"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dulu warga Felda tak berani, sekarang ramai datang ceramah Pakatan Harapan (Gambar)

ARIF ATAN 
Dulu warga Felda tak berani, sekarang ramai datang ceramah Pakatan Harapan
Semakin ketara sokongan secara terbuka warga Felda kepada Pakatan Harapan menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) termasuk menghadiri siri ceramah anjuran gabungan pembangkang itu.

Ahli Jawatankuasa AMANAH Nasional, Mazlan Aliman berkata situasi positif itu menyaksikan golongan peneroka Felda semakin menyedari tentang banyak hak mereka pada masa ini yang tidak dipedulikan pemerintahan BN yang korup.
Warga Felda semakin ketara menunjukkan sokongan kepada Pakatan Harapan.
Mengulas sambutan terhadap ceramah Pakatan Harapan di Felda Ulu Tebrau malam tadi, beliau yang juga Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) memberitahu, sambutan masyarakat setempat jauh lebih baik berbanding sebelum ini.

“Alhamdulillah. Sambutan yang amat baik. Telah diketahui umum, bukan mudah untuk menembusi kawasan Felda. Jika buat pun, peneroka tak berani hadir,” jelasnya kepada Malaysia Dateline.

Ketua AMANAH Parlimen Tebrau berkenaan berkata, tambah menggembirakan apabila golongan muda juga hadir dalam siri Jelajah Selamatkan Felda itu yang turut dibarisi pemimpin PKR dan PPBM.

“Ramai generasi kedua dan ketiga Felda Ulu Tebrau termasuk yang bekerja di luar, sanggup balik semata-mata untuk hadir ceramah malam tadi.

“Dapat dirasakan mood perubahan di kalangan warga Felda khususnya golongan muda. Tahniah atas kesedaran warga Felda. Sesuatu yang saya impikan selama ini,” ujarnya lagi.

Selain Mazlan, pemimpin yang juga berceramah bekas Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar; Naib Presiden PPBM, Datuk Abd Rashid Asari; Setiausaha Organizasi AMANAH Nasional, Suhaizan Kaiat dan Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Faiz Fadzil.

Turut serta Setiausaha Bersatu Johor, Datuk Osman Safian; Ketua Bahagian PPBM Tebrau, Mazlan Bujang dan Ketua Cabang Keadilan Tebrau, Steven Choong.
Datuk Mahfuz Omar mendapat perhatian Wanita Bersatu untuk bergambar kenangan.
Untuk rekod, Mazlan sebelum ini pernah mendedahkan beliau sendiri pernah didatangi broker yang menjadi orang tengah syarikat tertentu untuk membangunkan Felda Ulu Tebrau sebagai Bandar Baru.

Beliau bagaimanapun menentang keras cadangan yang dilihat menggadai tanah orang Melayu itu kerana tidak mahu mengulangi nasib dialami peneroka Felda Cahaya Baru dan Felda Sungai Buaya.

Masalah kepincangan urus tadbir Felda sehingga membawa kepada isu tanah 360,000 hektar yang dipajak Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) selama 99 tahun serta kegagalan anak syarikat Felda iaitu Felda Technoplant Sdn. Bhd. (FTP) menguruskan kebun peneroka menjadi antara masalah yang membebankan majoriti warga Felda pada masa ini.

Menjelang PRU-14, daftar pengundi baharu menunjukkan terdapat kira-kira 570,000 pengundi terdiri daripada warga Felda di seluruh negara.

BN pada PRU-13 lalu tewas dua kerusi Parlimen Felda iaitu di Raub dan Dungun masing-masing kepada DAP dan Pas. Pakatan Harapan akan meletakkan calon Keadilan untuk bertanding di Parlimen Tebrau yang mengandungi Felda Ulu Tebrau.

Pejabat Mufti mahu sorok Amri di mana? Bawah tangga?

MUFTI Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin menafikan dakwaan bahawa pejabatnya mempunyai kaitan dengan kehilangan aktivis berfahaman Syiah, Amri Che Mat.

Mohd Asri berkata, dakwaan isteri aktivis itu Nor Hayati Ariffin dalam satu sesi siasatan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) semalam adalah fitnah dan tidak benar

“Tiba-tiba isteri dia beritahu Suhakam dan letak nama saya. Kalau saya punya kemampuan boleh hilangkan manusia, hebatlah. Pejabat mufti hendak sorok di mana? Bawah tangga?

