"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Maknanya penyeludup lebih cerdik dari penguatkuasa la, tak gitu?

Kastam jumpa lori sarat dengan rokok seludup dalam semak

Syaherah Mustafa
am@hmetro.com.my
WAN Jamal Abdul Salam (dua kanan) menunjukkan sebahagian rampasan 860,000 batang rokok bernilai RM236,500 di dalam sebuah lori ketika serbuan di Kampung Dalam, Tumpat dalam sidang media di Pejabat Penguatkuasa JKDM, Rantau Panjang. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
WAN Jamal Abdul Salam (dua kanan) menunjukkan sebahagian rampasan 860,000 batang rokok bernilai RM236,500 di dalam sebuah lori ketika serbuan di Kampung Dalam, Tumpat dalam sidang media di Pejabat Penguatkuasa JKDM, Rantau Panjang. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Rantau Panjang: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas 860,000 batang rokok bernilai RM236,500 yang ditemukan dalam lori dipakir di kawasan terpencil di Kampung Dalam, Tumpat dekat sini, Ahad lalu.

Pengarahnya, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long, berkata kesemua rokok dengan nilai cukai RM577,060 itu ditemukan hasil pemeriksaan pada jam 6.30 pagi ke atas sebuah lori yang diparkir di dalam kawasan semak itu.

Katanya, penyeludup menggunakan modus operandi meninggalkan lori di kawasan terpencil sebelum dipercayai dibawa oleh sindiket lain untuk dijual di pasaran tempatan.

"Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti sama ada rokok terbabit dibawa masuk melalui pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok atau dari luar Kelantan sebelum dibawa ke lokasi serbuan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967," katanya dalam sidang media di Pejabat Penguatkuasa JKDM Cawangan Rantau Panjang di sini, hari ini.

Wan Jamal berkata, siasatan masih dilakukan bagi mengenal pasti pemilik lori yang disita itu.

"JKDM sentiasa menjalankan operasi bagi membanteras jenayah penyeludupan terutama membabitkan jajahan bersempadan dengan negara jiran, tambahan pula penyeludup mempunyai banyak strategi untuk meloloskan diri daripada pihak berkuasa," katanya.

Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan penyeludupan seperti rokok, minuman keras, mercun atau dadah boleh menghubungi talian bebas tol 1-800-88-8855 atau ke pejabat JKDM berdekatan.

Kereta terbakar tiba-tiba, wanita bersama anak selamat

Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my
KEADAAN kereta yang terbakar dan anggota bomba memeriksa kenderaan yang hangus. FOTO Ihsan Ihsan Syazwana.
KEADAAN kereta yang terbakar dan anggota bomba memeriksa kenderaan yang hangus. FOTO Ihsan Ihsan Syazwana.
Bangi: Seorang wanita bersama anak lelakinya berdepan detik cemas apabila kereta Viva dinaiki tiba-tiba berasap sebelum terbakar ketika berhenti di lampu isyarat persimpangan Bandar Seri Putra, hari ini.

Kejadian jam 7.20 pagi itu menyebabkan kereta berkenaan musnah sepenuhnya.

Syazwana Ahmad Sabri Parwira, 36, berkata, kejadian berlaku begitu pantas menyebabkannya terkejut dan panik.

"Kejadian berlaku ketika ingin menghantar anak berusia lapan tahun ke sekolah agama di Bandar Seri Putra.

"Ketika berhenti di lampu isyarat, saya terhidu bau hangit. Tetapi tidak syak apa-apa lagi dan buat biasa saja.

"Kira-kira seminit selepas itu, keluar asap, semakin lama asap makin banyak. Saya terus matikan enjin... tidak berapa lama kemudian api mula keluar menyebabkan saya terus membawa anak keluar dari kereta.

"Memang terkejut, menggeletar dan panik sangat. Dalam hati masih berharap janganlah kereta terbakar teruk.

"Kebetulan ada seorang kakak pinjamkan mini pemadam api, tapi tak boleh padam sebab api marak terlalu cepat. Terpaksa juga tunggu bomba tiba. Namun, kereta sudah hangus terbakar," katanya kepada Harian Metro, malam ini.

Menurutnya, dia menangis melihat kereta yang dibeli sejak tiga tahun lalu itu musnah di depan mata.

"Risau sebenarnya jika kereta meletup, sebab saya baru isi minyak penuh. Cuma, berlaku letupan kecil pada cermin dan tayar.

"Diakui, sayu hati tengok kereta terbakar. Saya menangis juga. Bukan apa, kereta ini dibeli untuk memudahkan urusan harian menghantar dan mengambil anak sekolah.

"Ke hulu ke hilir pakai kereta itu. Memang banyak berjasa. Kalau tanya saya apa punca, memang tak tahu. Sebab ini pertama kali terjadi. Bomba suspek ia berpunca dari enjin dan masalah pendawaian," katanya.

Pada masa sama, dia bersyukur kerana tiada kecederaan dan kemalangan jiwa yang berlaku.

"Insya-Allah, saya dan suami reda. Allah uji tanda Allah sayang. Semoga ada rezeki lain yang lebih baik selepas ini," katanya.

Susulan kejadian itu, dia membuat laporan di Balai Polis Bandar Seri Putra dan Balai Polis Trafik Kajang, Selangor.

SPRM siasat pegawai kanan GLC pelaburan hartanah Bumiputera

Jason Thomas

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melancarkan siasatan terhadap sebuah syarikat pelaburan hartanah berkaitan kerajaan atas dakwaan penyalahgunaan kuasa yang melibatkan ‘seorang pegawai kanan’.

Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Azmi Kamaruzaman berkata pegawai dari Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) tersebut didakwa menikmati ratusan ribu ringgit dalam bentuk manfaat dengan menyalahgunakan kedudukannya.

Azmi berkata bahawa individu tersebut didakwa menyebabkan PHB membelanjakan lebih daripada apa yang sepatutnya untuk manfaat tersebut.

“Pegawai itu didakwa menipu syarikat untuk memberikan (manfaat) yang melebihi daripada apa yang layak dia diterima,” katanya kepada FMT, sambil menambah SPRM menerima maklumat awam mengenai perkara itu.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa kes tersebut belum lagi menjadi satu siasatan rasmi, tetapi hanyalah proses ‘siasatan awal’.

Pegawai SPRM juga ‘melawat’ ibu pejabat PHB untuk mengesahkan maklumat yang mereka terima, dan mereka merampas beberapa fail selepas berada di sana selama tiga jam.

Azmi berkata bahawa SPRM perlu mengesahkan beberapa perkara sebelum memutuskan sama ada untuk memanggil pegawai kanan tersebut dan pegawai lain untuk disoal siasat.

“Jika kami dapati terdapat kes, maka kami akan terus ke langkah seterusnya.”

Ditubuhkan pada 2006, PHB adalah anak syarikat milik penuh Yayasan Amanah Hartanah Bumiputera, yang berada di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Syarikat ini ditubuhkan untuk meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam pemilikan aset hartanah komersial utama di negara ini.