"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PKR Sarawak dapat sisa tapi dituduh 'tamak' kerusi - Anwar

Malaysiakini 

PRN SARAWAK | Presiden PKR Anwar Ibrahim mengeluh kerana partinya dilabelkan 'tamak' sedangkan ia cuma menerima sisa kerusi Sarawak yang sedang dibahagikan.

Katanya, PKR hanya diberikan kerusi tidak boleh dimenangi yang tidak diingini oleh orang lain.

“Kerusi yang lebih berdaya saing sedang dituntut oleh semua parti ini.

"Tetapi kerusi yang mereka tidak bertapak, tiada harapan untuk parti-parti ini (mereka katakan) 'Ok PKR lebih baik bertanding (di sana) jika tidak anda akan membenarkan GPS menang tanpa bertanding' dan kami terbeban dengan ini.

"Rakyat menganggap PKR tamak. (Tetapi) kita merebut kerusi yang kita boleh menang, (kerusi) kategori A, tetapi kita diberi kerusi kategori F," katanya kepada pemberita di Port Dickson, Negeri Sembilan hari ini.

Pun begitu, tegasnya PKR perlu bertanding di beberapa kerusi yang lebih sukar ini kerana mereka mempunyai kehadiran yang lebih besar daripada parti lain.

Anwar yang juga pengerusi PH itu berkata demikian ketika menjelaskan mengapa PKR meletakkan lebih sedikit calon pada pilihan raya negeri Sarawak akan datang.

PKR Sarawak diperuntukkan 47 kerusi untuk ditandingi semasa rundingan dengan DAP awal tahun ini.

Bagaimanapun, ia kemudiannya menuntut lebih banyak kerusi untuk bertanding - yang mana DAP enggan berganjak.

Selepas usaha untuk mendapatkan lebih banyak kerusi tidak membuahkan hasil, PKR sebaliknya memilih untuk bertanding sedikit kerusi saja.

Anwar berkata mereka mungkin bertanding antara 28 atau 29 kerusi sahaja kali ini, supaya jentera parti tidak terlalu kurang.

PKR sebelum ini memenangi tiga kerusi pada pilihan raya Sarawak 2016.

Bagaimanapun, semua wakil rakyat mereka berpaling tadah daripada parti tahun lepas berikutan langkah Sheraton, dengan dua Adun menyertai PSB, dan seorang lagi menyertai Bersatu.


Lelaki ditahan guna lengan palsu cuba elak divaksin

AFP

Cubaan lelaki itu mendapatkan sijil vaksinasi menggunakan lengan palsu menyusul peraturan lebih ketat yang akan dilaksanakan ke atas individu tidak divaksin Isnin ini. (Gambar AP)

ROM: Seorang lelaki Itali yang mahu mendapatkan sijil vaksinasi Covid-19 tanpa perlu disuntik, cuba memperdaya kakitangan kesihatan dengan memasang lengan palsu, kata pegawai pada Jumaat.

Namun, tiada petugas yang terpedaya dengan lengan silikon itu, walaupun warna kulitnya kelihatan realistik dan lelaki berusia 50-an itu dilaporkan kepada polis susulan kejadian di Biella, barat laut Itali pada malam Khamis.

Ketua kerajaan wilayah Piedmont, Albert Cirio dalam kenyataan di Facebook menyifatkan kes itu tidak masuk akal dan tindakan itu “tidak boleh diterima berdasarkan pengorbanan keseluruhan masyarakat kita ketika pandemik, dari segi nyawa manusia, kesan sosial dan ekonomi”.

Kejadian lengan palsu itu menyusul peraturan lebih ketat yang akan dikuatkuasakan Isnin ini kepada individu yang belum mendapatkan vaksin Covid-19.

Sejak Ogos lalu, “Pas hijau” yang merupakan bukti vaksinasi, pemulihan daripada Covid-19 atau ujian saringan negatif dijadikan syarat untuk penduduk Itali makan di dalam restoran, mengunjungi muzium, teater, panggung wayang dan menyertai acara sukan.

Tetapi mulai 6 Dis ini, aktiviti terbabit dihadkan kepada pemegang “Pas hijau super” yang hanya diberikan kepada mereka yang sudah divaksin atau pulih daripada Covid-19.

Pas hijau lama itu dilanjutkan pada Oktober untuk meliputi semua tempat kerja, dan kekal sah bagi tujuan itu. Ini bermakna individu tidak divaksin masih boleh terus bekerja dengan menunjukkan keputusan ujian saringan negatif.

Sekatan terbaru yang menyebabkan bantahan kecil-kecilan diadakan di bandar seluruh Itali hampir setiap hujung minggu – diperkenalkan susulan lonjakan kes Covid-19 dan diburukkan lagi dengan kebimbangan terhadap varian Omicron baru-baru ini.

Itali ialah negara Eropah pertama yang dilanda pandemik itu pada awal 2020, tetapi keadaannya kini jauh lebih baik daripada kebanyakan negara jirannya.

Sebanyak 16,800 kes baharu Covid-19 dan 72 kematian dilaporkan pada Khamis, manakala hampir 85% populasinya yang layak (12 tahun ke atas) sudah divaksin sepenuhnya dan pilihan dos penggalak diperluaskan kepada semua orang dewasa minggu ini.

Cerita tubuh parti baharu hanya mahu ugut Mahiaddin?

MOHD SAYUTI OMAR

Konon-kononnya Zuraida Kamaruddin akan tubuh parti baharu. Cerita ini sempat juga jadi pertuturan dan buah mulut. Ada yang percaya dan membuat pelbagai spekulasi. Bagi saya tidak ada munasabahnya untuk Zuraida tubuh parti baru, buat apa?

Dia sudah jadi menteri dan kedudukan itu sudah cukup baginya. Untuk perjuangkan apa lagi dengan parti baru itu? PPBM yang beliau masuki sekarang ini sudah membolehkan dia lakukan apa sahaja.

Bagi saya, cerita Zuraida nak tubuh parti baru itu adalah sebahagian daripada strategi atau pelan untuk Azmin Ali sahaja. Boleh jadi dengan ura-ura untuk tubuh parti baru itu bagi mengecutkan presiden parti PPBM.0

Umum tahu PPBM jadi kuat apabila ada 12 orang MP Keadilan yang diheret Azmin termasuk Zuraida.

Azmin ada cita-cita terpendam untuk melonjak ke atas, menjadi Perdana Menteri. Untuk sampai ke takah itu dia harus terlebih dahulu menjadi timbalan perdana menteri.

Dengan status menteri kanan hari ini, ia bukan sesuatu yang memuaskan hati Azmin. Jawatan TPM perlu bagi dia membina kekuatannya.

Dia perlu diletakkan segera di kerusi TPM bagi mengukuhkan kedudukannya dan menguatkan sokongan. Orang ramai di luar sana akan beriya-iya menyokongnya kalau dia diberikan post itu.

Jadi, ura-ura parti baru yang dikaitkan dengan orang kanan dan kiri Azmin itu adalah tidak lebih daripada untuk mengugut Mahiaddin semata-mata, mendesak Mahiaddin melakukan sesuatu yang diingini Azmin.

Kalau Mahiaddin tidak bersedia untuk menggemburkan namanya Azmin sebagai TPM, kemungkinan Azmin akan minta Zuraida proceedkan parti baru itu.

Dalam kata lain, parti baru yang ditaja Zuraida itu untuk menaikkan minyak dan syih Azmin dan orang-orang PKR yang diheretnya sahaja. Tidak lebih dari itu.