"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Azahar Mohamed bakal dilantik ketua hakim negara?

V Anbalagan

Hakim kanan Mahkamah Persekutuan, Azahar Mohamed.
PETALING JAYA: Hakim kanan Mahkamah Persekutuan, Azahar Mohamed dijangka dilantik sebagai ketua hakim negara akan datang, jawatan yang kosong selepas persaraan Richard Malanjum, kata sumber.

Sumber berkata Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) menyerahkan 2 nama tambahan berikutan permintaan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad awal bulan ini.

JAC sebelum ini hanya mencadangkan 1 nama untuk jawatan tersebut.

Azahar, 63, menjadi hakim Mahkamah Persekutuan pada 2014 dan mempunyai pengalaman yang luas di Jabatan Peguam Negara (AGC) sebelum diangkat ke jawatan sekarang.

“Dia sesuai untuk jawatan itu kerana dia akan mempunyai masa selama 3 tahun untuk meneruskan pembaharuan dalam badan kehakiman yang dimulakan oleh Malanjum,” kata sumber kepada FMT.

Selain itu, beliau juga dilihat sebagai cekap, sama ada sebagai hakim dan pentadbir, ketika dilantik sebagai menguruskan hakim di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Azahar dilantik sebagai pesuruhjaya kehakiman pada 2004. Beliau dinaikkan sebagai hakim Mahkamah Tinggi 2 tahun kemudian sebelum dinaikkan pangkat ke Mahkamah Rayuan pada 2011.

Beliau kini adalah 9 anggota JAC yang mengesyorkan kenaikan pangkat hakim.

Sumber itu berkata calon berpotensi lain untuk jawatan berkenaan ialah Tengku Maimun Tuan Mat, 59, yang dinaikkan ke mahkamah tertinggi pada November tahun lalu.

Jika dilantik, dia akan mencipta sejarah sebagai wanita pertama yang menjadi hakim tertinggi.

“Bagaimanapun, Tengku Maimun boleh dipertimbangkan untuk jawatan ketua hakim malaya, yang akan akan dikosongkan berikutan persaraan Zaharah Ibrahim bulan depan.

“Dia juga boleh dipertimbangkan jawatan presiden Mahkamah Rayuan yang kini dipegang oleh Ahmad Maarop, yang akan bersara pada November,” kata sumber itu, sambil menambah Tengku Maimun mempunyai 6 tahun lagi perkhidmatan.

Umur persaraan mandatori bagi hakim adalah 66 tahun ditambah dengan lanjutan 6 bulan.

Sementara itu, peguam Syed Iskandar Syed Jaafar Al Mahdzar berkata Perlembagaan Persekutuan, undang-undang tertinggi negara, mesti diutamakan bagi sesiapa yang dilantik ke jawatan tertinggi.

“Selain mendengar rayuan sivil dan jenayah, hakim-hakim mahkamah tertinggi kami dijemput dari masa ke semasa untuk mentafsirkan perlembagaan,” katanya.

Pada 19 April, Mahathir berkata calon untuk menggantikan Malanjum, yang bersara seminggu lebih awal (12 April), sedang menunggu kelulusan Persidangan Raja-Raja.

“Nampaknya terdapat peruntukan untuk pelantikan yang akan dikemukakan kepada Persidangan Raja-raja, dan bukan hanya kepada Agong.

“Kami memaklumkan kepada Agong. Ada keperluan baginya untuk memaklumkan kepada raja-raja lain, sehingga kini sedang dilakukan dan kami menunggu mereka memberikan persetujuan,” kata Mahathir pada sidang akhbar.

Di bawah Perkara 112B, Agong yang melantik hakim, termasuk 4 pentadbir kehakiman atas nasihat perdana menteri selepas berunding dengan Persidangan Raja-Raja.

Difahamkan Raja-Raja Melayu dijangka bertemu awal bulan depan.

Saya diarah buat laporan palsu, polis beritahu RCI Wang Kelian

Ainaa Aiman
PUTRAJAYA: Seorang saksi memberitahu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ke atas penemuan kubur beramai-ramai dan kem penyeludupan manusia di Wang Kelian, beliau diarah mendraf satu laporan polis palsu mengenai sekumpulan pendatang asing tanpa izin (Pati) yang ditahan di kaki Bukit Wang Burma.

Bekas ketua Bahagian Risikan Operasi di Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Besar, Husyairi Musa berkata arahan itu diberikan Ketua Polis Padang Besar ketika itu, Rizani Che Ismail.

Katanya, beliau menerima panggilan daripada Rizani yang mengarahkannya mengambil 5 Pati ditahan Cawangan Khas Perlis.

Katanya, beliau diminta pergi ke satu lokasi di Taman Negara Perlis, dekat sebuah tapak pelupusan sampah.

Katanya, beliau memandu ke sebuah lokasi di tepi jalan untuk mengambil 5 Pati itu dan membawa mereka ke IPD.

Di sana, beliau ternampak individu yang dianggapnya ahli Cawangan Khas, ada yang berbaju seragam dan berpakaian biasa.

Husyairi berkata, beliau tidak dapat mengenal pasti kumpulan lelaki itu, walaupun sudah bekerja di IPD selama 5 tahun.

“Tangkapan itu dibuat Cawangan Khas. Saya tak pasti siapa,” kata saksi ke-18 itu kepada inkuiri RCI yang memasuki hari ke-6, hari ini.

“Ketua polis daerah saya kata ia ada kaitan dengan satu penangkapan yang sudah dilakukan dan beliau minta saya ke kawasan taman negara.”

