"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Muhyiddin: Belum sampai 100 hari, Anwar dah khianati perjuangan reformasi

Malaysiakini

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin berkata kesilapan demi kesilapan dilakukan oleh Anwar Ibrahim sejak dia dilantik sebagai perdana menteri.

Menurutnya janji tatakelola yang baik telah dikhianati apabila Anwar melantik Ahmad Zahid Hamidi yang sedang berhadapan dengan tuduhan jenayah di mahkamah sebagai timbalannya.

"Ini dilakukan semata-mata kerana membalas "budi" Zahid yang berjaya memaksa ahli-ahli parlimen BN memberi sokongan kepada Anwar sebagai Perdana Menteri.

“Bukan setakat itu sahaja, janji perdana menteri tidak memegang jawatan Menteri Kewangan juga dibuang ke laut apabila Anwar melantik dirinya sendiri sebagai Menteri Kewangan. Ini satu lagi kesilapan Anwar yang tanpa segan silu bercakap tak serupa bikin,” katanya dalam catatan di Facebook.

Terbaru, menurut Muhyiddin, Anwar melantik anaknya sendiri, Nurul Izzah sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada perdana menteri itu.


"Tidak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia seorang perdana menteri melantik anak sebagai penasihat. Pelantikan ini menjadikan slogan reformasi yang dilaungkan oleh Anwar sejak lebih 20 tahun lalu sebagai omongan kosong.

“Belum sampai 100 hari memerintah, Anwar telah mengkhianati semangat perjuangan reformasi yang didukung oleh penyokong-penyokongnya sendiri,” kata bekas perdana menteri itu.

‘Tak rela lihat maruah negara tercalar

Menurut Muhyiddin sebagai pemimpin parti pembangkang dia boleh saja mengambil kesempatan daripada kesilapan demi kesilapan yang dilakukan oleh Anwar dan kerajaannya.

"Tetapi sebagai rakyat biasa, saya tidak rela melihat maruah negara tercalar kerana keterlanjuran perdana menteri.

“Masih belum terlambat untuk Anwar memperbaiki keadaan,” tulisnya.

Justeru Muhyiddin menggesa Anwar meletakkan jawatan sebagai menteri kewangan dan menumpukan tugas sebagai perdana menteri untuk membantu negara dan rakyat mengharungi masa yang mencabar.

Katanya, Anwar juga perlu mengarahkan Ahmad Zahid supaya bercuti sehingga kes mahkamah yang dihadapinya selesai.

"Malulah rakyat Malaysia jika beliau (Zahid) ke luar negara bertemu pemimpin dunia atas tugasan rasmi sebagai timbalan perdana menteri sedangkan kesnya masih dibicarakan di mahkamah.

“Apa agaknya tajuk berita di negara yang dilawatinya,” ujarnya.

Selain itu Muhyiddin berkata Anwar perlu menasihatkan Nurul Izzah supaya meletak jawatan sebagai penasihatnya, memandangkan anak perempuannya itu merupakan seorang pemimpin wanita muda yang berbakat dan berpotensi besar.

“Janganlah pelantikan kecil yang tidak kena pada tempatnya ini menjadi titik hitam dalam perjalanan politiknya menuju masa hadapan yang mungkin lebih cerah,” katanya.

Kritikan Muhyiddin itu muncul selepas Nurul Izzah dilantik sebagai penasihat kewangan dan ekonomi kepada perdana menteri tanpa dibayar gaji.

Keputusan itu membawa kepada dakwaan berlaku amalan nepotisme dan persoalan apakah Nurul Izzah layak untuk memegang jawatan itu, walaupun Pejabat Perdana Menteri mempertahankan kelayakan akademiknya .

Sebelum ini, Pakatan Harapan (PH) berjanji dalam manifesto pada pilihan raya 2018 bahawa perdana menteri tidak akan memegang jawatan menteri kabinet yang lain.

Bagaimanapun, janji yang sama tidak dibuat dalam manifesto untuk pilihan raya umum tahun lalu.

Anwar sebelum ini berkata dia menyandang jawatan sebagai menteri Kewangan untuk pulihkan keyakinan terhadap ekonomi Malaysia.

