"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kes letupan di Pandan Indah, polis tahan pasangan suami isteri

FMT Reporters

PETALING JAYA: Polis menahan sepasang suami isteri bagi membantu siasatan berhubung kejadian letupan yang mengakibatkan seorang pekerja restoran terbunuh di Pandan Indah, di Ampang, pada 29 Dis lalu.

Pemangku Ketua Polis Selangor, S Sasikala Devi berkata, pasangan berusia 33 dan 30 tahun itu ditahan pada jam 7.20 malam, semalam, di sebuah taman perumahan, di Serdang, Kedah.

Katanya, pasangan suami isteri itu akan ditahan reman selama tujuh hari selepas permohonan reman dibenarkan mahkamah majistret.

“Pihak polis percaya, tangkapan berkenaan boleh membantu siasatan kes ini yang dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau turut menasihatkan orang awam supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan kes itu.

Dalam kejadian pada jam 8.55 malam, seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun yang bekerja sebagai pembantu tukang masak terbunuh selepas sebuah bungkusan yang diletakkan di atas bonet kereta meletup.

Bungkusan plastik itu meletup sebaik sahaja lelaki itu mengalihkannya menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah pada badan.

Lelaki ditemukan meninggal dunia bersebelahan kereta

Siti Rohana Idris

am@hmetro.com.my

LELAKI berusia 56 tahun ditemukan meninggal dunia sebaik mahu memasuki kereta. FOTO ihsan pembaca

LELAKI berusia 56 tahun ditemukan meninggal dunia sebaik mahu memasuki kereta. FOTO ihsan pembaca
Kota Bharu: Seorang lelaki meninggal dunia sebaik mahu memasuki kenderaannya yang diparkir di Jalan Bayam di sini, semalam.

Mangsa berusia 56 tahun dipercayai dari tempat kerjanya sebelum ditemukan orang awam dalam keadaan terbaring tidak sedarkan diri.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, pada jam 2.30 petang semalam, pihaknya menerima panggilan memaklumkan kejadian itu.

"Mangsa dijumpai orang awam terbaring tidak sedarkan diri bersebelahan keretanya di tempat letak kenderaan berhadapan Bangunan Kelantan Trade Centre (KTC).

"Pemeriksaan awal terhadap tubuh mangsa tiada sebarang kesan kecederaan dan pembantu perubatan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) yang hadir mengesahkan lelaki itu sudah meninggal dunia," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Mohd Rosdi berkata, hasil bedah siasat mendapati mangsa mengalami serangan jantung dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.

Rafizi bersedia 'berlari' lebih pantas

Essa Abu Yamin

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Menteri Ekonomi Rafizi Ramli memberi gambaran bahawa beliau sudah cukup untuk 'berlari' dengan lebih pantas selepas genap sebulan memegang jawatan penting berkenaan.

Beliau berkata, mungkin apa yang dilakukan akan dirasai kesannya dengan segera dan ada hasilnya hanya dapat dituai dalam tempoh setahun dua atau tahun-tahun yang akan datang.

"InsyaAllah, kalau 10 kami usahakan, kalau pun tidak semua membuahkan 100 peratus hasil seperti yang dirancang, sebahagian besarnya akan mempunyai impak jangka masa sederhana dan panjang kepada negara.

"Ada perkara yang boleh diusahakan supaya hasilnya dirasai cepat, namun kebanyakan perencanaan ekonomi akan mengambil masa lebih setahun, sementara sebahagian besarnya memakan lebih masa.

"Sebab itu masa sebulan saya habiskan berjumpa dan berbincang dengan pemegang taruh utama ekonomi negara. Mereka termasuklah pembuat dasar, pelaksana, pihak swasta dan pemegang taruh lain. Secara umumnya, kesemua pihak memahami hala tuju ekonomi yang hendak dibawa," katanya dalam kenyataan di Facebook, semalam.

Rafizi berkata, Kerajaan Perpaduan bertanggungjawab mengalih haluan ekonomi ke arah ekonomi bernilai tinggi supaya rakyat mendapat gaji yang boleh mengimbangi tekanan inflasi.

"Usaha mengekang inflasi banyaknya boleh dilaksanakan di peringkat pembekal seperti mempercepatkan pelaburan berteknologi tinggi dalam sektor makanan, mengawal harga (dengan membayar subsidi), meningkatkan persaingan pembekal (dengan menangani monopoli) dan menambah bekalan (termasuk mengimport).

"Tetapi usaha di sebelah pembekal ini perlu juga diiringi dengan inisiatif di sebelah penawaran, termasuklah mengusahakan kenaikan gaji yang munasabah supaya rakyat tidak merasa terlalu terbeban dengan kadar inflasi semasa dan menggalakkan tabiat pengguna yang lebih sensitif kepada harga agar permintaan lebih anjal.

"Pembangkang dari Perikatan Nasional (PN) akan terus mempertikai setiap usaha kerajaan. Ada dari kalangan mereka yang memperli konon saya hanya nampak gah semasa pembangkang tetapi tidak berkesan sebagai kerajaan.

"InsyaAllah, itu satu cabaran yang saya akan sahut. Cuma bila komen begitu datang dari mereka yang menjadi kerajaan selepas menebuk atap selama 33 bulan, bunyinya nampak seperti meludah ke langit," katanya.

Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata, soal keperluan menganjak ekonomi negara ke arah ekonomi digital berteraskan inovasi, ekonomi yang seimbang dengan kelestarian alam sekitar, aplikasi teknologi yang meningkatkan produktiviti dan kecekapan adalah matlamat ekonomi yang tidak boleh dipertikaikan.

"Ujian sebenar kepadanya adalah bagaimana untuk melaksanakan anjakan-anjakan ini yang kesannya dapat dirasai oleh rakyat.

"Setelah sebulan, ada idea dan pendekatan baru yang saya rasakan akan beri nilai pulang lebih baik bagi setiap satu ringgit wang rakyat yang dibelanjakan kerajaan.

"Ada masalah pelaksanaan yang merencatkan prestasi ekonomi dan menyebabkan kenaikan kos yang boleh ditangani. Ada projek-projek berimpak tinggi yang akan memberi isyarat anjakan ekonomi yang diperlukan untuk menarik minat pelabur-pelabur.

"Selepas lima tahun, saya serahkan kepada penilaian rakyat mengenai prestasi saya sebagai menteri dan Pakatan Harapan sebagai sebahagian dari Kerajaan Perpaduan," katanya.