Beliau berkata, ia bukan prosedur biasa kerana pegawai yang membuat tangkapan itu biasanya mereka yang menyerahkan laporan.

“Tetapi, pegawai atasan saya (Rizani) minta saya draf laporan polis itu dengan berkata saya terserempak individu kelihatan mencurigakan ketika membuat rondaan dan saya menahan mereka sendiri.”

Katanya, laporan itu tidak betul, tetapi beliau tiada pilihan kecuali mengikut arahan pegawai atasannya.

Husyairi berkata, ketika mengambil keterangan lelaki ditahan itu, beliau mendapati 2 daripada mereka ialah warga Thailand dengan seorang mempunyai pistol dan seorang lagi membawa parang. Seorang daripada suspek itu hanya berusia 15 tahun.

Saksi ke-17 RCI itu, Inspektor Mohamad Afiq Sarmid daripada pasukan Komando VAT 69 berkata, beliau menahan 5 Pati di dalam hutan dan membawa mereka ke kaki Bukit Wang Burma.

Katanya, 2 daripadanya mempunyai sepucuk pistol dan sebilah parang, dengan ada di kalangan mereka yang tidak mempunyai dokumen. Seorang daripadanya memiliki dokumen pengenalan Thailand.

“Saya tidak boleh berkomunikasi dengan mereka kerana mereka tidak faham Bahasa Malaysia atau Inggeris.”

Katanya, beliau menemui Pati itu kira-kira 200m dari sebuah kem ditinggalkan yang ditemui pasukannya ketika memeriksa hutan di kawasan Genting Perah, Perlis.

Beliau mengetuai sepasukan 24 anggota untuk mencari kem Pati di hutan Genting Perah, berdasarkan maklumat Cawangan Khas.

Afiq berkata, beliau diminta berbuat demikian untuk mengesahkan maklumat mengenai kem hutan di kawasan terbabit.

Katanya, operasi itu diadakan pada 11 hingga 13 Mac 2015 dan mereka mengambil masa 2 hari untuk tiba di sebuah tapak khusus dalam hutan itu yang disyaki ialah sebuah tapak kem.

“Ketika itu, apa yang tinggal hanya struktur dan tiang kayu. Tiada orang atau apa-apa di kawasan itu.”

Selepas membuat tangkapan dan menemui kem itu, katanya, pasukannya diminta menarik diri daripada operasi itu.

“Arahan kepada kami ialah menarik diri dan menyerahkan sebarang tangkapan atau barang rampasan, jika kami temui kepada Cawangan Khas.”

RCI itu ditubuhkan Kementerian Dalam Negeri untuk menyiasat penemuan kubur beramai-ramai dan kem penyeludupan manusia di Wang Kelian pada 2015.

Panel inkuiri itu diketuai bekas ketua hakim negara, Arifin Zakaria dan dianggotai bekas ketua polis negara, Norian Mai; bekas ketua pendakwaan Jabatan Peguam Negara, Noorbahri Baharuddin; Razali Ismail yang baru meletak jawatan sebagai pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia; bekas ketua penyelidik Jabatan Peguam Negara, Junaidah Abd Rahman; bekas duta Malaysia ke Thailand, Nazirah Hussin dan bekas timbalan pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara, Dr Tan Seng Giaw. Yusran Shah Yusof ialah setiausaha RCI itu.

PH gagal jaga Melayu Islam? Ini jawapan Saifuddin

Anne Muhammad & Ramieza Wahid

WAWANCARA | Meskipun dihimpit dengan pelbagai dakwaan antaranya Pakatan Harapan (PH) cuma kerajaan sepenggal dan gagal menjaga kepentingan Melayu dan Islam, seorang menteri kabinet ada jawapannya yang tersendiri.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Saifuddin Nasution Ismail berkata dalam hampir setahun pentadbiran mereka, antara usaha dilakukan termasuk memulihkan institusi terbesar orang Melayu seperti Tabung Haji (TH) dan Felda.

“Jadi kami mungkin dianggap 'cair' bantu Melayu dan Islam tapi kami dapat selamatkan institusi Melayu dan Islam.

“Pihak yang melingkupkan dijulang sebagai pejuang agama dan bangsa. Ini satu paradoks,” katanya.

Saifuddin berkata demikian dalam sidang media khas sempena setahun PH di kementeriannya, di Putrajaya hari ini.

Sebelum itu Anggota Parlimen Kulim Bandar Baru itu ditanya mengenai dakwaan PH cuma kerajaan sepenggal kerana gagal melaksanakan manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Menjelaskan perkara itu Saifuddin berkata PH sudah melaksanakan beberapa janji dengan mengambil contoh kerajaan telah mengeluarkan senarai hitam peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“(Selain itu) kami janji hapus hutang peneroka, dan yang kami berjaya lakukan hapuskan interest (faedah) hutang peneroka.

“Yang belum diusik berkaitan tol, ia baru satu percubaan dalam bandar secara berperingkat.

"Apa yang sedang dibuat adalah i-suri, kesihatan, dan kenapa tidak boleh pantas (dilaksanakan) kerana TH, Felda perlu diselamatkan,” katanya.

Beliau juga berkata PH telah menggariskan tiga hala tuju pelaksanaan manifesto iaitu yang sedang dilakukan, sedang diusahakan dan yang belum disentuh.

Saifuddin juga menyerahkan kepada rakyat untuk menilai prestasi kerajaan selama tempoh setahun ini.

“Sejujurnya kalau ada tanggapan kami ni rapuh tahan sepenggal, negara kita subur demokrasi rakyat dan siapa pun berhak beri pandangan,” katanya.