"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lukisan mural hina Pas di PWTC ‘hilang’ sempena himpunan Umno-Pas Berita penuh https://malaysiadateline.com/lukisan-mural-hina-pas-di-pwtc-hilang-sempena-himpunan-umno-pas/

Malaysia Dateline
Lukisan mural hina Pas di PWTC ‘hilang’ sempena himpunan Umno-Pas

Lakaran bermotif penghinaan terhadap Pas ‘hilang’ sempena himpunan Umno-Pas mulai hari ini.
Lukisan mural yang mengaitkan Pas dengan tragedi Sauk serta imej Pas menyuntik fahaman politik terhadap pelajar Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan beberapa universiti awam didapati ‘hilang’ sempena Himpunan Penyatuan Ummah yang julung kali diadakan bermula hari ini.
Bahagian dinding di ruang dalam Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang sebelum ini mengandungi imej menghina Pas tetapi kosong pada masa sekarang tular di media sosial.
Lukisan berkisar tentang tragedi Sauk itu antara lain menggambarkan imej dua pemimpin Pas menyerupai Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Berdekatan imej kedua-dua pemimpin Pas itu, terdapat lakaran seorang individu yang memegang parang panjang dilatari bendera Kelantan dan Terengganu ‘disinari’ cahaya hijau dari bulan yang dilihat simbol pada penguasaan Pas.
Imej mirip Abdul Hadi yang kini Presiden Pas memegang kain rentang tertera, “Peristiwa Sauk sandiwara Umno’.
Turut terpampang sekumpulan lelaki yang hanya berseluar panjang sedang ditahan anggota keselamatan yang dipercayai merujuk pada kes rompakan bersenjata yang dikatakan didalangi oleh Persatuan Seni Bela Diri Persaudaraan Ilmu Dalam Al-Maunah (Al-Maunah).
Lakaran peristiwa yang berlaku pada 2 Julai 2000 di Kem 304 Askar Wataniah di Gerik, Perak itu berkaitan reaksi pemimpin Pas ketika itu yang menuduh kerajaan Pusat yang dikuasai Umno ‘bermain sandiwara’ susulan terbongkar majoriti anggota Al-Maunah adalah pengikut Pas.

Paparan lukisan di PWTC turut memaparkan Pas seolah-olah menyuntik fahaman politik kepada pelajar SAR dan universiti awam.

PAS tutup bangkai gajah dengan kopiah

Kenyataan Naib Presiden PAS, Mohd Amar Abdullah yang menafikan parti itu tidak pernah melabelkan Umno sebagai kafir ibarat 'menutup bangkai gajah dengan kopiah', kata Senator Husam Musa.

Naib presiden Amanah itu berkata, pemimpin PAS tersebut mungkin sudah lupa bagaimana amanat Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, sebelum ini menyebabkan perpecahan dalam kalangan masyarakat.

"Usahkan perkara ini, ucapan yang dibuat dengan menghentam teruk Umno satu ketika dahulu pun dia sudah lupa," katanya seperti dilaporkan Sinar Harian Online, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Mohd Amar yang menafikan dakwaan PAS melabelkan Umno sebagai kafir sebelum ini.

Sebagai rekod isu tersebut muncul selepas Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad menegaskan PAS perlu menarik semula dan memohon maaf kerana melabelkan Umno sebagai kafir ketika kedua-dua parti itu dalam proses bekerjasama.

Sementara itu timbalan menteri besar Kelantan tersebut juga menyatakan tidak berbangkit soal meminta maaf susulan kerjasama tersebut, malah Dr Mahathir sendiri tidak pernah memohon maaf terhadap Presiden PKR, Anwar Ibrahim selepas bekerjasama dalam PH.

Sementara itu, Husam yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) berkata, pernah berlaku satu ketika dahulu seorang imam di Terengganu yang hampir mengangkat takbir, diusung keluar gara-gara orang Umno.

"Kemudian, imam daripada sebuah parti telah menggantikan individu tersebut bagi menunaikan solat berjemaah.

