beliau akan membuat rayuan kepada KDN, Pengerusi PH ini tidak percaya kerajaan akan menjawab suratnya.

“Dalam kerajaan sekarang ni bila kita tulis surat, dia tak jawab. Kita buat permohonan untuk daftar PH tak jawab. Bila kita hantar peringatan tak jawab,” katanya.

“Tak ada maklum balas jadi kami pun tak tahu sama ada mereka mahu membenarkan atau tidak. Kita boleh cuba dan mencuba, saya boleh hantar ratusan permohonan atau tengok Deklarasi Rakyat tapi ia tidak akan jadi,” katanya.

Biarlah Dr Mahathir pimpin semula, dia sudah berubah

The Malaysian Insight
SEMENTARA ramai yang ragu-ragu dengan kepimpinannya sebelum ini, ramai rakyat Malaysia di enam negeri percaya bahawa Dr Mahathir Mohamad sudah berubah dan tidak akan mengulangi perangai autoritarian sepanjang 22 tahun memerintah, jika beliau menjadi perdana menteri sekali lagi.

Ramai berkata keadaan dalam negara sekarang sudah berubah dan sukar untuk bekas perdana menteri itu melakukan cara seperti dulu ketika menjadi peneraju negara ini.

Dr Mahathir memenjarakan pembangkang tanpa perbicaraan atas alasan keselamatan pada 1987 dan dilihat sebagai tokoh autoritarian yang melanggar hak asasi manusia.

Kini, apabila beliau menjadi pengerusi gabungan pembangkang Pakatan Harapan (PH), ramai berasakan rakan sekerjanya pada masa ini akan memastikan beliau mengikut garis panduan parti.

Dr Mahathir dan Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail menjadi pilihan PH untuk menjadi calon perdana menteri dan timbalan perdana menteri jika pembangkang menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pengumuman itu mencetuskan pelbagai reaksi daripada Barisan Nasional (BN) dan juga beberapa bahagian dalam PH sendiri.

The Malaysian Insight menemu bual rakyat di seluruh negara dan di bawah ini sebahagian pendapat mereka tentang keputusan PH.

Lembah Klang

* Kamaruizam Mohd Kamal, 46, berkata Dr Mahathir menyediakan kepimpinan yang membawa perubahan kepada negara pada zaman pemerintahannya.

“Pembangkang sekarang ada fokus jelas dan rakyat tahu apa yang mereka tawarkan jika kami undi mereka,” kata eksekutif di sebuah syarikat automotif itu.

“Beliau bawa perubahan hebat dalam sektor kejuruteraan dan menggalakkan rakyat belajar kejuruteraan dan menjadikan Malaysia negara perindustrian.”

* Penilai pasaran, Chan Hon Pin, 60, berpendapat Dr Mahathir kini seorang yang bertanggungjawab.

“Pada usia 92 tahun beliau masih ada kekuatan dan boleh betulkan apa yang salah dalam negara ini, walaupun jika beliau akan hanya memegang jawatan itu dalam tempoh sekejap, sehingga Anwar Ibrahim ambil alih,” katanya.

* Jean Vaneisha Ravindran, 23, berkata tidak mungkin Dr Mahathir dapat bertindak sebagai autoritarian lagi seperti dulu kerana beliau berjanji untuk tidak melebihi had perjanjian PH.

Katanya, Dr Mahathir adalah apa yang pembangkang perlukan untuk bersatu dan mereka juga akan memastikan beliau tidak tersasar.

Jean berkata beliau boleh dipersalahkan kerana Ops Lalang dan mencacatkan sistem kehakiman tetapi hakikatnya beliau kini berjanji untuk membetulkan semua kesilapan itu.

*Amirah Zaharin, 26, seorang perancang perkahwinan berkata beliau tidak kisah Dr Mahathir jadi perdana menteri lagi.

“Umurnya 92 tahun. Dulu beliau pernah kata tidak mahu lagi masuk politik, berapa lama lagi dia ada untuk perintah negara ini,” katanya.
Penilai pasaran, Chan Hon Pin, 60, berpendapat Dr Mahathir Mohamad kini seorang yang bertanggungjawab. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 10 Januari, 2018.
Penilai pasaran, Chan Hon Pin, 60, berpendapat Dr Mahathir Mohamad kini seorang yang bertanggungjawab. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 10 Januari, 2018.Katanya, tidak mungkin Dr Mahathir jadi seperti dulu hingga digelar "Mahafiraun".

“Saya tidak setuju yang beliau mahafiraun sekarang. Mungkin beliau masih tegas dalam membuat keputusan, tetapi ia perlu dibuat.

“Kalau dia jadi seperti dulu pun, berapa tahun lagi dia ada, dia bukan akan hidup selamanya.”

Pulau Pinang

* Ejen hartanah Wilson Moorthy, 50, berkata tidak ada orang lain lagi yang boleh memimpin pembangkang menentang BN pada PRU14.

Katanya, Dr Mahathir juga sudah mengakui salahnya dan meminta maaf atas kesilapan lalu.

“Tidak perlu melihat kepada kesilapan pentadbirannya yang lalu. Terlalu banyak isu dalam kerajaan sekarang dan jika rakyat nak mengubah, ini peluang terakhir, kita kena ambil,” katanya.

Wilson berkata tidak mengapa Dr Mahathir hanya perdana menteri sementara sehingga Anwar dibebaskan, dan menjadi perdana menteri.

* Penulis dan penterjemah Hajjar Nurhayyu Zainal, 31, berkata pembangkang mengambil risiko dengan mencalonkan Dr Mahathir sebagai perdana menteri.

