"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rosmah berdepan 15 tuduhan pengubahan wang, kata sumber

FMT Reporters 
PETALING JAYA: Isteri bekas perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, dijangka berdepan sekurang-kurangnya 15 pertuduhan pengubahan wang melibatkan RM7 juta, kata beberapa sumber.

Mereka berkata kesalahan-kesalahan itu, yang disiasat bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (Amlatfa), didakwa dilakukan antara 2013 dan 2014.

Sumber berkata jika kesalahan-kesalahan itu dilakukan sebelum September 2014, Rosmah berdepan hukuman denda sehingga RM5 juta, penjara maksimum 5 tahun, atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.

Jika kesalahan-kesalahan itu dilakukan selepas September 2014, dia bedepan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang 5 kali ganda nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Pendakwaan yang dijangka difailkan terhadap Rosmah menyusuli siasatan intensif 5 bulan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Rosmah, 66, ditahan petang tadi di ibu pejabat SPRM selepas penyiasat menyoalnya mengenai peranannya dalam skandal 1MDB.

Beliau akan dibawa ke hadapan hakim Mahkamah Sesyen esok pagi dan prosiding dijangka membawa ke tengah hari, terutama berapa banyak ikat jamin yang dibayarnya.

Najib berdepan 32 pertuduhan kerana pengubahan wang haram, salahguna kuasa dan pecah amanah.

Pada 20 September, Najib, 65, dituduh dengan 21 tuduhan pengubahan wang haram dan 4 tuduhan salahguna kuasa mengenai RM2.28 bilion yang diterima dalam akaun bank peribadi.

Pada 4 Julai, Najib dituduh dengan 3 tuduhan pecah amanah 1 tuduhan salahguna kuasa berkaitan sejumlah RM42 juta yang dipindahkan ke akaun bank miliknya daripada bekas anak syarikat 1MDB, SRC International.

Pada 8 Ogos, Najib didakwa bawah Amlafta atas 3 tuduhan pengubahan wang berkaitan transaksi yang sama.

Najib bebas dengan ikat jamin mencecah RM4.5 juta dan perbicaraan dijangka bermula di Mahkamah Tinggi awal tahun depan.

Enam anggota bomba lemas dalam operasi SAR (Gambar)



Enam anggota bomba lemas ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) di lombong di Taman Putra Perdana, Selangor hari ini.

Menurut jurucakap bomba, anggota yang terlibat dalam operasi mencari seorang remaja berusia 17 tahun yang dikhuatiri lemas selepas tergelincir dan terjatuh ke dalam lombong berkenaan kira-kira 7 malam tadi.

Enam mayat anggota bomba berkenaan sudah ditemukan namun remaja berkenaan masih belum ditemui.

"Mangsa belum dijumpai dan terdapat 6 anggota bomba unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dilaporkan lemas ketika menjalankan operasi pencarian mangsa.

"Kesemua anggota tersebut berjaya dinaikkan ke atas dan pasukan perubatan yang berada di lokasi membuat CPR untuk menyelamatkan kesemua anggota PPDA yang lemas tetapi kesemua 6 anggota bomba disahkan meninggal dunia," katanya.

Jurucakap berkenaan berkata, maklumat kejadian akan kemas kini dari semasa ke semasa.

Terdahulu, Bernama memetik Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dari Balai Bomba Cyberjaya, Roslan Long yang berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.19 petang selepas seorang daripada tiga remaja yang ingin memancing dikhuatiri lemas.

Lapan pegawai dan anggota dilaporkan tiba di lokasi 30 minit kemudian untuk operasi mencari dan menyelamat mangsa.

(Gambar) Masuk budak dalam mesin basuh, bapa saudara ditahan, ibu disiasat

Bernama 


KUALA LUMPUR: Polis menahan bapa saudara kepada kanak-kanak lelaki berusia 3 tahun yang terperangkap dalam mesin basuh di sebuah dobi layan diri di Bukit Sentosa, Rawang semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Lim Bak Phai berkata lelaki berusia 27 tahun itu ditahan di Ibu pejabat Polis Daerah Hulu Selangor kira-kira 11.00 malam semalam.

“Suspek dipercayai memasukkan anak saudaranya ke dalam mesin basuh dengan niat untuk bergurau menyebabkan mangsa terperangkap kira-kira 20 minit.

“Mangsa kemudiannya berjaya diselamatkan dengan bantuan orang awam serta polis dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata suspek kini direman selama 4 hari sehingga Sabtu dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana menganiaya, mengabaikan, membuang atau mendedahkan kanak-kanak dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal atau emosi.

Selain itu, Lim berkata polis mengambil keterangan ibu mangsa dan akan menjalankan siasatan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu.

“Ibu mangsa sebelum ini membuat laporan anaknya itu hilang dan secara tiba-tiba berada di dalam mesin basuh,” katanya.

Kejadian yang berlaku pada awal pagi Selasa berkenaan tular di Facebook memaparkan rakaman berdurasi 1 minit detik cemas kanak-kanak yang terperangkap di dalam mesin basuh itu diselamatkan oleh orang awam.