"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ibu tunggal didenda RM500 buat laporan palsu konon diragut

Alias Abd Rani
bhnews@bharian.com.my
Ibu tunggal didenda RM500 oleh Mahkamah Majistret Batu Pahat kerana buat laporan palsu. - Foto NSTP/Alias Abd Rani
Ibu tunggal didenda RM500 oleh Mahkamah Majistret Batu Pahat kerana buat laporan palsu. - Foto NSTP/Alias Abd Rani
BATU PAHAT: Seorang ibu tunggal didenda RM500 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini kerana membuat laporan palsu kononnya diragut, bulan lalu.

Rafizanah Razak, 36, yang juga orang kena saman (OKS) didakwa membuat laporan palsu itu kerana bimbang didenda oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akibat kehilangan kad pengenalan.

Raizanah membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibaca jurubahasa di hadapan Majistret Suhaila Shafi'uddin.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memberi maklumat palsu kepada pegawai penyiasat di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, pada jam 11.42 pagi, 27 Februari.

Beliau didakwa melakukan kesalahan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara enam bulan atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, pegawai penyiasat menerima laporan daripada OKS memaklumkan dia diragut lelaki tidak dikenali.

Dalam laporan itu, OKS memberitahu dia kehilangan wang tunai, kad pengenalan, kad bank dan beberapa barangan berharga.

Polis mula menjalankan siasatan sebaliknya, menimbulkan keraguan terhadap laporan dibuat OKS. Selepas ditanya, OKS memberitahu dia membuat laporan palsu kerana kad pengenalan hilang.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahida Mohd Sharip manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Selepas mempertimbangkan rayuan dan hujahan pihak pendakwaan, mahkamah menjatuhkan denda RM500 dan perintah menjalani hukuman penjara 14 hari jika gagal membayarnya.

Lelaki bakar mercun tengah jalan ditahan

Bernama

SHAH ALAM: Polis menahan seorang pembantu bengkel yang disyaki membakar mercun di tengah jalan raya, ketika perarakan pengebumian berdekatan sebuah pasar raya di Banting, semalam.

Ketua Polis Kuala Langat, Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh, berkata lelaki berusia 28 tahun itu ditahan kira-kira 3.30 petang di sekitar kawasan Banting dan hasil saringan air kencing mendapati dia positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

Beliau berkata, lelaki terbabit mengambil bahagian dalam perarakan itu bersama beberapa penunggang motosikal lain, dan bertindak menahan kenderaan orang awam dan membakar mercun di jalan raya.

“Lelaki itu kini ditahan di lokap Balai Polis Banting untuk tindakan lanjut, dan semakan mendapati suspek mempunyai rekod lampau melibatkan kes jenayah dan narkotik,” katanya dalam kenyataan.

Ridhwan berkata, bahagian trafik IPD Kuala Langat juga mengeluarkan tiga saman terhadap suspek berkaitan kesalahan lalu lintas.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Polis kini giat mengesan dua lagi suspek dipercayai terlibat kejadian itu yang tular di media sosial,” katanya.

'Saya cabar Sanusi bawa orang tuduh dia ke mahkamah'

M Hifzuddin Ikhsan
hifzuddin@bh.com.my
SHAIFUL Hazizy Zainol Abidin. FOTO Bernama
SHAIFUL Hazizy Zainol Abidin. FOTO Bernama
Alor Setar: Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dicabar menyaman seorang wanita yang mendakwa berlaku kesalahan tadbir dalam Kedah Agro Holdings Berhad (KAHB) sehingga menyebabkannya menanggung kerugian.

Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin, berkata, Menteri Besar Kedah itu wajar memberi penjelasan berhubungan dakwaan wanita yang dikatakan bekas kakitangan KAHB bahawa keuntungan syarikat diambil Perbadanan Menteri Besar (MBI).

"Saya cabar Sanusi untuk bawa orang yang tuduh dia ke mahkamah. Berani kerana benar, jangan nampak takut. Sudah-sudahlah jadi 'pembangkang' dalam isu ini, anda wakil kerajaan negeri, guna lunas undang undang yang ada," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Shaiful Hazizy turut meminta Muhammad Sanusi selaku Pengerusi MBI membayar segera gaji 24 kakitangan KAHB yang tertunggak sejak September tahun lalu, dan tidak menjadikan alasan Laporan Ketua Audit Negara 2017 untuk mengelak pembayaran gaji berkenaan.

Katanya, semua pihak tahu KAHB mempunyai masalah, namun kerajaan negeri terdahulu termasuk dari Barisan Nasional (BN), PAS atau BERSATU tetap juga berusaha membayar gaji kakitangannya.

"Sanusi juga perlu berhenti mengatakan tidak mahu bayar kerana akan guna duit rakyat. Apa Sanusi fikir rakyat bodoh sangat? Sudah tentu Kedah Agro itu anak syarikat MBI, MBI kena pandai cari dana atau struktur kewangan demi bayar gaji pekerja," katanya.

"Semua tahu Kedah Agro memang bermasalah, tetapi kenapa zaman BN masih berusaha untuk bayar gaji pekerja Kedah Agro? Sebab setiap Menteri Besar tahu itu tanggung jawab mereka, hatta Menteri Besar PAS atau BERSATU, semua bayar," katanya.

Kelmarin, Muhammad Sanusi melalui kenyataan di laman sosialnya menyatakan akan menyaman seorang wanita yang dikatakan melempar tuduhan ke atas MBI dalam isu tunggakan gaji KAHB termasuk mengaitkannya dengan pentadbiran negeri di bawah kerajaan PAS terdahulu.