"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dr M sekali lagi bengang dengan peguam Anwar

Soalan ‘tak relevan’, Dr M sekali lagi bengang dengan peguam Anwar

Faisal Asyraf

SHAH ALAM: Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini sekali menzahirkan rasa kecewa terhadap soalan-soalan dikemukakan oleh peguam Anwar Ibrahim, yang disifatkannya tidak berkaitan dengan inti pati tuntutan saman fitnahnya bernilai RM150 juta terhadap Anwar.

Sewaktu sesi pemeriksaan balas oleh peguam Razlan Hadri Zulkifli pada hari ketiga perbicaraan, Mahathir diasak untuk mengulas kenyataannya sebelum ini yang mendakwa orang Melayu semakin hilang kuasa di bawah pentadbiran Anwar.

Mahathir sebelum ini mendakwa Anwar mempunyai niat meminda Perlembagaan Persekutuan agar Malaysia tidak lagi akan dianggap sebagai Tanah Melayu.

Razlan: Pernahkah wujud sebarang keadaan di mana Anwar secara spesifik suarakan bahawa pentadbiran beliau akan pinda Perlembagaan dan jadikan negara ini tanah berbilang bangsa?

Mahathir: Beliau perdana menteri, dan kata-katanya ada pengaruh. Beliau telah nyatakan wujud kemungkinan beliau akan pinda Perlembagaan supaya Malaysia bukan lagi Tanah Melayu.

Peguam yang mewakili Mahathir, Nizam Bashir Abdul Kariem Bashir, lantas bangkit membantah hala tuju soalan pihak defendan.

“Kenyataan yang dipersoalkan adalah mengenai dakwaan bahawa Tun (Mahathir) korup dan memperkaya keluarganya, namun soalan-soalan yang diajukan menyentuh isu dasar dan politik, yang sama sekali tidak relevan dengan kenyataan tersebut,” hujahnya.

Razlan seterusnya mengasak Mahathir berhubung kedudukan Islam, bertanya sama ada sebarang rang undang-undang pernah dibentangkan di Parlimen bagi menggugurkan Islam sebagai agama persekutuan dan menjadikan Malaysia sebuah negara sekular.

Nizam sekali lagi membantah, berhujah bahawa anak guamnya disoal mengenai perkara-perkara yang amat menyimpang daripada kenyataan-kenyataan yang dipertikaikan.

Pesuruhjaya Kehakiman Donald Joseph Franklin memberi peringatan kepada pihak pembelaan bahawa perbicaraan boleh berlarutan sehingga bertahun-tahun sekiranya setiap kenyataan plaintif diteliti satu persatu.

“Kes ini tidak akan ada penghujungnya,” ujar beliau.

Razlan kemudian memaklumkan bahawa beliau akan meringkaskan soalannya, namun menegaskan plaintif (Mahathir) tidak wajar dibenar mengarahkan cara pihak pembelaan mengendalikan sesi pemeriksaan balas.

Apabila Razlan menyatakan bahawa tiada sebarang keterangan menunjukkan orang Melayu hilang kuasa di bawah pentadbiran Anwar, Mahathir kelihatan jelas gusar dan meninggikan suaranya.

“Saya bukan mengadu tentang nasib orang Melayu. Saya mengadu tentang dakwaan bahawa saya curi dana kerajaan dan terlibat dengan kronisme.

“Dakwaan-dakwaan inilah yang dorong saya ambil tindakan kerana ia menjejaskan nama baik saya selaku pemimpin negara,” tegasnya.

Pada sesi petang, seorang lagi peguam Anwar, Ranjit Singh, mempersoalkan Mahathir mengenai pemilihan Umno pada 1987 serta pemecatan Lord President ketika itu, Salleh Abas, dan dua hakim Mahkamah Agung (kini Mahkamah Persekutuan) yang lain, sesuatu yang dinafikan sekeras-kerasnya oleh Mahathir.

Franklin sekali lagi mencelah dengan menyatakan bahawa dakwaan yang menyentuh salah laku ketiga-tiga hakim tersebut bukan isu dalam perbicaraan ini.

“Perbicaraan mengenai hal itu sahaja akan ambil masa lima hari lagi,” katanya.

Beliau memaklumkan akan membuat keputusan mengenai kerelevanan setiap soalan yang dikemukakan pada masa hadapan.

Hakim menetapkan 11 Nov untuk pengurusan kes bagi menentukan tarikh-tarikh perbicaraan yang seterusnya.

Mahathir memfailkan saman terhadap Anwar atas kenyataan yang dibuat dalam Kongres Nasional Khas PKR pada Mac 2023.

