"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Siapa yang bohong Setiausaha Pas Selangor atau Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor

Kenyataan Setiausaha Pas Selangor tidak tepat dan tidak pernah berlaku, kata istana

SITI NUR ZAWANI MISCON

Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani menegaskan bahawa kenyataan yang dikeluarkan Setiausaha Pas Selangor selepas dipanggil menghadap Sultan Sharafuddin Idris Shah, adalah sama sekali tidak tepat serta tidak pernah berlaku.

Menerusi laporan yang disiarkan sebuah portal berita pada 16 Jun, Setiausaha Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir antara lain berkata, mereka dihubungi pihak istana kerana baginda Sultan ingin mengetahui pendirian Pas dalam perayaan Bon Odori.

“Baginda ingin tahu pendirian kami dalam perayaan Bon Odori. Baginda memberi pandangan dan kami juga sampaikan kepada baginda bahawa kami menghormati pendirian baginda,” kata Roslan.

Bagaimanapun Mohamad Munir berkata, kenyataan itu sama sekali tidak tepat.

“Adalah ditegaskan bahawa kenyataan ini tidak tepat sama sekali dan tidak berlaku sebenarnya ketika Pesuruhjaya Pas Selangor menghadap Sultan Selangor pada tarikh berkenaan,” katanya.

Jelas Mohamad Munir, pada sesi menghadap itu, Sultan Sharafuddin hanya menyatakan tentang pendirian baginda tidak menyekat festival kebudayaan Jepun Bon Odori yang akan diadakan di Selangor.

“Pada pandangan baginda hanya berunsur kebudayaan semata-mata.

“Baginda juga tidak menghalang mana mana orang Islam untuk menghadirinya sehinggalah satu kajian mendalam dilakukan terhadap festival berkenaan sama ada ianya berunsur keagamaan atau kebudayaan bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat khususnya masyarakat Islam,” jelasnya dalam satu kenyataan rasmi hari ini.

Beliau berkata, dalam sesi menghadap Sultan Sharafuddin di Istana Bukit Kayangan Shah Alam pada petang 14 Jun itu, turut dititah hadir bagi menyaksikan pertemuan itu adalah beberapa orang Ahli Dewan di-Raja Selangor termasuk Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Tedahulu, Dr Ahmad Yunus dalam kenyataan memaklumkan pertemuannya bersama Sultan Selangor pada Selasa lalu hanya untuk mendengar titah baginda dan tiada sebarang perbincangan berlaku antara beliau dan Sultan Sharafuddin.

Bagaimanapun Roslan Shahir berkata, mereka telah dihubungi pihak istana memandangkan Sultan Sharafuddin ingin tahu apakah pendirian terhadap pesta yang akan diadakan di Kompleks Sukan Shah Alam, 16 Julai ini.

SIAPA DUA PEMIMPIN PKR BERTEMU AZMIN, ADAKAH ANWAR TAHU PERTEMUAN ITU?

Shahbuddin Husin 

Dilaporkan media hari ini bahawa Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Azmin Ali telah mengadakan pertemuan sulit dengan dua pemimpin PKR.

Pertemuan itu didakwa berlangsung di Hotel Sheraton, Petaling Jaya pada Rabu 15 Jun lalu iaitu tempat di mana berlakunya gerakan politik “Langkah Sheraton” yang menjatuhkan kerajaan PH pada 2020 lalu.

Ia berlangsung selama satu jam, kata satu sumber mengenai pertemuan tersebut sebagaimana didedahkan oleh sebuah portal berita.

Pertemuan Azmin dengan dua pemimpin PKR itu berlangsung di tengah-tengah pelbagai spekulasi tentang kedudukan dan masa depan bekas Timbalan Presiden PKR tersebut dalam Bersatu.

Spekulasi mengenai Azmin tambah hangat berikutan sekutunya selama ini, Zuraida Kamaruddin telah mengumumkan keluar Bersatu pada 26 Mei lalu untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia atau PBM.

Azmin bagaimanapun dalam kenyataan terbarunya menyatakan komitmennya untuk kekal dalam Bersatu yang dipimpin oleh Mahiaddin Md Yasin.

Sehingga ini tidak dapat dipastikan apakah tujuan Azmin mengadakan pertemuan dengan dua pemimpin PKR itu.