MN mungkin permulaan baharu kepada yang dipecat UMNO

Mohd Iskandar Ibrahim dan Ahmad Suhael Adnan

bhnews@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Tiga hari selepas gerakan pembersihan UMNO yang menyaksikan pemecatan dan penggantungan keahlian beberapa pemimpin yang didakwa mensabotaj parti, tercetus pelbagai spekulasi mengenai langkah seterusnya yang bakal diambil mereka.

Sama ada proses pembersihan UMNO adalah pengakhiran karier politik mereka yang terbabit dalam parti keramat Melayu itu atau 'permulaan baharu' seperti disebut bekas Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein bergantung kepada percaturan politik masing-masing dalam masa terdekat ini.

Ada menjangkakan bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Tan Sri Noh Omar dan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang dipecat mungkin memilih platform Muafakat Nasional (MN) diterajui Tan Sri Anuar Musa dan dianggotai beberapa bekas menteri daripada pelbagai parti.

Terdapat pandangan MN yang asalnya diwujudkan atas kerjasama UMNO dan PAS pada 2019, didaftarkan sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), mungkin bertukar status menjadi parti politik baharu dan jika berlaku, politik negara bakal menerima satu lagi parti serpihan UMNO.

Kemungkinan MN turut disertai pemimpin UMNO lain yang digantung seperti Hishammuddin; bekas Ketua Penerangan, Shahril Sufian Hamdan dan bekas Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad, juga tidak boleh diketepikan.

Tarikan MN

Tarikan MN ialah kerana ia ditubuhkan dua parti politik terbesar orang Melayu sebelum disertai BERSATU, juga parti berteraskan Melayu. Ia kini menghimpunkan pemimpin yang disingkir atau diketepikan parti politik mereka seperti Datuk Zuraida Kamaruddin dan Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.

Penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Muhammad Takiyuddin Ismail, tidak menolak kemungkinan pemimpin UMNO yang disingkir atau digantung seperti Noh, Hishammuddin dan Hasni menyertai MN sebagai platform untuk kekal relevan dalam arena politik.

Namun, Muhammad Takiyuddin berpandangan ia kemungkinan yang jauh, khususnya untuk pemimpin muda dan progresif seperti Khairy dan Shahril yang dilihat tidak sesuai menyertai organisasi diterajui Annuar, bekas Setiausaha Agung UMNO yang dipecat keahliannya pada awal Disember lalu.

"BERSATU atau MN platform terhampir yang dilihat sesuai dengan karakter dan pendekatan politik mereka, terutama tokoh lama seperti Noh, Hasni dan Hishammuddin. Kemungkinan itu tidak boleh ditolak dan berdasarkan sejarah semua, saya tidak jangka mereka akan sertai parti dalam Pakatan Harapan (PH).

"Namun Khairy dan Shahril Sufian mungkin tak cenderung sertai MN kerana mereka agak progresif. Saya tak fikir ia platform yang sesuai jika mereka masih mempunyai cita-cita politik.

"Platform terhampir bagi Khairy dan Shahril Sufian ialah BERSATU, namun tak mengejutkan juga jika mereka sertai PKR," katanya, semalam.

Bagi Pensyarah Kanan Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali, kemungkinan pemimpin UMNO yang dikenakan hukuman parti itu baru-baru ini menyertai MN tidak boleh ditolak kerana apa sahaja boleh berlaku dalam politik.

 "Jika dilihat pada status Ahli Parlimen Sembrong, Hishammuddin di media sosial, banyak yang boleh ditafsirkan, mungkin beliau akan berjuang di platform lain atau mungkin menunggu masa sesuai untuk buat kemunculan semula dalam UMNO.

"Jika beliau memilih untuk menyertai parti lain, saya melihat MN mungkin jadi pilihan kerana pertubuhan itu dilihat dekat dengan Perikatan Nasional (PN). Begitu juga pemimpin lain yang rapat dengan Hishammuddin, namun ini sekadar andaian," katanya.

Kelmarin, Hishammuddin melalui rakaman video dikongsi di Facebook, menyifatkan penggantungannya bukan pengakhiran karier politik, sebaliknya permulaan baharu.

Mengulas lanjut, Mazlan berpandangan, kemungkinan menyertai MN tidak akan menjadi pilihan Khairy kerana bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau dan bekas Menteri Kesihatan itu adalah seorang reformis dalam UMNO.