Presiden PKR itu didakwa menyebut bahawa ‘seseorang yang memegang kuasa selama 22 tahun dan 22 bulan’ memperkaya diri, keluarga, dan kroni-kroninya, selain gagal membayar cukai dan memindahkan dana ke luar negara.

Mahathir mendakwa kenyataan tersebut ditujukan kepada beliau dan bersifat fitnah.

Nizam dan Rafique Rashid Ali tampil bagi pihak Mahathir, manakala Anwar diwakili oleh barisan peguamnya, Ranjit, Razlan dan Alliff Benjamin Suhaimi.

104 maut dalam serangan terbaru Israel di Gaza

Buletin TV3 
Foto fail AFP
GAZA CITY: Sekurang-kurangnya 104 penduduk Palestin terbunuh, termasuk 46 kanak-kanak, dalam siri serangan udara terbaharu Israel di seluruh semenanjung Gaza sejak malam tadi, menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Gaza hari ini.

Selain itu, sekurang-kurangnya 253 orang dilaporkan cedera, manakala pasukan penyelamat masih berusaha mengeluarkan mangsa yang tertimbus di bawah runtuhan bangunan akibat pengeboman berterusan, lapor Al Jazeera.

Menurut kementerian itu lagi, sejak perjanjian gencatan senjata dicapai pada 10 Oktober lalu, serangan Israel telah menyebabkan 211 penduduk Palestin terbunuh dan 597 lagi cedera, selain 482 mayat berjaya ditemui semula dari bawah sisa runtuhan.

Secara keseluruhan, sejak perang ke atas Gaza bermula pada Oktober 2023, sekurang-kurangnya 68,643 penduduk Palestin terbunuh, manakala 170,655 lagi cedera, menjadikan konflik itu antara tragedi kemanusiaan terburuk dalam sejarah moden Palestin, menurut angka terkini Kementerian Kesihatan Gaza. AGENSI

Berang 1 juta ‘point’ Roblox hilang disyaki punca abang kelar adik

Bernama

JOHOR BAHRU: Polis tidak menolak kemungkinan kanak-kanak lelaki enam tahun yang parah akibat dikelar dan ditikam di Kampung Parit Nipah Laut, Batu Pahat kelmarin, telah dicederakan oleh abangnya sendiri berusia sembilan tahun akibat pengaruh permainan video dalam talian.

Ketua Polis Johor, Ab Rahaman Arsad, berkata siasatan awal mendapati suspek dipercayai bertindak demikian selepas berang apabila permainan dalam talian Roblox miliknya terganggu hingga menyebabkan kehilangan kira-kira sejuta mata terkumpul (point) selepas mangsa merosakkan telefon bimbit berkenaan.

“Motif masih dalam siasatan, namun siasatan awal mendapati abang mangsa berkemungkinan mencederakan adiknya selepas permainan Roblox yang dimainkan terganggu dan semua ‘point’ yang dikumpulnya hilang.

“Suspek dipercayai mengalami halusinasi pada waktu malam akibat pengaruh permainan itu dan seolah-olah diarahkan untuk mencederakan ahli keluarganya, sebelum bertindak menyerang adiknya sendiri menggunakan pisau yang terdapat di dalam rumah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Polis Kontinjen Johor di sini, hari ini.

Beliau berkata siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mendapatkan keterangan daripada mangsa yang kini dirawat di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat, bagi mengesahkan kejadian tersebut.

Menurutnya, ibu dan bapa kanak-kanak berkenaan, masing-masing berusia 40 tahun, telah ditahan reman mulai hari ini hingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

“Mangsa dan abangnya kini berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), dan pihak polis tidak mempunyai bidang kuasa untuk menahan mereka seperti pesalah lain.

“Bagaimanapun, ibu dan bapa mereka ditahan kerana dipercayai mengetahui mengenai kejadian itu. Namun perkara ini masih dalam siasatan awal dan tumpuan kini diberikan kepada soal siasat ahli keluarga,” katanya.

Ab Rahaman berkata kertas siasatan akan dirujuk kepada Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri bagi menentukan tindakan selanjutnya.

Dalam kejadian kira-kira 5.30 pagi Isnin lalu, mangsa ditemukan dalam keadaan parah dengan kesan kelar di leher kanan akibat senjata tajam.

Ketua Polis Batu Pahat Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani sebelum ini dilaporkan berkata, siasatan dimulakan selepas pihaknya menerima laporan daripada ibu mangsa berusia 41 tahun pada pagi hari kejadian.

Menurutnya, wanita itu tersedar daripada tidur dan mendapati anak lelakinya mengalami kecederaan parah di leher sebelum dibawa ke HSNI untuk rawatan lanjut.