"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PAS sedia pertaruh calon bukan Islam pada PRN Sabah

Faiz Zainudin

PETALING JAYA: PAS Sabah sedia letak calon bukan Islam menjelang PRN Sabah dijangka hujung tahun ini.

Setiausaha Sahar Abdul Majid, berkata namun pencalonan itu bergantung keperluan dan lokasi kerusi bakal ditandingi mewakili Perikatan Nasional (PN).

Katanya, keterbukaan itu sejajar dengan konsep ‘PAS For All’ yang diamalkan sejak sekian lama, dan bukan sesuatu baharu memandangkan parti pernah meletakkan calon bukan Islam pada PRU14.

“Kita ada penggerak Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Sabah dalam kalangan masyarakat Dusun dan Cina, di mana jumlah keahliannya kini melebihi 1,000.

“Pada 2018, PAS pernah meletakkan calon bukan Islam. Ini menunjukkan DHPP Sabah memainkan peranan penting dalam menarik sokongan masyarakat bukan Islam,” katanya kepada FMT.

Menurutnya, PAS negeri yakin mampu mencipta kejutan pada PRN itu dengan persiapan lebih tersusun dan berstrategi, termasuk mempertaruhkan calon berwibawa.

“Rakyat Sabah kini menunjukkan minat untuk membuat perubahan ke arah kepimpinan yang lebih baik,” katanya.

Mengulas mengenai kerusi bakal ditandingi, Sahar memaklumkan keputusan muktamad akan dibuat bersama komponen PN.
L
Sebelum ini, PAS mengesahkan akan bertanding sekurang-kurangnya enam daripada 73 kerusi DUN Sabah.

Pesuruhjaya PAS Sabah Aliakbar Gulasan, antara enam Adun dilantik kerajaan negeri selepas PRN 2020. Untuk rekod, PAS tidak bertanding pada PRN 2020.

Pengemis ada RM1,500 dalam tangan ketika ditahan

KOSMO!
Pengemis berkenaan ditahan oleh pihak berkuasa. - Istimewa
JAKARTA – Pihak berkuasa terkejut apabila menemui wang tunai sebanyak 5.7 juta rupiah (RM1,500) hasil daripada aktiviti mengemis selepas menahan seorang pengemis di Kota Gorontalo, wilayah Gorontalo, lapor laman berita Detik.

Lelaki tersebut ditahan dalam serbuan pasukan Unit Polis Perkhidmatan Awam (Satpol PP) di sekitar Taman Kren.

Selepas menahannya, mereka terkejut apabila melihat hasil lumayan yang diperoleh pengemis tersebut.

“Kami mengira bersama dan jumlah terkumpul mencapai 5.7 juta rupiah,” kata Penyiasat Penjawat Awam (PPNS) Satpol PP Kota Gorontalo, Sucipto Ayahu.

Ketika disoal siasat, pengemis tersebut mengaku aktif melakukan kegiatan tersebut secara solo.

Dia ditahan selepas pihak berkuasa mendapat aduan daripada pengunjung taman yang berasa terganggu dengan tindakannya yang meminta sedekah. – AGENSI 

Gagal bukti tak siuman, lelaki bunuh pencuci rumah dipenjara 35 tahun

Bernama

PUTRAJAYA: Lelaki berusia 42 tahun gagal dalam rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 35 tahun serta 12 sebatan atas kesalahan bunuh pencuci rumah warga Indonesia, pada 2017.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Hakim Nallini Pathmanathan bersama Rhodzariah Bujang dan Hanipah Farikullah sebulat suara menolak rayuan Khairul Azizi Abdul Jalil dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi serta Mahkamah Rayuan.

Dalam penghakiman yang dibacakan, Nallini menjelaskan pihak pendakwaan dibenarkan secara sah mengemukakan keterangan psikiatri semasa membuktikan kes prima facie, dan bukan hanya sebagai keterangan balas, sekiranya ia relevan untuk membuktikan elemen kesalahan.

Beliau berkata, tiada salah laksana keadilan berlaku terhadap perayu apabila pihak pendakwaan mengemukakan keterangan pakar psikiatri forensik Ian Lloyd Anthony, dan menambah Khairul Azizi gagal membuktikan pembelaan tidak siuman berdasarkan imbangan kebarangkalian.

“Daripada keseluruhan keterangan, sabitan terhadap perayu adalah selamat dan dia telah diberi peluang sepenuhnya untuk membela diri tanpa sebarang prejudis,” katanya.

Khairul Azizi, yang menguruskan inap desa milik bapanya, disabitkan bersalah dan dihukum gantung Mahkamah Tinggi Ipoh pada Disember 2022 atas tuduhan membunuh Aidah Tursinawati, 43, di sebuah rumah di Kampung Tersusun Tasek, Ipoh, pada 3.25 petang, 9 Okt 2017.

Pada Jun tahun lalu. Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan, tetapi membenarkan rayuan menggantikan hukuman mati kepada penjara 35 tahun dan 12 sebatan.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad, Tengku Shahrizam Tuan Lah, Ng Siew Wee, dan Mohd Arif Aizuddin Masrom.