Beliau berkata ada sebahagian perkara yang Dr Mahathir lakukan ketika menjadi perdana menteri dulu bukan hanya kesilapan yang boleh dimaafkan, semata-mata kerana beliau membuat permohonan terbuka.

Katanya, PH nampak seperti membenarkan pemimpinnya melakukan kesalahan, kerana mereka hanya perlu minta maaf beberapa tahun kemudian.
Kamaruizam Mohd Kamal, 46, berkata Dr Mahathir Mohamad menyediakan kepimpinan yang membawa perubahan kepada negara pada zaman pemerintahannya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 10 Januari, 2018.
Kamaruizam Mohd Kamal, 46, berkata Dr Mahathir Mohamad menyediakan kepimpinan yang membawa perubahan kepada negara pada zaman pemerintahannya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 10 Januari, 2018.
* Pelajar Jefry Musa, 24, berkata langkah itu tidak menunjukkan perjuangan untuk perubahan dan nilai baharu.

“Belia mengharapkan PH membawa nilai baharu. Saya tidak nampak bagaimana beliau boleh bawa perubahan,” katanya.

Jefry berkata tidak jelas apa agenda dan perubahan yang boleh dibawa oleh Dr Mahathir untuk membetulkan kesilapan dalam negara, dengan sesetengahnya bermula pada pentadbiran Dr Mahathir sendiri.

“Beliau minta maaf. Tetapi permohonan itu kerana kesilapan masa lalunya untuk memperbetulkan kesalahan atau hanya untuk undi?”

Johor Baru

* Fadzli Farid, 31, berkata usia Dr Mahathir mungkin jadi isu, tetapi berpasangan dengan Wan Azizah adalah pilihan lebih baik untuk pengundi.

“Kombinasi PH lebih menarik sokongan saya. Dr Mahathir ada idea dan Wan Azizah boleh melaksanakannya.”

* Usahawan, Mohd Noramin Md Ariffin dan Hafsham Mizan Mazlan berkata memilih Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri adalah langkah terkebelakang kepada PH untuk memimpin negara ini dan pada masa sama menunjukkan mereka kurang calon berkelayakan.”

Mereka berkata pakatan pembangkang sepatutnya ambil peluang dengan menampilkan pemimpin lebih muda.
Pakatan Harapan mengumumkan secara rasmi calon perdana menteri dan timbalan parti pembangkang jika menang PRU14 ialah Dr Mahathir Mohamad dan Dr Wan Azizah Wan Ismail. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Januari, 2018.
Pakatan Harapan mengumumkan secara rasmi calon perdana menteri dan timbalan parti pembangkang jika menang PRU14 ialah Dr Mahathir Mohamad dan Dr Wan Azizah Wan Ismail. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Januari, 2018.

Kota Kinabalu

* Peguam Bryan Chua berkata secara umumnya rakyat Sabah ada isu kepercayaan dengan bekas perdana menteri itu.

Katanya, Dr Mahathir sudah pastinya melakukan kerosakan di Sabah, tetapi difahami pencalonannya itu dibuat demi kebaikan.

“Ia untuk menggulingkan kerajaan BN. Jika Anwar yang pernah dipenjarakan oleh Dr Mahathir boleh maafkan beliau, untuk mencapai kejayaan lebih besar, kenapa tidak saya?

Beliau juga percaya Dr Mahathir tidak akan mempunyai kuasa mutlak bila jadi perdana menteri dan PH membentuk kerajaan persekutuan.

* Juruteknik James Bahrin, 42, berkata beliau hilang kepercayaan kepada pemimpin dari semenanjung.

“Baik Najib (Razak), Anwar (Ibrahim) atau Dr Mahathir. Mereka semua sama saja. Sabah ada banyak sumber dan kerajaan persekutuan mencurinya.

“Jika mereka benar-benar ikhlas, pemimpin politik berkenaan sepatutnya pulangkan hak istimewa negeri ini sebelum hendak undi saya,” katanya.

Kuching

* Eksekutif perhubungan awam Kuan Thai Meng, 30, berkata pemilihan Dr Mahathir sebagai perdana menteri hanya menunjukkan PH tidak ada pemimpin berkelayakan.

“Lebih pun, saya percaya rekod lampau Dr Mahathir sebagai perdana menteri boleh menentangnya jika pengundi di Sarawak melihat kepada pendiriannya terhadap hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia.

“Tetapi kami di Sarawak terpaksa memilih antara dua orang jahat.”

* Penternak Richard John, 59, berkata Dr Mahathir hanya boleh jadi perdana menteri sementara.

“Beliau orang tua dan umur boleh jadi faktor, tetapi ada banyak pemimpin yang baik dalam PH. Saya rasa Dr Mahathir mahu sediakan anaknya Mukhriz untuk jadi penyandangnya.”

* Presiden Parti Bansa Dayak Sarawak Baru Cobbold John berkata pemilihan Dr Mahathir untuk mengukuhkan "Ketuanan Melayu".

“Saya tidak terlalu bimbang tentang Dr Mahathir ditolak atau adakah beliau boleh menang PRU. Saya lebih fokus tentang dilema selepas PRU yang perlu dihadapinya.

“Proses perundangan untuk membebaskan Anwar, kedudukan dalam kabinet dan pelantikan politik lain,” katanya.

Katanya, kabinet baru juga perlu berdepan dengan masalah tidak selesai seperti skandal 1MDB, GST dan harga siling petrol dan Perjanjian Malaysia 1963.