"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Warga emas rentung dalam kebakaran kereta

Bernama
Lelaki warga emas rentung dalam kebakaran kereta di Ipoh, malam tadi. - Foto Bomba
Lelaki warga emas rentung dalam kebakaran kereta di Ipoh, malam tadi. - Foto Bomba
IPOH: Seorang lelaki warga emas berusia 71 tahun rentung dalam kebakaran sebuah kereta di Laluan Sri Kuang 3, Desa Lasi, malam tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu jam 11.46 malam sebelum jentera bomba bersama lapan anggota tiba di lokasi 10 minit kemudian.

Kebakaran membabitkan sebuah kereta jenis Proton Saga Iswara.

"Terdapat seorang mangsa rentung dalam kenderaan tersebut. Operasi pemadaman tamat pada 2 pagi tadi," katanya dalam kenyataan hari ini. – BERNAMA

Lelaki lari berbogel dalam pesawat

Agensi

Canberra: Seorang lelaki, baru-baru ini, ditahan selepas berlari dalam keadaan telanjang di dalam pesawat Virgin Australia.

Portal Sky News melaporkan, lelaki itu melakukan perbuatan itu ketika penerbangan dari Perth ke Melbourne.

Insiden itu memaksa pesawat berkenaan berpatah balik ke Perth.

Difahamkan, lelaki terbabit juga merempuh kru bertugas ketika insiden berkenaan.

Kes itu menyebabkan polis menunggu di Lapangan Terbang Perth. Ia bagi mengawal keselamatan ketika pesawat itu kembali mendarat di lapangan terbang berkenaan.

Selepas ditahan, lelaki terbabit dipindahkan ke hospital untuk pemeriksaan.

Tidak jelas bagaimana atau di mana penumpang itu membuka pakaiannya.

Berikutan kes itu, lelaki terbabit diperintahkan untuk hadir di mahkamah pada 14 Jun depan.

Bagaimanapun, lelaki itu secara rasmi belum didakwa.

Sementara itu, Virgin Australia dalam satu kenyataan memohon maaf kepada penumpang terkesan dengan tindakan lelaki yang mencetuskan gangguan berkenaan.

Pemimpin PH-BN: Hasrat PAS tawan Selangor hanya ‘mimpi’

Mohamad Fadli

PETALING JAYA: Pemimpin Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) menyifatkan sasaran PAS menawan Selangor pada PRU16 sebagai mimpi, terutamanya berikutan kekalahan terbarunya pada PRK Kuala Kubu Baharu (KKB) pada 11 Mei lepas.

Timbalan Ketua Penerangan PKR R Ramanan menyifatkan kenyataan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man baru-baru ini sebagai tidak realistik, apabila mengambil kira kemenangan PH di KKB menerusi Pang Sock Tao yang dicapai hasil kerjasama erat gabungan kerajaan perpaduan.

Ahli Parlimen Sungai Buloh itu berkata, PAS mungkin boleh mendakwa sedemikian jika Perikatan Nasional (PN) menang pada PRK itu.

“Dia orang sudah jadi bomoh, Kalau tengok memang semua parti dalam PRU akan kata tak akan kalah (PH-BN).

“Itu harapan mereka dan kalau mereka kata fakta … saya kata hanya mimpi sahaja,” katanya kepada FMT.

Pada 26 Mei lepas, media melaporkan Tuan Ibrahim berkata, PAS meletakkan sasaran utama untuk menawan Selangor, Perak dan Pahang pada PRU16.

Justeru, kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu, gerak kerja parti perlu disusun untuk menterjemahkan kemenangan seperti di Terengganu, Kedah, Kelantan dan Perlis.

Pada PRU15, PN menang enam daripada 22 kerusi Parlimen di Selangor, iaitu Sabak Bernam, Sungai Besar, Hulu Selangor, Tanjong Karang, Kapar dan Kuala Langat.

PN turut menafikan majoriti dua pertiga kerajaan PH-BN dengan mencatatkan kemenangan di 22 kerusi pada PRN Selangor Ogos tahun lepas.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Tanjong Karang Dr Zulkafperi Hanapi bertindak menyokong pentadbiran Anwar Ibrahim pada Januari lepas, manakala Adun Selat Klang Abdul Rashid Asari mengalih sokongan kepada Menteri Besar Amirudin Shari.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Selangor Imran Tamrin pula yakin gerak kerja dan kesinambungan kerjasama antara BN-PH yang kini lebih baik akan menggagalkan usaha PAS.

“Sasaran kami lebih realistik, iaitu menang dua pertiga pada PRU16 jika momentum kerjasama ini kekal,” katanya.