“Pejabat mufti tak ada penjara,” kata Mohd Asri ketika ditemui pemberita di Sepang hari ini.

Tambahnya, tindakan oleh pejabat mufti ke atas Amri sebelum ini adalah melibatkan kegiatan aktivis itu dalam pengembangan fahaman Syiah.

Menurut mufti itu lagi, Suhakam telahpun mengemukakan soalan kepadanya mengenai kes Amri tahun lepas.

Bagaimanapun, beliau tidak menerima apa-apa arahan sepina daripada suruhanjaya tersebut untuk menghadiri inkuiri, katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Asri berkata ia tidak berkait dengan NGO Perlis Hope, sebuah badan bukan kerajaan yang digerakkan Amri untuk membantu orang susah di negeri itu.

“Ia tak ada kena mengena dengan dengan Perlis Hope, kalau dia nak bagi bantuan silalah.

“Perlis banyak bagi bantuan, Majlis Agama Islam Perlis bagi berjuta-juta. Kenapa kita hendak kecil hati.

“Tapi yang kita prihatin adalah ajaran untuk menjadi sebuah negeri Mullah,” kata Mohd Asri, merujuk kepada siasatan dan serbuan yang dilakukan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis ke atas Amri.

Nor Hayati dalam inkuiri Suhakam semalam mendakwa Mohd Asri selaku Mufti Perlis dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Shahidan Kassim mungkin mempunyai kaitan dengan kehilangan suaminya.

Nor Hayati mengesyaki Mohd Asri dan Shahidan kerana kedua mereka kerap mengkritik Amri dan pertubuhan kebajikan yang dijalankan suaminya, Perlis Hope.

Sementara itu, semalam, Shahidan enggan mengulas lanjut mengenai dakwaan Nor Hayati itu.

“Saya enggan komen kerana saya tidak kenal lelaki itu dan isterinya,” katanya.

Amri dipercayai diculik 550 meter daripada rumahnya di Padang Behor, Kangar. Polis kemudiannya menjumpai keretanya di Bukit Chabang.

Beliau dilihat kali terakhir oleh isteri dan keluarganya pada 24 November 2016.

Umno - PAS: Atas lain, bawah lain

DATUK A KADIR JASIN
Mula-mula sekali terima kasih kepada pemuda Melayu yang menemui saya di Ceramah Perdana “Mai Dengaq, Balik Habaq” Pakatan Harapan/BERSATU di Bukit Jambul, Pendang, Jumaat lalu.
Dengan suara gementar, dia meminta maaf kerana mengganggu saya. Katanya dia ada satu soalan besar yang mengacau fikirannya.

Ibunya guru taman didikan kanak-kanak (tadika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS).

Dia berkata, ibunya diberitahu oleh orang Umno sekiranya Barisan Nasional (BN) kalah, Pakatan Harapan (HARAPAN) akan tutup KEMAS dan kakitangan KEMAS akan dibuang kerja.

Saya kata kepadanya, itu tidak betul. Sebaliknya HARAPAN akan memperkukuh dan memperluaskan sistem pendidikan - daripada prasekolah hingga ke peringkat paling tinggi - dan menjana lebih banyak peluang pekerjaan bukan membuang orang.
Cerita pemuda itu hanyalah satu daripada pelbagai jenis ugutan dan ancaman yang digunakan oleh Umno-BN bagi menakut-nakutkan pengundi agar tidak berhijrah menyokong HARAPAN.

Kalau di peringkat atas menteri memberi amaran dan pengancam kakitangan awam agar terus memperhambakan diri kepada Umno-BN atau menderita hukuman dan deraan, di peringkat bawah pun macam itu juga. Malah lebih teruk.

Bapak-bapak kepala Umno-BN yang bermentaliti kelas “kepala bapak kau” (meminjam ungkapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak lagi membezakan di antara kerajaan dan parti.

Dalam kegelabahan mereka kerana bayang-bayang kekalahan semakin terang, mereka menganggap dan melayan kakitangan awam sebagai hamba Umno-BN dan bukan sebagai kakitangan awam yang ada kehormatan.

