"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pegawai Imigresen didakwa terima rasuah RM885,950

BERNAMA

Seremban: Seorang pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang ditahan dalam Op Selat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, tadi, atas 12 pertuduhan menerima suapan dan pengubahan wang haram berjumlah RM885,950 sejak 2017 hingga tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Shah Ezywan Abd Rahman, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Madiha Harullah.

Mengikut pertuduhan pertama hingga kelapan, Mohd Shah Ezywan yang juga Pegawai Imigresen gred KP19 didakwa memperoleh wang melalui transaksi akaun bank berjumlah RM885,950 daripada tiga individu yang mempunyai hubungan dengan kerja rasminya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Malayan Banking Berhad cawangan Nilai, di sini, antara 11 Januari 2017 hingga 1 November 2020.

Dia dituduh mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mohd Shah Ezywan turut berdepan empat lagi pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram daripada individu sama melalui transaksi akaun bank di bank sama atas nama seorang individu, antara 29 Mac 2017 hingga 19 Mei tahun lalu.

Empat pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 4 (1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4 (1) akta sama, membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM5 juta atau mana yang lebih tinggi.

Hakim Madiha membenarkan Mohd Shah Ezywan diikat jamin RM65,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah, hadir ke pejabat SPRM berdekatan serta tidak boleh mengganggu saksi terbabit.

Mahkamah menetapkan 26 Februari untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wan Shaharuddin Wan Ladin manakala Mohd Shah Ezywan diwakili peguam Afifuddin Ahmad Hafifi.

Melayu ‘dirasuk syaitan’ sampai leka jadi pengundi, kaum lain rampas kuasa politik, kata Hadi

FMT Reporters

PETALING JAYA: Presiden PAS Abdul Hadi Awang mendakwa kaum Melayu hari ini masih “dirasuk syaitan warisan penjajah” sehingga “paling lemah” mendaftar sebagai pengundi, sekali gus membuka laluan kepada bukan Melayu “merampas kuasa politik”.

Hadi berkata, kaum Melayu masih leka terhadap keperluan menegakkan kepimpinan politik Islam kerana dipengaruhi dakyah penjajah.

“Hari ini di negara kita, dapat menyaksikan bahawa kaum Melayu yang beragama Islam paling lemah mendaftar untuk menjadi pengundi kerana berjaya dirasuk oleh syaitan-syaitan warisan penjajah dahulu,” katanya.

Beliau berkata, fenomena itu berlaku “dalam keadaan bangsa lain yang bukan Islam pula saling berlumba dengan mengambil peluang untuk merampas kuasa politik”.

Hadi tidak mengupas lanjut politik semasa negara namun mengimbau keagungan politik Islam yang memimpin dunia beberapa abad, termasuk memerintah negara besar dan majmuk.

Namun, kata Hadi, kejatuhan umat Islam menyusul adalah kerana “kelekaan mereka yang meninggalkan ajaran Islam, sehingga menyebabkan mereka menjadi lemah dan dijajah”.

Katanya, dalam kalangan umat Islam mengalami “penyakit jahil” terhadap agama sendiri akibat dipengaruhi dakyah penjajah, sehingga menyalahfaham ajaran agama sendiri.

“Mereka hilang jati diri keIslaman, walaupun masih cinta dan yakin kepada Islam,” kata beliau.

Hadi berkata, Barat sentiasa cuba mengekang usaha ulama menegakkan kembali khilafah atau politik.

“Mereka (penjajah) meletakkan Islam dalam bakul bersama jenama lain dan beranggapan bahawa politik itu semuanya kotor. Tindakan ini penting bagi menyenangkan mereka untuk berpolitik tanpa tentangan daripada umat Islam,” katanya.

Pada hari ini, Hadi berkata “pengaruh bisikan syaitan” masih membelenggu umat Islam, khususnya generasi muda yang sepatutnya mewarisi perjuangan menegakkan Islam.

“Kita menyaksikan kebencian terhadap politik berlaku kerana terpengaruh dengan syaitan berwajahkan manusia, termasuk umat Islam sendiri yang digerakkan oleh dalang-dalang mereka.

Rasuah dalam kalangan penjawat awam di negara ini disifatkan seperti satu pandemik

 Bangun perangi rasuah: Ikram sokong penuh usaha Sinar

BORHAN AHMAD

Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM) menyambut baik dan mengajak semua pihak agar bangun menyokong penuh gerakan melawan rasuah yang diusahakan Editor Pengurusan Sinar Harian, Datuk Hussamuddin Yaacub.

Sehubungan itu, Presiden Ikram, Dr Hj Mohd Parid Sheikh Ahmad menyeru rakyat Malaysia daripada pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama untuk menyambut gesaan ini bagi menyelamatkan negara daripada amalan rasuah yang kini telah sampai ke kemuncak sehingga negara boleh tergadai dan mandat rakyat tidak dihormati.

“Ikram berpandangan, pencapaian markah 53/100 Malaysia pada tahun 2019 dalam tinjauan Indeks Persepsi Rasuah Transparency International sangat menyedihkan,” kata beliau dalam satu kenyataannya.

Ikram, katanya, turut memandang serius kenyataan Presiden Persatuan Pemeriksaan Penipuan Bertauliah Malaysia, Datuk Seri Akhbar Satar bahawa gejala rasuah dalam kalangan penjawat awam di negara ini disifatkan seperti satu pandemik.

“Tindakan yang tegas oleh pihak berwajib perlu diambil segera bagi membendung gejala ini,” kata beliau.

Hussamuddin Yaacub, Pengasas Kumpulan Karang Kraf, penerbit akhbar Sinar Harian kini aktif berkempen menentang amalan rasuah di negara ini.

Hampir setiap hari beliau menyebarkan pesanan agar semua rakyat negara ini menolak rasuah.

Beliau melancarkan perang peribadi beliau, Jihad Memerangi Rasuah, dan mengajak semua pihak menyertainya.

Bagi Mohd Parid, rakyat negara ini, umat Islam khususnya perlu kembali menghayati dan mengamalkan ajaran Islam sebenar yang bukan sahaja melarang mengambil rasuah, malah mengutuk pemberi rasuah.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr radiallahuanhuma, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Laknat Allah kepada pemberi rasuah dan penerima rasuah.” (Riwayat Ahmad dan Ibnu Majah).

Sehubungan itu, katanya, Ikram berpendirian tegas bahawa rasuah adalah musuh utama negara.

“Bagi mengelakkan kehancuran, seluruh rakyat harus memegang sikap menolak sepenuhnya amalan rasuah dan para perasuah tanpa kompromi,” kata beliau.

Ikaram, katanya, menggesa kerajaan supaya mengambil langkah yang segera, tegas dan bersungguh-sungguh serta holistik agar gejala rasuah dapat dikawal dan seterusnya dihapuskan.

Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 perlu dilaksanakan sepenuhnya dan dilaporkan pencapaiannya kepada rakyat.

Ikram juga, kata beliau, menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk turut sama secara aktif dalam gerakan menghapuskan rasuah, termasuk menjadi mata dan telinga melaporkan kes yang diketahui kepada pihak berwajib.

“Ikram akan bekerjasama dengan semua pihak dalam perjuangan membanteras rasuah.

“Dalam masa terdekat, pelbagai program bakal dianjurkan termasuklah sesi wacana, bulan kempen anti-rasuah dan kempen integriti dan akhlak mulia pada bulan Ramadan al-Mubarak

“Ikram mendoakan agar amalan rasuah ini dapat dihapuskan di tanah air yang tercinta ini dan seluruh rakyat dilindungi daripada keburukan amalan terkutuk in,” katanya.