“Bukan itu sahaja, pengasingan kenduri kahwin dan tanah perkuburan juga berlaku di Terengganu satu masa dahulu," katanya.

Sokongan pada PAS merosot di Selangor, kata IDE

Tahap sokongan yang diterima PAS di Selangor - salah satu negeri yang disasarkan parti itu untuk diperintah sebelum ini - menurun kira-kira 7 peratus berbanding sebelum PRU ke-14 lalu.

Kajian Institut Darul Ehsan (IDE) menunjukkan tahap sokongan semasa kepada PAS ialah hanya 8 peratus berbanding 15 peratus pada Mei lalu, berdasarkan undi popular yang diterima parti berkenaan.

Kaji selidik itu bagaimanapun menjelaskan, kemerosotan itu tidak bermakna mereka sudah mengalih sokongan kepada PH atau Umno.

"Senario semasa menunjukkan mereka lebih cenderung memerhati perkembangan semasa untuk menentukan sokongan politik masing-masing seterusnya," kata Pengurus Kanan Penyelidikan IDE, Khairul Arifin Mohd Munir, dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya kaji selidik IDE juga mendapati sokongan terhadap PH dan BN tetap stabil seperti yang diberikan pengundi pada PRU yang lalu.

Kenyataan itu dikeluarkan hanya beberapa jam menjelang detik bersejarah buat PAS dan Umno apabila parti terbabit akan menandatangani piagam bersama di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Umno mengadakan kerjasama dengan PAS selepas terlucut daripada kuasa di Putrajaya melalui PRU ke-14 pada tahun lalu. Ia juga dilangsungkan ketika sebahagian daripada parti komponen BN belum menyatakan sokongan mereka secara terbuka kepada piagam berkenaan.

Hari ini buat kali pertama bendera yang membawa logo PAS - bulan - berkibar dengan megah di PWTC yang juga ibu pejabat Umno Malaysia.

Khairul Arifin berkata sebelum PRU ke-14, sokongan dinikmati PAS di Selangor ialah kira-kira 12 peratus, namun ia melonjak 3 peratus lagi semasa pilihan raya dilangsungkan.

Namun begitu, katanya, ia menunjukkan penurunan hampir 8 peratus ketika kaji selidik itu dijalankan IDE.

Tertarik pada tawaran

Menurutnya keadaan itu ada kaitan dengan sikap penyokong dan pengundi PAS semasa PRU lalu.

"PAS kini hanya berjaya mengekalkan sokongan dalam kalangan kategori ahli-ahli tegar, sedangkan sokongan bagi kategori penyokong dan pengundi PAS pada PRU lalu mula menukar sikap terhadap parti tersebut," katanya.

Khairul Arifin menjelaskan ada tiga kategori untuk kumpulan yang memberikan sokongan PAS, iaitu ahli parti, penyokong dan pengundi.

Ahli PAS, katanya, merujuk kepada individu yang akan terus menyokong parti tersebut dalam apa jua keadaan.

Kedua, katanya, penyokong iaitu mereka yang bukan ahli PAS tetapi cenderung penyokong idealisme dan perjuangan parti tersebut.

"Ketiga, mereka bukan ahli atau penyokong PAS tetapi mereka mengundi parti tersebut atas sebab tersendiri atau tertarik dengan tawaran alternatif yang dikemukakan," katanya.

Menurut Khairul Arifin, data yang dibentangkan itu adalah sebahagian daripada dapatan berdasarkan Survei Persepsi Rakyat Selangor 2019: Mood Rakyat #Moodofthenation yang dijalankan oleh IDE pada 12 hingga 14 Julai lalu, melibatkan 2,851 orang responden dari semua 56 kawasan DUN di Selangor.

Katanya, responden terdiri daripada pelbagai kaum serta berbeza latar belakang, pendidikan, tempat tinggal dan lain-lain.

"Selain survei yang dijalankan, IDE juga mengadakan temuduga berkelompok dengan pelbagai kelompok bagi menentukan keabsahan dapatan," katanya.