"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bekas kakitangan JKM dipenjara 468 tahun, denda RM180 juta

Mohd Roji Kawi
mdroji@bh.com.my

Kuching : Bekas pembantu tadbir kewangan Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak dijatuhkan hukuman penjara 468 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah atas 36 pertuduhan pengubahan wang haram dan tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) berjumlah lebih RM16 juta.

Hakim Musli Ab Hamid turut memerintahkan tertuduh, Mohd Zairull Arzuan Mohd Shamsuddin Ja'afar @ Ang Chui Thong, 38, didenda RM180 juta dan jika gagal dikenakan penjara 36 bulan dan tiga sebatan.

Bagi setiap 36 pertuduhan pengubahan wang haram, Mohd Zairull Arzuan dihukum penjara 12 tahun dan denda RM5 juta jika ingkar penjara sebulan dengan hukuman penjara berjalan serentak.

Bagi setiap tiga pertuduhan CBT pula, dia dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan satu sebatan dengan hukuman penjara juga dijalankan serentak.

Berikutan hukuman penjara akan berjalan serentak, Mohd Zairull akan menghabiskan sekurang-kurangnya 12 tahun penjara bergantung kepada sama ada dia mampu membayar denda RM180 juta tetapi jika gagal, dia perlu menghabiskan tiga tahun lagi di penjara.

Berdasarkan fakta kes, Mohd Zairull melakukan kesalahan pengubahan wang haram antara tahun 2020 dan 2022, membabitkan sejumlah RM6,013,504.30, manakala kesalahan CBT sebanyak RM10,272,350.13 dilakukan antara 2019 dan 2021.

Difahamkan, perbuatan itu terdedah apabila penyata gaji Mohd Zairull menunjukkan transaksi yang mencurigakan, dengan lebih RM4 juta dikreditkan ke dalam akaunnya.

Dia adalah pegawai bertanggungjawab bagi simulasi gaji jabatan itu di Sarawak menyerahkan surat peletakan jawatannya berkuat kuasa 31 Jan 2022.

Bagaimanapun, beliau memendekkan tempoh notisnya dan meletak jawatan berkuat kuasa serta-merta pada 31 Dis 2021.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Nur Amanina Wan Din, Mohd Ashrof Kamarul dan Manjira Vasudevan manakala peguam Christopher Bada mewakili tertuduh.

8 maut disambar petir

Bernama-Xinhua

New Delhi: Sekurang-kurangnya lapan orang maut dan beberapa lagi cedera akibat disambar petir di negeri Bihar, timur India, lapor Xinhua memetik penyiar milik kerajaan All India Radio pada Rabu.

Hujan lebat dan ribut petir melanda negeri itu pada pagi Rabu, menjejaskan beberapa daerah.

"Di Bihar, sekurang-kurangnya lapan orang maut dan beberapa lagi cedera akibat disambar petir di daerah Madhubani dan Begusarai hari ini," menurut penyiar itu.

Rara luluh hati baca kes kanak-kanak 11 tahun hamilkan sepupu

Malaysiakini 

Ahli Parlimen Bentong Young Syefura Othman menyifatkan peningkatan kes sumbang mahram menunjukkan keretakan institusi keluarga.

Pemimpin DAP itu berkata demikian sebagai berkongsi rasa terkilan dengan laporan media mengenai kes kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun menghamilkan sepupunya yang berusia 15 tahun.

Menurutnya, kes berkenaan juga mencerminkan keruntuhan nilai dalam masyarakat.

"Kita perlu tanya diri kita, di mana silapnya? Apa yang anak-anak kita tonton, pelajari, dan teladani? Saya menyeru agar ibu bapa dan komuniti diperkasa dengan penekanan terhadap kesedaran digital. Mereka perlu tahu bagaimana menyekat kandungan di dalam peranti anak-anak mereka. Ambil tahu juga dengan siapa mereka berkawan.

"Perlu ada pendedahan dan penerapan serta pendidikan seksual awal terhadap kanak-kanak, tidak kira di sekolah mahupun di rumah. Ini kerana peningkatan kes sumbang mahram ini juga satu tanda keretakan institusi keluarga yang sepatutnya menjadi benteng untuk membesarkan anak-anak ini dengan selamat," katanya.

Selain itu, kata Young Syefura, perlu ada pendedahan dan penerapan serta pendidikan seksual awal terhadap kanak-kanak, tidak kira di sekolah mahupun di rumah.

Katanya, anak-anak memerlukan perhatian psikologi dan perlindungan daripada kandungan-kandungan lucah yang tersebar luas di atas talian.

"Sebab itu saya setuju untuk kanak-kanak bawah 13 tahun tak dibenarkan menggunakan telefon pintar. Tapi undang-undang saja tidak mencukupi. Ibu bapa perlu ambil peranan kerana ini semua bermula dari rumah," katanya.

Terdahulu, media memetik Ketua Polis Kelantan Mohd Yusoff Mamat dalam sidang media hari ini berkongsi mengenai kes kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang menghamilkan sepupunya yang berusia 15 tahun dipercayai atas dasar cinta bawah umur.

Kejadian yang dilaporkan berlaku minggu lalu itu menyebabkan kanak-kanak lelaki terbabit ditahan bagi membantu siasatan, manakala sepupunya diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Mohd Yusoff juga berkata sebanyak 252 kes sumbang mahram direkodkan di negeri itu pada 2024, berbanding 206 kes pada 2023.

Sementara pada tahun ini, dari Januari hingga Mac, angka berkenaan sudah meningkat 15.6 peratus jika dibandingkan tempoh yang sama pada 2024.

Tambahnya, hasil kajian pihak polis mendapati bahawa faktor seperti konflik keluarga, hubungan cinta, pendedahan kepada video atau gambar lucah, kurangnya didikan agama, pengaruh rakan sebaya, serta penggunaan dadah antara punca utama berlakunya perbuatan terkutuk tersebut.