"Saya berpandangan Khairy mungkin buat masa ini tidak menyertai mana-mana gabungan. Mungkin beliau juga menunggu masa sesuai untuk kembali dalam UMNO," katanya.

Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Rusdi Omar pula melihat Khairy dan Noh serta Hishammuddin lebih cenderung menyertai PN atau PH berbanding MN.

"Hishammuddin dan Khairy mahu cepat jadi ketua dan menteri, jadi cita-cita ini lebih mudah dicapai jika sertai parti yang sudah lama terbentuk.

"Mereka mungkin cenderung menyertai PN atau PH, lebih sukar menyertai PH kerana parti itu bekerjasama BN dalam Kerajaan Perpaduan. Yang pasti, mereka boleh 'bersihkan diri' jika menyertai PKR," katanya.

Pandangan berbeza dikemukakan penganalisis politik dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Abdul Aziz Azizam yang melihat Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) berpotensi dijadikan wadah untuk digerakkan Khairy dan Hishammuddin.

Katanya, dua pemimpin UMNO itu boleh bergandingan dengan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang pernah mencabar jawatan Ketua Pemuda UMNO sebelum meninggalkan parti untuk mengasaskan BERSATU dan kini menerajui PEJUANG.

"Ia berikutan hasil kajian mendapati majoriti masyarakat masih menaruh harapan tinggi kepada pemimpin berpengalaman terpinggir seperti mereka, sekali gus berpotensi menarik sokongan ramai jika bergerak bersama-sama," katanya.

Khairy mungkin buat ‘comeback’ dalam PRN Selangor

FMT Reporters

PETALING JAYA: Bekas Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata beliau sedang mempertimbangkan untuk kembali berpolitik pada pilihan raya negeri (PRN) Selangor akan datang.

Khairy memberitahu Channel NewsAsia (CNA) berkata, beliau percaya Selangor adalah “pusat politik” Malaysia dan beliau merancang untuk membina pangkalan baharu politiknya di negeri itu.

“Ia adalah sesuatu yang saya sedang pertimbangkan (membuat kemunculan semula),” katanya.

“Saya telah memaklumkan kepada umum bahawa saya telah meninggalkan Negeri Sembilan dan berhijrah ke Selangor. Saya rasa ini adalah pusat politik Malaysia. Di sinilah ia akan berlaku.”

Mengenai apa langkah yang dilakukan dari segi keahlian parti, Khairy berkata, beliau masih mempertimbangkan pilihannya.

“Saya rasa ‘pasaran’ politik agak tepu sekarang, jadi penubuhan parti politik adalah satu pilihan, menyertai parti sedia ada adalah satu lagi pilihan. Saya perlu ambil masa untuk melihat apa yang lebih masuk akal,” katanya.

Khairy turut kesal dengan keputusan Umno memecatnya dengan berkata, beliau telah menjadi ahli selama 23 tahun.

“Dari segi politik, parti itu (Umno) adalah segala-galanya kepada saya. Untuk melihatnya menjadi seperti hari ini adalah tragis dan menyedihkan,” katanya.

Beliau berkata, sukar untuk Umno pulih selepas jatuh ke tahap paling rendah ketika ini.

“Saya percaya sukar bagi Umno untuk bangkit bukan kerana mereka menolak saya, tetapi kerana keseluruhan trajektori Umno sedang menurun,” katanya sambil menambah parti itu kini hanya mempunyai 26 kerusi Parlimen dan “masih enggan untuk melakukan pembaharuan”.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan untuk kembali kepada Umno suatu hari nanti, namun berkata, ia perlu menjadi “parti yang jauh berbeza” sebelum beliau mempertimbangkan untuk berbuat demikian.

“Jika saya kembali kepada Umno untuk apa yang berlaku hari ini, saya percaya ia akan banyak membuang masa saya,” katanya.

Awal hari ini, Khairy berkata, beliau tidak akan merayu terhadap pemecatannya kerana “tiada gunanya” berbuat demikian.

Dalam temu bual di BFM The Breakfast Grille, beliau berkata, merayu adalah sia-sia apabila orang yang sama yang mahu dia keluar masih bersama parti itu.

Khairy dipecat pada Jumaat kerana melanggar disiplin parti semasa PRU15 baru-baru ini.