Apakah ia untuk membuka laluan bagi Ahli Parlimen Gombak itu kembali bersama PKR?

Atau adakah pertemuan itu dengan tujuan agar Bersatu dan PKR dapat saling bekerjasama dalam PRU15 akan datang yang sifir politik paling mudah difahami di sebaliknya ialah agar Azmin mampu mengekalkan lagi kerusi Parlimen Gombak yang dipegangnya sekarang?

Namun di peringkat awal ini, sementara tujuan sebenar pertemuan itu kekal misteri, yang paling ingin diketahui ialah siapakah dua pemimpin PKR yang bertemu dengan Azmin itu

Atas restu siapa mereka bertemu dengan Azmin atau ia hanya pandai-pandai dua pemimpin itu saja?

Adakah PKR, khususnya Anwar Ibrahim selaku Presiden parti tahu tentang pertemuan tersebut?

Atau adakah selepas pertemuan dengan Azmin itu, kedua-dua pemimpin PKR tersebut ada memberi sebarang laporan kepada Anwar?

Ataukah mereka senyap begitu saja sehingga sekarang?

Begitu pun, oleh kerana Azmin adalah dianggap pengkhianat nombor wahid di mata ahli-ahli PKR yang bukan saja tindakannya telah menumbangkan kerajaan PH, malah paling keras menolak Anwar sebagai Perdana Menteri untuk menggantikan Tun Mahathir Mohamad, bekerjasama dalam apa bentuk sekali pun dengan beliau boleh dikata ditolak sepenuhnya.

Jauh lebih ditolak ialah sebarang usaha untuk membawanya kembali menyertai PKR semula.

Ahli-ahli PKR lebih mahu melihat karier politik Azmin berakhir dengan kekalahan di Gombak dalam PRU15 akan datang, seterusnya nyawa politiknya juga akan “tutup suis” sekali berbanding menjalin sebarang kerjasama dengannya.

Untuk itu, dua pemimpin PKR yang bertemu dengan Azmin itu bukan saja ingin benar diketahui siapa identitinya, bahkan ada yang tidak sabar mahu melabelnya pengkhianat juga.

Azmin sudah mengkhianati kita, kalau sesiapa mahu memberi nyawa kepadanya, maka orang itu adalah sama-sama pengkhianat, kata seorang ahli PKR dengan agak marah.

Apa kata dalam hal ini, dua pemimpin PKR itu segera tampil dan membuat penjelasan sebenar tentang pertemuan dengan Azmin itu sebelum nama mereka akhirnya terdedah dengan sendirinya.

Berani buat, takkan tak berani tanggung? 

Terapung dalam keadaan berpelukan

Siti Rohana Idris

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Dua pelajar sebuah pondok di Pasir Tumboh di sini, yang hilang di Sungai Machang, Limbat, petang semalam ditemukan lemas, jam 8.40 pagi ini.

Mayat Muhammad Zul Hafiz Azman, 18, dan Luqman Hakim Azman, 16, dijumpai terapung dalam keadaan berpelukan kira-kira 20 meter (m) dari lokasi kali terakhir mereka dilihat tenggelam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Tumboh, El Taraff Mohd Zachariah berkata, mayat kedua remaja lelaki itu ditemukan orang awam yang turut membantu dalam misi mencari dan menyelamat (SAR).

"Kami memulakan SAR pada 8 pagi tadi dengan membuat pencarian di permukaan menggunakan bot dalam radius 200 m di sekitar lokasi dan belum sempat melakukan selaman.

"Pada 8.40 pagi tadi, mayat kedua-dua mangsa ditemukan terapung dalam keadaan berpelukan oleh orang ramai tidak jauh dari lokasi mangsa dilihat kali terakhir," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dalam kejadian petang semalam, dua remaja itu menyertai sembilan lagi rakan dari pondok yang sama untuk mandi di sungai terbabit kira-kira 5 petang.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, semua remaja terbabit dipercayai keluar daripada pondok tanpa kebenaran pihak pengurusan.

"Saksi memaklumkan ternampak seorang daripada mangsa tenggelam berdekatan dengan tempat dia mandi, manakala seorang lagi dihanyutkan arus, seterusnya tenggelam.

"Mereka dipercayai kali pertama mandi di kawasan itu dan kedua jenazah dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk proses bedah siasat," katanya.