"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ranking bolasepak dunia dan Asia Tenggara terkini

Kedudukan dunia

Tiada perubahan dalam senarai sepuluh teratas dunia. Argentina kekal di kedudukan teratas sejak mengambil kedudukan dari Brazil pada April.

Sementara itu, Perancis di tempat kedua diikuti Brazil, Belgium, England, Belanda, Croatia, Itali, Portugal dan Sepanyol. Maghribi yang sebelum ini menduduki tempat ke-11, jatuh ke tangga ke-14. Kedudukan Maghribi kini telah diambil alih oleh Amerika Syarikat.

Walaupun tiada perlawanan antarabangsa, perubahan ranking masih boleh berlaku. Malaysia yang tidak menyertai perlawanan antarabangsa telah meningkat satu tangga kepada tangga ke 136. Begitu juga dengan China. Tetapi China jatuh satu anak tangga kepada tangga ke-80.

Kedudukan Asia Tenggara

Sementara itu Vietnam masih nombor satu di rantau Asia Tenggara.

Secara keseluruhan, Malaysia  berada di kedudukan keempat di rantau Asia Tenggara. Wilayah ini masih dikuasai oleh Vietnam yang menduduki tempat ke-95, diikuti oleh Thailand (ke-113), Filipina (ke-135), dan Malaysia.

Sementara itu, Singapura yang berada di kedudukan ke-158 berada di kedudukan keenam, diikuti Myanmar (160), Kemboja (176), Laos (187), Brunei Darussalam (190), dan Timor Leste (192).

Zahid tawar perjanjian dengan syarat kesnya selesai - Hamzah Zainudin

Geraldine Tong

Setiausaha Agung PN Hamzah Zainudin membandingkan persetujuan yang menurutnya ditawarkan BN kepada mereka selepas PRN Sabah pada 2020 dengan persetujuan yang didakwa dicapai antara Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi PH Anwar Ibrahim selepas PRU15.

Menurut Hamzah, persetujuan asal antara PN dan BN - yang ketika itu masih bekerjasama - adalah Hajiji Noor menjadi ketua menteri Sabah namun dia mendakwa Zahid mengubah fikiran di saat akhir.

"Zahid tiba-tiba ubah fikiran dan kata mahu Bung Moktar Radin jadi ketua menteri Sabah.

"Kawan saya telefon ketika subuh (sehari selepas keputusan PRN Sabah diumumkan) dan kata 'brother, boleh selesaikan dengan satu syarat. selesaikan kes presiden Umno'.

"Jadi perjanjian diadakan antara Anwar dan Zahid (selepas PRU15) kerana Zahid mahu kes dia diselesaikan," dakwa Hamzah dalam satu program di Sik, Kedah malam tadi untuk menunjukkan sokongan kepada menteri besar sementara Muhammad Sanusi Md Nor yang dihadapkan dengan dua tuduhan menghasut minggu ini.

Hajiji akhirnya tetap dilantik sebagai ketua menteri manakala Bung menjadi timbalannya.

Dengan tiada gabungan politik mendapat majoriti mudah dalam PRU15, ada persaingan pihak mana yang dapat memeterai persetujuan untuk menubuhkan kerajaan persekutuan.

Sementara BN pada mulanya dilihat cenderung untuk menyokong PN, gabungan itu akhirnya menyatakan sokongan kepada Anwar untuk menjadi perdana menteri.

Dalam pada itu, Hamzah berkata dia baru-baru ini bertemu dengan kedua-dua presiden MCA dan MIC, Wee Ka Siong dan SA Vigneswaran, dan bertanya berkenaan sokongan BN kepada Anwar.

"Saya nak beritahu, depa kata tidak pernah ada keputusan BN menyokong Anwar seperti (dinyatakan) surat yang dihantar kepada Raja-raja Melayu.

"Kalau depa tipu saya (berkenaan perkara ini), (maka) saya tipu," katanya.

Namun, katanya lagi, PN sentiasa menjunjung dan mempertahankan institusi diraja dan maka mereka menghormati keputusan untuk melantik Anwar sebagai perdana menteri.

Atas dasar itu juga Sanusi tidak pernah menghina institusi diraja, katanya lagi.

"(Pihak) yang dia nak kacau adalah Anwar, (setiausaha agung PKR) Saifuddin Nasution Ismail dan (timbalan presiden PKR) Rafizi Ramli. Mereka yang kita nak kacau," katanya lagi.

Dilarang guna akuarium jual air - KKM

Bernama

Penggunaan akuarium atau bekas bukan untuk tujuan makanan dilarang seperti dinyatakan dalam Peraturan 31, Peraturan-Peraturan Makanan 1985, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Muhammad Radzi Abu Hassan.

Merujuk isu tular di media massa dan media sosial berkaitan penggunaan akuarium sebagai bekas penyimpanan air untuk tujuan jualan, beliau berkata ia menjadi satu kesalahan kerana akuarium berfungsi sebagai bekas memelihara ikan.

“Akuarium kebiasaannya diperbuat daripada bahan kaca atau acrylic atau plastik dan berkemungkinan mengandungi bahan kimia seperti plumbum atau phthalates, yang boleh larut dalam air seterusnya mencemarkan air tersebut, sekali gus boleh mengakibatkan kesan kepada kesihatan,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Dr Muhammad Radzi berkata Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM), akan sentiasa menjalankan pemantauan ke atas penjualan makanan termasuk penjualan minuman yang menggunakan bekas bukan untuk tujuan makanan.

Beliau juga mengingatkan kepada penjual dan pengguna untuk memandang serius serta memastikan makanan yang dijual selamat dan berkualiti untuk semua.

“Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, mereka boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melayari laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook BKKM www.facebook.com/bkkmhq,” katanya.

Sebelum ini, tular gambar penjualan ‘air balang’ menggunakan akuarium sehingga mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan pengguna media sosial.

- Bernama