Di dalam gelap saya juga dihampiri hadirin yang berkata mereka bersimpati dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dan HARAPAN walaupun mereka masih bersama Umno dan PAS.

Saya faham sentimen mereka. Saya dilahirkan dalam keluarga Umno dan menjadi ahli Umno Bahagian Pendang selama lebih 30 tahun hingga tahun 2015 apabila saya menarik diri secara rasmi.

Saya faham sangat pentingnya afiliasi parti, sama ada dengan Umno atau PAS. Menjadi ahli atau penyokong salah sebuah parti itu adalah sebahagian daripada sistem sosial.
Setiap individu, di saat-saat penting kehidupan dan kematiannya, tidak dapat tidak akan dikaitkan dengan afiliasi politiknya. Si anu itu orang Umno, si polan pula orang PAS.

Di kawasan inilah, dalam pilihan raya umum (PRU) 1969, kempen mengkafirkan orang Umno oleh PAS memberi kesan besar Umno apabila wakil rakyat Perikatan masa itu, Dr Mahathir kalah kepada calon PAS, Haji Yusof Rawa.

(Hari ini, anak Almarhum Yusof Rawa, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, adalah di antara musuh politik Dr Mahathir yang telah berubah menjadi rakan seperjuangan demi menyelamatkan Malaysia.)

Tetapi hakikat bahawa pada malam Jumaat lepas banyak orang Umno dan PAS secara diam-diam, sambil bercangkung dalam gelap, mendengar ucapan pemimpin HARAPAN adalah satu perubahan luar biasa.

Ertinya mereka tidak lagi taasub kepada sistem masyarakat yang mengikat mereka kepada Umno dan PAS.

Mereka mahu mendengar cerita HARAPAN kerana mereka juga terhimpit dan tersepit dengan kesempitan hidup yang disebabkan oleh salah urus ekonomi dan penyelewengan oleh kerajaan kleptokrasi Najib.
Kalau ramai ahli dan penyokong Umno tidak lagi mampu atau mahu mempertahankan kepemimpinan parti dan kerajaan, ahli dan penyokong PAS pula digugat imannya oleh cerita-cerita kehidupan mewah sesetengah ulama mereka setelah dikaitkan dengan sogokan oleh Najib.

Soal keakraban luar biasa di antara presiden mereka, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan presiden Umno masih menjadi punca kekeliruan bagi ramai ahli dan penyokong PAS kerana di peringkat akar umbi Umno masih berupa musuh ketat mereka.

Walaupun kebencian mereka cuba diarahkan kepada Parti Amanah Negara (AMANAH) namun dalam pemikiran mereka, musuh tradisi mereka adalah Umno.

Di saat-saat bapak-bapak kepala mereka bersekedudukan dengan Umno dan dikaitkan dengan gaya hidup mewah dan hedonistik, ahli dan penyokong biasa PAS bukan sahaja tidak menikmati habuan itu sebaliknya ditekan oleh kesempitan hidup.

Manakala Najib tidak mahu atau tidak mampu menafikan dakwaan yang dia telah memberi rasuah kepada watak-watak tertentu dalam PAS, Abdul Hadi terpaksa bertungkus-lumus cuba membersihkan nama PAS.

Malangnya, Abdul Hadi mungkin sudah termasuk perangkap Najib apabila dia memfailkan saman terhadap pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown, di London.

Dalam bahasa mudah, Abdul Hadi telah diperangkap untuk melakukan kerja kotor bagi pihak Najib.
Sebagai tindak balas kepada reaksi negatif persekongkolan dengan Umno-BN itu, Abdul Hadi beberapa hari kebelakangan ini terpaksa berlagak bebas dan berani dengan mengisytiharkan yang PAS akan bertanding 140 kerusi Parlimen dan memerintah Selangor mengikut syariat Islam.

Kesimpulannya, macam Umno juga, PAS tidak boleh lagi memperkotak-katikkan orang Melayu seperti dulu.

Orang Melayu kampung, peneroka Felda dan penghuni perumahan rakyat tidak boleh lagi dijual murah oleh Umno dan PAS.


Mereka tidak boleh lagi diperbudak-budakkan dan mereka mempunyai lain pilihan - Pakatan Harapan.
-malaysiakini